BAGAIMANA caranya duit royalti penggiat seni tempatan boleh dikutip secara total tanpa sebarang keraguan? Itu kemelut yang membelenggu setiap karyawan seni dan hiburan di negara ini buat sekian lama. Bukannya tiada pihak yang mengambil berat, cuma kata sepakat yang memuaskan semua pihak belum ditemui setakat ini.
Royalti di bawah penyeliaan Akta Hakcipta 1987 merupakan antara cabang yang memberi pelindungan kepada harta intelek. Dipantau dan ditadbir oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), isu ketelusan pemberian royalti menjadi antara pendekatan utama sempena Hari Harta Intelek Negara (HHIN) yang disambut pada 26 April lalu.
Merujuk kepada perhatian yang diberikan, MyIPO menaburkan janji yang bakal membawa keuntungan kepada semua individu yang terlibat dalam dunia hiburan. Semakan terhadap Akta Hakcipta 1987 dengan menyasarkan pindaan akan dibaca buat kali pertama di Dewan Rakyat pada sesi Jun ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang ditemui di pejabatnya baru-baru ini, nyata begitu serius dalam membantu mencari jalan keluar terbaik bagi memastikan penggerak industri seni tempatan mendapat habuan yang sepatutnya.
Menurut beliau, royalti sebagaimana yang diketahui umum adalah dikutip oleh pihak seperti Persembahan dan Hak Artis Sdn. Bhd. (Prism), Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan Pelindung Hak Cipta Karyawan Muzik (MACP). Namun, persoalan mengenai kesahihan agihan royalti yang diberikan masih wujud.
"Ramai artis dan penggiat seni tidak tahu proses kutipan royalti kerana tidak mendapat sebarang keterangan. Mereka tidak tahu berapa jam siaran tidak kira lagu, filem atau drama diputarkan mahupun diulang tayang. Jadi, apabila benda-benda seperti ini tidak dinyatakan, keraguan akan timbul.
"Diharap dengan pindaan akta itu nanti, ia akan memberi bidang kuasa kepada kementerian untuk memantau segala aspek royalti tidak kira kutipan atau pengagihan serta menyelesaikan perbalahan yang berkaitan dengan hak cipta," ujarnya.
Kesukaran mengira dan mentafsir jumlah siaran terutama tempat awam juga menyumbang kepada masalah tersebut. Tiada sebarang catatan yang dibuat, maka, penipuan boleh berlaku.
"Artis tidak dapat menjangka berapakah jumlah royalti yang selayaknya diterima. Ditambah apabila royalti dibayar secara tahunan, cara pengagihan dan kutipannya menambahkan lagi kesangsian," tambah beliau.
Mekanisme yang betul penting dalam memperbaiki sistem yang dipraktikkan sekarang. Ismail menegaskan, pihak kementerian baru sahaja menerima satu kertas cadangan mengenai sistem yang boleh mengesan lagu-lagu yang diputarkan tidak kira lokasinya.
"Kami baru sahaja diperkenalkan dengan sistem yang boleh mengesan lagu-lagu yang dimainkan tidak kira di kedai atau pusat karaoke dan pusat beli-belah. Sistem itu berfungsi seperti palang tol yang boleh mengenal pasti jumlah kereta yang menggunakan jalan tersebut.
"Jadi dengan kecanggihan teknologi itu, tiada siapa yang boleh menipu. Namun, penggunaan sistem ini masih belum berkuat kuasa. Perbincangan lanjut masih dilakukan untuk memastikan keberkesanannya.
"Selain daripada itu, informasi mengenai kutipan atau jumlah lagu yang diputarkan juga patut dimuatkan di internet bagi memudahkan mana-mana pihak yang ingin membuat rujukan serta mendapatkan kepastian," ucapnya lagi.
Bagi mendalami serta memahami kesulitan yang dihadapi oleh penggiat seni, kementerian sudah mengadakan dialog dengan pihak terlibat termasuk komposer, pemuzik, penyanyi, syarikat rakaman dan badan pemugut royalti serta persatuan yang berkenaan.
"Pihak kami bercadang untuk berjumpa lagi dengan artis sendiri kerana pada perjumpaan sebelumnya, tiada kesimpulan yang boleh dibuat. Semua pihak menuding jari sesama sendiri.
"Maka, sekarang kami hanya mahu mendengar pandangan daripada artis sahaja. Semua itu akan diambil kira dalam pindaan Akta Hakcipta 1987 yang bakal dibentangkan nanti," ujar Ismail.
Tribunal Akta Hakcipta
Mengaktifkan semula Tribunal Akta Hakcipta selepas tujuh tahun ditutup operasinya, ramai yang sebenarnya tidak mengetahui akan kewujudan saluran aduan tersebut sejak ditubuhkan pada tahun 1999. Di atas sebab itu, ia dihentikan buat sementara waktu.
"Percaya atau tidak, dulu tribunal tidak menerima sebarang kes aduan. Mungkin pihak artis tidak tahu mereka boleh membuat aduan kepada tribunal mengenai kadar atau tarif royalti. Namun, kami kini mahu mempopularkan perkhidmatan ini bagi membantu menyelesaikan segala masalah hak cipta.
"Apa sahaja laporan atau aduan mengenai hak cipta akan cuba diselesaikan tanpa perlu dibawa ke mahkamah. Bajet sedang disediakan untuk memulakan operasi dan mereka yang bakal bertugas di tribunal juga akan disenaraikan," jelasnya.
|
|
Selain mengutarakan cadangan tersebut, beliau juga memberitahu bahawa satu badan selia khas bagi mengutip royalti hak cipta akan ditubuhkan di bawah pemantauan kementerian berkenaan. Badan itu bertanggungjawab untuk memastikan wang royalti yang dikutip tidak disalah guna oleh pihak yang tamak.
"Cadangan itu juga masih dalam perbincangan. Keputusan itu diambil kerana kami mendapati ramai artis tidak puas hati dengan kutipan pihak syarikat sendirian berhad yang tidak pernah dilantik untuk mewakili mereka," tegas Ismail.
Meningkatkan kesedaran untuk menghormati hak dan nilai eksklusif sesuatu produk turut menjadi antara agenda kempen HHIN yang sudah disambut enam tahun berturut-turut. Dilihat dari sisi industri hiburan, apa yang dirisaukan oleh semua adalah perleluasaan cetak rompak.
Mengambil hasil kerja orang lain dan menerbitkan semula, cetak rompak boleh didefinasikan sebagai salah satu perbuatan mencuri. Maka, dalam pindaan terbaru nanti, pihak kementerian bakal mengenakan hukuman lebih berat terhadap mereka yang didapati bersalah.
"Sebelum pindaan dikuat kuasa, kami mahu mendidik pengguna terlebih dahulu. Jangan lihat cakera padat (CD) dan cakera video digital (DVD) cetak rompak seperti plastik sahaja. Kreativiti dan hasil kerja pemilik itu perlu dihargai.
"Bagaimana lebih banyak karya berkualiti akan dihasilkan jika mereka tidak mendapat keuntungan? Dalam perbincangan untuk pindaan nanti, kami mahu mengambil tindakan terhadap kedai yang menjual CD atau DVD cetak rompak.
"Malah, mereka yang memiliki CD atau DVD cetak rompak juga akan dijatuhkan hukuman. Pada bulan Mei nanti, kementerian juga akan melancarkan kempen Gerak Gempur Cetak Rompak bagi tujuan membanteras gejala itu," jelas Ismail.
|
|
Harta intelek yang membabitkan hak cipta tidak memerlukan pendaftaran. Perlindungan bagi karya sastera, muzik dan seni adalah semasa hayat pencipta serta 50 tahun selepas kematiannya. Manakala bagi karya lain perlindungan adalah 50 tahun dari penerbitan.
Namun, apabila trend stesen televisyen yang membeli hak terhadap drama atau filem secara sepenuhnya semakin popular, ada pihak yang tidak berpuas hati. Ini kerana karya yang diulang tayang itu tidak akan mendatangkan keuntungan kepada warga seni.
"Sebenarnya, ini adalah soal perniagaan dan hak penerbit itu sendiri. Jika mereka mendapati filem atau drama itu sudah tidak laku, mereka mengambil keputusan untuk menjual kepada stesen TV. Disebabkan terdesak, mereka tidak boleh mendapatkan harga tinggi.
"Memang situasi ini lebih menguntungkan stesen TV kerana mereka boleh menjana pendapatan menerusi iklan apabila karya itu diulang siar. Mereka juga mempunyai hak untuk menerbitkan produk itu dalam bentuk DVD dan menjualnya.
"Pelakon tidak boleh marah kerana mereka sudah dibayar untuk kerja mereka. Ironinya, penjualan hak sepenuhnya itu terletak di atas tangan penerbit itu," kata Ismail sebelum menutup bicara.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: