Friday, April 30, 2010

Jejak Prihatin buka mata, minda masyarakat


Fatimah Ahmad tidak pernah menyesal dengan nasib yang menimpanya.


Selesai sarapan pada pagi Jumaat lalu, rombongan Islamic Relief Malaysia (IRM) bersama sekumpulan wartawan memulakan perjalanan bagi menjejaki golongan daif dan miskin di kawasan utara tanah air.

Golongan yang dijejaki menerusi program Jejak Prihatin IRM itu rata-rata tidak mempunyai pendapatan tetap.

Ada antaranya semakin dimamah usia dan tidak pernah tahu apa itu erti pembangunan dan kemajuan.

Dengan tinggal pula di rumah usang yang atapnya sudah tiris, dinding pula diperbuat daripada papan lapis yang hampir runtuh akibat dimakan anai-anai mereka hanya hidup kais pagi makan pagi.

Rumah serba daif yang menunggu hari untuk rebah menyembah bumi tidak ada bekalan air bersih dan elektrik.

Semuanya kerana tiada kemampuan. Gaji yang diperoleh hanya cukup untuk hari itu sahaja. Malah makan nasi berlaukkan garam perkara biasa. Jika ada ikan masin sudah dikira mewah.

Malah kedaifan mereka itu tambah membebankan dengan tanggungan yang ramai, masalah kesihatan yang memerlukan rawatan berkala dan kos perubatan yang semakin meningkat, kehilangan tempat bergantung serta kudrat tulang empat kerat yang semakin uzur.

Paling memilukan apabila melihat anak-anak kecil yang masih belum mengenal erti sebenar kehidupan, sudah bergelar yatim.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Mungkin itulah peribahasa paling sesuai untuk menggambarkan perjalanan kehidupan 11 penerima manfaat menerusi program ziarah IRM, 'Jejak Prihatin' itu.

Misi kemanusiaan IRM itu disertai oleh beberapa pengamal media cetak dan elektronik dari Kuala Lumpur.

Skuad IRM diketuai oleh Pengurus Negaranya, Zawahir Abdullah yang turut dibantu oleh Farouq Zauji, Siti Mardiana Abdullah, Ahmad Safuan Mazalan serta tidak ketinggalan para sukarelawan IRM Bahagian Utara.

Rombongan dibawa bertandang dan beramah mesra dengan para penerima manfaat terpilih dari beberapa kampung yang terletak di sekitar Kedah dan Perlis.

Destinasi pertama pada pagi Jumaat lalu yang perjalanannya mengambil masa lebih kurang 45 minit dari hotel ialah Kampung Sungai Dedap, Yan, Kedah.

Walaupun terpaksa meredah laluan sempit yang dipenuhi belukar kira-kira 10 kilometer dari jalan besar, ia tidak melemahkan anggota misi kemanusiaan IRM untuk bertemu dengan pasangan Abdullah Ishak dan Khadijah Yaakob yang tinggal bersama anak, menantu dan lima orang cucu mereka, termasuk seorang daripadanya kanak-kanak orang kurang upaya (OKU).

Kudrat tua tidak lagi mengizinkan Abdullah turun ke laut. Pada usia pertengahan 70-an, Abdullah dan isteri, terpaksa bergantung sepenuhnya kepada anak lelakinya yang sekadar bekerja mengambil upah di sawah dan membawa jentera membajak dengan bayaran RM13 sehari.

Destinasi diteruskan ke Kampung Permatang Bongor, Kota Sarang Semut, Kedah bertemu pula dengan ibu tunggal muda, Umai Zarikiah Abdul Hamid, 41, dan adik iparnya yang juga senasib, Atishah Mohd. Noor, 40.

"Sejak suami disahkan mengidap penyakit jantung kira-kira tiga tahun lalu, saya terpaksa melakukan pelbagai kerja demi menyara kami tujuh beranak serta kos rawatan suami yang kerap tinggal di hospital.

"Setelah kematian suami pada awal Disember 2009, saya terpaksa berhenti kerja untuk menguruskan anak-anak.

"Pendapatan hasil jualan nasi lemak tidaklah seberapa jika dibandingkan dengan perbelanjaan empat anak yang masih bersekolah. Ada juga saya minta bantuan, tetapi belum ada khabar beritanya.

"Saya berharap sangat dengan bantuan, terutamanya untuk pendidikan dan perubatan anak-anak. Hendak harapkan bapa mertua, Mohd. Noor Mohd. Isa, 65, dia juga sudah semakin uzur, ditambah pula dengan penyakit asmanya yang semakin kerap menyerang," kata Umai Zarikiah.

Dia turut dibantu anak sulungnya, Mohd. Shafizi yang mengambil alih kerja datuknya di bendang yang disewa.

Hati bertambah pilu sebaik menjejakkan kaki di Kampung Masjid Lama, Teluk Chengai, Kuala Kedah. Che Rhani Puteh, 55, berstatus ibu tunggal lebih 20 tahun lalu. Dia kini tinggal dengan anak perempuannya, Azian Abdullah, yang tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Sudahlah dirinya tidak sihat kerana menderita barah usus sejak beberapa tahun lalu. Bebanannya bertambah kerana terpaksa meneruskan rawatan susulan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.

Biar sehebat mana dugaan wanita ini, dia reda dengan takdir Ilahi. Hendak menangis pun sudah kering air matanya. Malah tanggungjawab memelihara ibu yang dipikul sejak bujang tetap diteruskan sampai sekarang. Kini, Som Man sudah mencecah usia 106 tahun, masih mampu berjalan walaupun sudah bongkok tiga.

Kami bertemu pula dengan tiga anak pasangan Fatimah Awang Ahmad, 40, dan Che Omar yang meninggal tujuh tahun lalu kerana penyakit kencing manis di Kampung Pulau Binjai, Telaga Mas, Pokok Sena, Kedah.

Kasihan mendengar cerita anak sulung pasangan ini, Muhammad Syafiq, 17, yang disahkan mengidap kencing manis seawal usianya 12 tahun. Dia kini bukan sahaja terpaksa mendapatkan rawatan berkala daripada doktor pakar di HSB tetapi terpaksa melakukan suntikan insulin di rumah.

Menoreh getah

Katanya, pekerjaan ibu yang mengambil upah menoreh getah dengan pendapatan kurang RM450 memang membebankan mereka sekeluarga. Malah bantuan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak mampu menampung perbelanjaan persekolahan dua lagi adiknya, Nursyafinas, 13, dan Muhammad Syamir Azri, 7 tahun.

Di daerah yang sama, kami singgah pula ke Kampung Padang Kunyit bertemu dengan ibu tunggal kematian suami, Fatimah Ahmad, 42. Dia berseorangan memelihara tujuh anak-anaknya antara usia enam hingga 22 tahun sejak lima tahun lalu.

Pekerjaan anak sulungnya sebagai buruh kasar serta sumbangan RM450 dari JKM tidak mencukupi bagi mereka anak-beranak. Malah, Fatimah menggunakan sedikit kemahirannya menjahit untuk mengambil upah menjahit baju dengan harga tidak sampai RM25 sepasang. Itupun bukannya selalu menerima tempahan.

"Alhamdulillah, dengan adanya tanah pusaka daripada arwah suami, hidup kami ini tidaklah merempat. Saya juga menolong menjaga ibu yang tinggal di rumah berdekatan," katanya yang memerlukan bantuan berupa mesin jahitan.

'Jejak Prihatin' menutup tirainya dengan kunjungan ke rumah dua beranak, Robiah Samat, 67, dan ibunya, Embon Salih, 98.

Kata Robiah, sebelum ini dia melakukan kerja-kerja menoreh getah tetapi kerana keuzuran, dia kini mengambil upah mengopek ikan bilis dengan bayaran 80 sen sekilo.

Yang pastinya, penat hari itu tidak seberapa berbanding kisah keperitan dan penderitaan yang ditanggung penerima manfaat.

Erti kesusahan inilah yang perlu disebarkan kepada masyarakat kita, terutamanya generasi kini yang realitinya tidak pernah susah. Mereka perlu dididik supaya dapat menyelami jerit perih, sekali gus belajar memberi daripada meminta semata-mata.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: