Thursday, April 29, 2010

Guna varnis kerana alah nikel


KIM TAYLOR


LONDON - Seorang wanita dari Roade, Northamptonshire, Kim Taylor mempunyai alahan teruk apabila memegang logam nikel sehingga dia terpaksa menyalut kesemua barangan yang mengandungi bahan itu dengan lapisan varnis kuku tanpa warna, lapor sebuah akhbar semalam.

Antara barang yang divarnisnya termasuk tombol pintu, gunting, kunci kereta, jam, pen, cermin mata, jarum, gincu, telefon bimbit, periuk dan colinya.

Dia juga terpaksa berhati-hati apabila keluar rumah dengan membawa sendiri set kutleri apabila wanita itu makan di restoran.

Kim terpaksa mengelak menggunakan wang syiling dan terpaksa menjaga pemakanannya kerana kandungan nikel terdapat secara semula jadi di dalam beberapa jenis makanan termasuk kacang, koko dan kacang merah.

"Nikel bukan sahaja terdapat dalam barang perhiasan.

"Jari dan tangan saya akan kemerahan dan gatal seperti terkena benda panas. Kemudian ia akan melepuh dan sakit," katanya.

Masalah itu bermula enam tahun lalu apabila dia mula mendapat ruam yang pedih secara tiba-tiba.

Enam bulan kemudian simptom itu bertambah teruk menyebabkan dia menemui pakar alahan yang kemudiannya menemui punca yang menjadi masalah wanita berumur 48 tahun itu.

Kini dia menggunakan ubat yang dikeluarkan oleh sebuah syarikat vitamin bagi mengatasi alahannya itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: