Friday, April 30, 2010

Pengalaman baru Ayu




TAHUN ini, umur penyanyi genit, Norayu Damit atau lebih dikenali sebagai Ayu baru menginjak 21 tahun. Namun, apa yang sedang dijalaninya kini adalah hal yang lebih 'ke hadapan' daripada yang sepatutnya dialami gadis remaja lain seusianya.

Pada umur itu, Ayu sekarang bukan sahaja bergelar isteri orang, sebaliknya menggalas tanggungjawab sebagai seorang ibu. Menatang dan membesarkan puteranya, Syed Nashrul Haikal, ia mula menjadi rutin hidup sang juara One In A Million musim kedua (OIAM2) itu.

Tidak pernah terlintas di kotak fikirannya sebelum ini untuk memiliki keluarga sendiri pada usia muda, Ayu bagaimanapun tidak mampu menepis kuasa Yang Maha Esa. Dia tahu, hakikat jodoh sudah ditakdirkan.

"Semua ini berlaku dalam sekelip mata. Terus terang, saya cukup teruja sebaik saja sah bergelar isteri. Tidak lama kemudian, saya didapati hamil. Sudah pasti saya dan suami gembira dengar perkhabaran tidak diduga ini.

"Pada mulanya memang sukar hendak jaga bayi kerana saya tidak ada pengalaman. Nasib baik Nashrul sejak lahir tidak banyak kerenah atau menangis macam sesetengah bayi. Makin lama, saya dapat membiasakan diri dengan keadaan baru ini.

"Alhamdulillah, kehidupan juga sudah berubah sedikit. Kalau dulu seorang, sekarang sudah ada suami dan anak yang boleh bahagiakan diri. Sejujurnya, sekarang saya lebih fikir tentang keluarga," jelasnya yang melahirkan Nashrul secara pembedahan di sebuah hospital swasta di Perak.


AYU mengakui dia sudah melanggar kontrak dengan syarikat rakaman Monkey Bone apabila mengambil keputusan untuk berkahwin.


Ayu selamat diijabkabulkan dengan pemuda pilihan hatinya, Syed Fauzi Syed Baharuddin, 23, di Kuala Kangsar, Perak pada Januari 2009. Majlis pernikahan mereka berlangsung secara kecil-kecilan sambil disaksikan ahli keluarga terdekat.

Cinta pandang pertama Ayu dan Fauzi yang bekerja di sebuah kedai perabot di Bangi, Selangor bermula di sebuah restoran di ibu negara sekitar November 2008. Mereka diperkenalkan oleh seorang teman. Tidak lama kemudian, hubungan dibina menjadi serius lalu masing-masing mengambil kata putus mengakhiri hubungan tersebut melalui pernikahan.

"Fauzi seorang lelaki yang banyak menyokong dan memahami saya serta menghormati orang lain. Malah, dia yang minta saya berehat seketika sepanjang setahun lebih ini," spontan jawab pelontar lagu Hanya Di Mercu itu menghurai personaliti lelaki yang dicintainya.

Tidak menganggap menikahi seorang duda sebagai kesalahan, jelas Ayu, paling penting perkahwinan yang terbina atas dasar suka sama suka mampu memberi kebahagiaan berkekalan kepadanya.

"Secara terbuka, kadang-kadang ada terfikir apa persepsi orang dengan keputusan saya berkahwin dengan duda. Tetapi, lama-kelamaan saya enggan terlalu dengar cakap mereka. Biarlah saya dan dia saling menyukai. Ini paling penting daripada segala-galanya.

"Saya juga sudah bertemu dengan dua anak Fauzi yang berusia empat dan satu setengah tahun selepas kami berkahwin," jelas Ayu ternyata teruja dengan perubahan drastik hidupnya selepas memegang status isteri dan ibu.

Perubahan ketara

Tidak dinafikan, hampir semua media yang berkumpul di Sri Pentas, Petaling Jaya, Selangor, Khamis lalu, datang membawa harapan sama. Masing-masing sabar menanti Ayu mengotakan janji berbagi kebenaran mengenai kehilangannya selama ini.


BERTEKAD menghasilkan album kedua tidak lama lagi.


Muncul semula selepas lebih setahun, dia hadir dengan fizikal sama. Tiada sebarang perubahan ketara pada luarannya. Cuma satu kelainan, pertuturan Ayu kedengaran sedikit matang. Getar suaranya terpercik aura bahawa dia bukan lagi Ayu dikenali sebelum ini.

Misteri anak kelahiran Putatan, Sabah itu lenyap begitu sahaja lalu meninggalkan gelanggang seni yang baru dipijaknya beberapa tahun lalu akhirnya terjawab. Dalam atmosfera tenang dan mendamaikan, hampir satu jam dia meluah rasa dengan para wartawan yang duduk di depannya.

"Saya tahu karier nyanyian ini baru hendak bermula. Tetapi kejutan budaya dan tekanan menjadi artis dalam sekelip mata membuatkan saya perlu perhatian daripada keluarga. Malangnya, ibu bapa saya berada di Sabah.

"Fauzi hadir sebagai lelaki yang tepat, bertanggungjawab serta sangat menyayangi saya. Kerana itu kami ambil keputusan bernikah agar ada orang dapat jaga saya di Kuala Lumpur," jelas anak sulung daripada lima beradik itu yang tidak pernah sesekali melupakan asal-usulnya sebagai budak kampung.

Mengetahui dirinya ibarat berada dalam kandang pesalah, awal-awal lagi Ayu mengaku kekhilafan diri yang melakukan keputusan mengejut mendirikan rumah tangga tanpa berkongsi perkara baik itu dengan masyarakat.

"Saya mohon maaf kepada semua pihak kerana tidak bercerita lebih lanjut tentang perkahwinan kami demi menghormati permintaan keluarga pihak suami. Saya akui buat kesilapan dan menghampakan ramai peminat kerana merahsiakan perkara baik ini.

"Namun ingin ditegaskan, tolong hentikan spekulasi bahawa saya hamil sebelum berkahwin. Selama tempoh hilang, saya hanya fokus kepada perkahwinan dan bayi baru dilahirkan. Semua gosip yang tersebar sebelum ini tidak benar sama sekali," kata Ayu yang sudah bersedia aktif dengan karier nyanyiannya.

Baki kontrak

Mengecap seribu kemanisan bergelar isteri dan ibu dalam usia muda, Ayu bagaimanapun enggan membatas dirinya daripada meneruskan karier seni yang cukup dicintai sepenuh hati.

"Saya sudah bersedia meneruskan perjuangan dalam bidang nyanyian setelah berehat panjang. Saya tahu pihak pengurusan The 8 Unit dan syarikat rakaman, Monkey Bone marah dengan keputusan berkahwin secara senyap-senyap, melanggar kontrak dan menghilangkan diri begitu saja.


SELEPAS sekian lama menghilang, Ayu bakal membuat kemunculan pada majlis Anugerah Industri Muzik ke-17 (AIM 17) Ahad ini.


"Namun, saya terharu apabila mereka bersikap cukup memahami dan menerima kehadiran saya semula dengan hati terbuka tanpa banyak soal. Lebih menggembirakan apabila The 8 Unit dan Monkey Bone beri ruang kepada saya untuk berfikir.

"Saya berjanji tidak akan mensia-siakan kepercayaan kedua yang diberikan oleh mereka. Oleh itu, saya berazam untuk kembali semula dalam dunia hiburan dengan semangat baru," ungkap Ayu dalam nada sebak menandakan diri kesal dengan perbuatan kurang bijaknya sebelum ini.

Selain itu, Ayu yang masih berbaki kontrak empat album dengan Monkey Bone memberitahu, dia kini dalam perancangan untuk menghasilkan naskhah kedua selepas melahirkan Inspirasi, Julai tahun lalu.

"Sekarang saya sedang sibuk buat latihan untuk muncul pada Anugerah Industri Muzik ke-17 (AIM17), 2 Mei ini," jawab pemenang Anugerah Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu di Anugerah Planet Muzik 2009 (APM09) itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: