Wednesday, April 28, 2010

Jutawan Lubnan dituduh khalwat

KUALA LUMPUR: Lelaki yang mengaku dirinya ‘Jutawan Lubnan’ dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam, atas pertuduhan berkhalwat dengan seorang wanita berusia 49 tahun di dalam sebuah bilik di Brickfields, di sini, kelmarin.

KHALWAT...Elie (kiri) bersama pasangannya Roslin ketika dihadapkan  di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, semalam.
KHALWAT...Elie (kiri) bersama pasangannya Roslin ketika dihadapkan di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, semalam.
Elie Yousseff Najem, 50, yang dibawa ke mahkamah didakwa berkhalwat dengan Roslin Tahir dalam sebuah bilik di tingkat lapan, Wisma Belia, di sini, jam 3.45 petang, Isnin lalu.


Dia yang sebelum ini menghilangkan diri tiba di mahkamah bersama pasangannya dengan dibawa beberapa pegawai Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) jam 3.30 petang.


Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Syarie Ab Malik Awang bagaimanapun, tiada pengakuan diambil berikutan kes itu akan disebut di Mahkamah Tinggi.


Elie didakwa mengikut Seksyen 27 (a) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1997 manakala bagi Roslin, dia didakwa mengikut Seksyen 27 (b) akta sama.


Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya.


Terdahulu pendakwa syarie Mohd Sukri Ab Wahab memaklumkan Elie juga dihadapkan ke mahkamah bagi pertuduhan mengikut Seksyen 40(2) Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.


Sebelum ini kes yang dibuka pada 2005 itu sudah ditutup pada 2007 berikutan terdapat masalah bagi mengesan Elie.


Elie didakwa melakukan nikah atau perbuatan nikah dengan Farinnie Mohd Farid, 24, di Tingkat 2, Megan Avenue, Jalan Yap Kwan Seng, di sini, pada 6 Oktober 2005.

Menjawab pertanyaan Hakim Ab Malik, Elie mendakwa tidak faham dengan pertuduhan itu dan Mohd Sukri memohon mahkamah menangguhkan kes itu ke tarikh lain.


Mahkamah kemudian membenarkan Elie diikat jamin RM2,500 atas dua pertuduhan dengan seorang penjamin manakala Roslin dikenakan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin.


Bagi kes pernikahan tanpa kebenaran, mahkamah menetapkan 26 Mei ini untuk bicara manakala bagi kes khalwat mahkamah menetapkan 12 Mei ini untuk di sebut di Mahkamah Tinggi Syariah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: