Semua orang yang waras barangkali akan terkejut dengan statistik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) baru-baru ini yang menyebut bahawa jumlah anak luar nikah di kalangan gadis Melayu yang beragama Islam pada tahun 2009 adalah 17,300 orang.
Bagi tempoh 2004 sehingga 2009, jumlahnya adalah 74,723 orang. Sudah tentu angka-angka itu tidak termasuk bayi-bayi bangsa lain, bayi-bayi yang tidak didaftarkan, dibuang atau tidak sempat menikmati kehidupan di dunia ini. Sudahlah berdosa terlanjur, anak pula dibuang seumpama sampah.
Bayangkan dalam tempoh lima tahun lagi, bagaimana pula angkanya? Suatu jumlah dan fenomena yang memalukan dan menakutkan! Ia juga membawa konotasi, sebenarnya gadis remaja yang terjebak dalam keterlanjuran dan perzinaan lebih ramai daripada itu.
Jika dicampur dengan masalah-masalah sosial lain seperti penyalahgunaan dadah, merompak, membunuh dan sebagainya, sudah pasti kita tidak senang duduk memikirkan nasib remaja hari ini.
Salah siapa?
Seringkali kita menjadi takut kepada perangkaan dan hasil akhir kerosakan. Kesalahan, daripada sekecil-kecil berbohong dan mencuri sehinggalah sebesar-besar merompak, merogol, berzina, rasuah dan sebagainya perlu ditangani secara holistik.
Kebanyakan kita menyalahkan pihak sana dan sini setelah sesuatu kerosakan berlaku. Memang benar perawatan selepas sesuatu kejadian berlaku adalah perlu, tetapi sewajarnya kaedah pencegahan perlu diambil berat sebelum sesuatu kerosakan berlaku.
Seringkali yang dipersalahkan adalah ibu bapa, keluarga dan didikan di sekolah. Anak-anak adalah cermin kepada didikan dan asuhan ibu bapa, justeru ramai yang berfikir memang wajarlah ibu bapa dipersalahkan.
Ibu bapa terlalu sibuk mencari rezeki dan pangkat, sehingga mengabaikan keperluan rohani dan sahsiah.
Sekolah pula hanya menekankan aspek peperiksaan, tanpa menitikberatkan soal akhlak dan pegangan pelajar. Yang pandai mendapat perhatian, yang dianggap dungu diabaikan kerana gagal dalam peperiksaan.
Sebab itulah ramai remaja yang tidak terdidik dengan betul dan natijahnya banyak masalah sosial berlaku.
Namun apakah hanya dengan sebab itu remaja menjadi rosak dan tergelincir daripada landasan yang benar? Sudah tentu kita bersetuju bahawa banyak lagi faktor yang menyebabkan ia berlaku.
Kita tidak boleh menafikan bahawa pengaruh rakan sebaya juga amat kuat dalam kehidupan sosial remaja. Bahkan ada remaja yang lebih mempercayai rakan sebaya daripada ibu bapa yang lebih berpengalaman.
Kebebasan yang diberikan kepada remaja disalahgunakan, lantas terjebak ke dalam kancah kerosakan.
Perubahan budaya yang berlaku dan seringkali dicedok bulat-bulat daripada Barat juga menghasilkan kejutan budaya terhadap remaja dan muda-mudi.
Kebebasan dan hak yang dilaungkan oleh mereka sering disalah ertikan sebagai kebebasan mutlak tanpa batasan, lantas mewujudkan garisan pemisah yang halus antara yang hak dan batil.
Sebagai remaja yang prihatin terhadap masalah sosial dan ingin menjadi sebahagian daripada langkah penyelesaiannya, kita sewajarnya prihatin terhadap akar sesuatu masalah, bukan hanya prihatin memandang pada hasil akhir sesuatu masalah.
Prihatin terhadap akar masalah
Dalam Islam, kaedah pencegahan adalah lebih baik daripada merawat. Ini kerana apabila sesuatu kerosakan akhlak telah terjadi, kesannya adalah sangat besar kepada diri, orang-orang sekeliling, masyarakat serta negara.
Misalnya, dalam soal perhubungan, Allah melarang keras manusia menghampiri zina. Tegahan ini membawa maksud yang jelas bahawa jalan-jalan ke arah perzinaan juga harus dijauhi, apatah lagi melakukannya.
Sememangnya kita mengetahui bahawa zina itu merosakkan nasab keturunan, menghancurkan rumahtangga, meretakkan perhubungan, meluasnya penyakit kelamin, kejahatan nafsu, dan meruntuhkan hubungan masyarakat setempat.
Larangan Allah adalah tanda manusia sememangnya akan sentiasa teruji dengan hawa nafsu. Justeru tegahan bertujuan membimbing manusia supaya tidak terpesong daripada laluan fitrah.
Pendekatan ini dilaksanakan dengan mengenal pasti sebab utama kenapa gejala sosial boleh berlaku dan kemudian mengambil tindakan untuk menghapuskan atau mengawal sebab tersebut. Begitu juga dengan larangan minum arak.
Kebebasan yang melampau atau tanpa kekangan boleh menyebabkan nilai-nilai agama dan adat terhakis sama ada secara drastik atau beransur-ansur.
Barangkali semua remaja tahu hukum haram berzina tetapi kemungkaran yang dilakukan itu adalah berpunca daripada iman yang rapuh. Iman yang rapuh mendorong proses pereputan jati diri dan akal budi.
Kesan daripada mengambil fahaman kebebasan secara membuta tuli fahaman kebebasan itu menjadikan masyarakat kita bersifat individualistik dan boleh menyebabkan sesuatu kemungkaran itu dipandang ringan.
Pemahaman bahawa pergaulan adalah hak seseorang individu dan tidak boleh disekat perlu diwaspadai.
Cara hidup di Barat misalnya, tidak kisah akan batas-batas lelaki dan perempuan. Bahkan pendidikan seks di Barat hanya mengajar bagaimana untuk mencegah kehamilan dan penyakit kelamin, bukannya mengajar tentang salahnya perlakuan tersebut.
Pola-pola hubungan sejenis seperti gay dan lesbian yang makin meresapi segelintir remaja dan muda-mudi juga amat meresahkan, yang mengakibatkan masalah lain iaitu krisis pewarisan.
Justeru, dalam Islam, bukan sahaja akibat daripada sesuatu kesalahan diterangkan, bahkan asbab sesuatu larangan juga dinyatakan. Tetapi kita harus ingat bahawa kaedah mencegah memerlukan keprihatinan semua pihak untuk menjayakannya.
Institusi kekeluargaan perlu diperkukuhkan supaya anak-anak yang lahir boleh dibentuk menjadi insan yang berilmu dan berakhlak mulia.
Angka penceraian yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia pada 2008 iaitu sebanyak 22,289 kes juga memberi petanda institusi kekeluargaan yang semakin rapuh.
Kebanyakan remaja bermasalah lahir daripada keluarga yang bermasalah. Peningkatan dalam kadar perceraian adalah satu amaran kepada masyarakat bahawa sesuatu perlu dibuat segera dalam sistem kekeluargaan bagi menangani isu yang nampak kecil tetapi sebenarnya ibarat barah yang akan memusnahkan bangsa dan negara.
Pendidikan di sekolah juga mestilah menumpukan kepada pembangunan akhlak dan pembinaan sahsiah di kalangan pelajar. Potensi diri pelajar perlu dibangunkan secara menyeluruh dan bersepadu, seperti yang termaktub dalam Falsafah Pendidikan Negara.
Pelaksanaan di sekolah bukanlah sesuatu yang mudah, dan ia perlu mendapat kerjasama ibu bapa, masyarakat dan pemimpin setempat.
Pihak berkuasa juga mesti berusaha tidak menggalakkan tempat-tempat maksiat dan mengadakan acara-acara yang boleh mengundang kepada gejala sosial.
Program-program yang membina seperti ceramah dan forum agama, aktiviti-aktiviti sihat, kempen kesedaran dan lain-lain boleh diadakan untuk mengelak remaja terjebak dalam situasi yang kurang sihat.
Segala program dan perancangan oleh pihak berkuasa, lebih-lebih lagi yang melibatkan kepentingan golongan remaja dan belia, hendaklah menjurus kepada pengukuhan iman, pembinaan akhlak dan pemuliharaan jati diri bahasa, bangsa dan negara.
Pelaksanaan undang-undang yang tegas juga perlu untuk mengelak perbuatan mungkar dan maksiat agar ia tidak membarah dan menjadi parah.
Kebebasan media massa juga perlu diberi perhatian. Berita-berita hiburan yang melampau dan cerita-cerita yang tidak senonoh dan terlalu bebas tidak perlu dipertontonkan kepada umum.
Limpahan gambar, video dan unsur-unsur porno amat mudah didapati di alam maya dan dengan kecanggihan teknologi, semua itu boleh dimuat turun ke dalam telefon dan komputer riba, dikongsi dan dibawa kemana sahaja.
Selain pengawalan dan sekatan daripada pihak berkuasa, ibu bapa sewajarnya mendidik anak akan batas halal dan haram serta betul salah terhadap sesuatu perkara.
Remaja mesti memiliki jati diri berasaskan kepada didikan agama supaya ia mempunyai kekuatan untuk membezakan antara baik dan buruk serta dosa dan pahala.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: