Thursday, April 29, 2010

Tersingkir bukan kerana sakit


NAD mengusung beg keluar dari pentas Debaran AF minggu lalu menandakan berakhirnya perjuangannya dalam AF8.


JIKA pada Debaran AF minggu kelima, lapan peserta boleh bersorak gembira apabila tiada nama pelajar yang diumumkan keluar dari gelanggang Akademi Fantasia musim kelapan (AF8).

Namun, minggu lalu rupa-rupanya episod air mata bertandang untuk ke sekian kalinya apabila ia menjadi titik noktah kepada perjuangan peserta yang berasal dari Klang, Selangor iaitu Nad.

Pemilik nama sebenar Nadia Emilia Roselan, 22, itu merupakan peserta kelima yang tersingkir daripada program realiti popular terbitan Astro itu mengikuti jejak langkah empat rakannya yang terlebih awal disingkirkan iaitu Shah, Ema, Anum dan Alif.

Keputusan penyingkiran diumumkan oleh hos rancangan itu, Sarimah Ibrahim pada Debaran AF yang berlangsung di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, malam Ahad lalu.

Nad yang mengalami masalah kesihatan sebelum memulakan persembahan pada konsert mingguan AF8 keenam malam Sabtu lalu bagaimanapun, menolak bahawa dirinya tersingkir gara-gara masalah kesihatan yang dialami.

"Saya rasa bukan sebab kesihatan. Saya sebenarnya tidak terkejut dengan penyingkiran ini kerana sudah dapat menjangka berdasarkan persembahan saya yang kurang memuaska," kata Nad yang menyanyikan lagu Jikalau Aku yang dipopularkan oleh Ezlynn.

Biarpun reda dengan keputusan undian yang meletakkan dirinya di tangga tercorot dengan 11.03 peratus iaitu 0.85 peratus ketinggalan di belakang Iwan, Nad tetap hampa kerana gagal meneruskan pembelajarannya di akademi.

Siswa tahun kedua jurusan perniagaan dari Universiti Multimedia Malaysia (MMU), cawangan Melaka berkata, minat terhadap bidang nyanyian tetap akan diteruskan biarpun terpaksa memakan masa yang lama untuk terus bertahan.

Mengakui sudah punya band sendiri di universiti iaitu The Nadia's yang ditubuhkan pada Ogos lalu, peluang untuknya terus berkecimpung dalam bidang nyanyian semakin menampakkan sirnanya.

"Saya bersyukur kerana dapat mengumpul banyak ilmu dan pengalaman di AF.

"Biarpun tersingkir di pertengahan jalan, namun saya tetap berasa bertuah dapat bertahan selama enam minggu," kata Nad yang masih berkira-kira untuk meneruskan pemganjiannya di universiti.

Sementara itu, Pengetua AF8, Norman Abdul Halim ketika sidang akhbar yang berlangsung selepas tamat Debaran AF minggu lalu memberitahu, nasib tidak menyebelahi Nad biarpun menampakkan peningkatan dalam persembahan dan fokus sejak akhir-akhir ini.

Lambat keluar dari kepompong mungkin padah buat Nad apabila namanya tidak lagi menjadi pilihan peminat setia rancangan itu.

Mengulas hal tersebut, Norman turut mengakui bahawa ada kebenarannya apabila ada pelajar yang membuat persembahan dengan baik namun, kedudukan mereka masih terumbang-ambing berdasarkan peratusan undian saban minggu.

"Saya sedih juga dengan keadaan ini. Namun saya melihat ada dua faktor yang mempengaruhi keadaan ini di mana yang pertama ialah persaingan sengit antara peserta dan yang kedua tiada penyokong kuat yang dapat membantu mereka dari segi undian.

"Dalam hal ini, ada beberapa pelajar yang saya lihat sudah semakin hilang sokongan termasuklah Iwan. Hal ini berbeza pada minggu-minggu terawal di mana dia antara pelajar yang sering memperoleh undian tertinggi.

"Berbeza dengan Daus, secara peribadi dalam carta prestasi yang saya buat sendiri, Daus gagal memberikan persembahan yang baik minggu lalu namun dia mempunyai penyokong yang agak kuat," kata Norman.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: