Wednesday, April 28, 2010

Kehebatan sang juara


BIARPUN badannya semakin berisi, ia langsung tidak menghalang Kelly Clarkson untuk mempamerkan kecemerlangan dalam konsert sulungnya di negara ini malam Ahad lalu.


PENULIS tidak malu untuk mengakui bahawa memang cukup meminati Kelly Clarkson sejak dia menjadi juara American Idol musim pertama pada tahun 2002.

Ketika itu, lagu A Moment Like This yang dimuatkan dalam album perdananya, Thankful menjadi kegilaan penulis lalu meletakkan nama Clarkson sebagai antara penyanyi wanita yang cukup diminati.

Bukan hanya A Moment Like This, tetapi lagu-lagu lain dalam album tersebut seperti Before Your Love, Low, Miss Independent dan Beautiful Disaster menjadi kegemaran penulis sehingga tidak henti memutar albumnya.

Seterusnya, minat itu terus bercambah dan mencanak naik sebaik sahaja Clarkson muncul dengan album keduanya, Breakaway yang menyaksikan transformasi drastik Clarkson baik dari segi imej dan muziknya.

Tatkala itu, tertanya juga bilakah masanya Clarkson akan hadir ke Malaysia untuk mengadakan sebuah konsert kerana ketika itu namanya benar-benar berada di puncak.

Lagu-lagu dendangannya seperti Since U Been Gone, Because of You, Breakaway, Walk Away dan Behind These Hazel Eyes menjadi siulan dan menjulang nama Clarkson.

Tidak mustahil kalau pada ketika namanya popular dan dia hadir ke Malaysia untuk beraksi dalam sebuah konsert, memang akan berdedai-dedai peminatnya datang menonton persembahannya.

Kemudian, Clarkson melalui kejatuhan dalam kariernya apabila muncul dengan album ketiga, My December yang dilabelkan sebagai album terburuknya dengan mencatatkan penjualan yang begitu teruk.

Semuanya kerana Clarkson terlalu mengikut hati dan perasaan tanpa mempedulikan pandangan orang sekelilingnya yang lebih arif tentang hala tuju muziknya.

Menyesali tindakannya itu, Clarkson bingkas bangkit dan muncul dengan album keempatnya, All I Ever Wanted yang terus mengembalikan kepercayaan peminat terhadap dirinya sekali gus menyemarakkan kembali namanya di persada muzik antarabangsa.

Jatuh bangun pemilik nama penuh Kelly Brianne Clarkson ini sememangnya telah memberikan impak yang besar bukan sahaja pada dirinya tetapi kepada penggemar muziknya.

Lalu, apabila Galaxy Group dengan kerjasama Maxis Berhad mencanangkan akan membawa Clarkson ke negara ini untuk konsert sulungnya, ramai yang mula bersikap skeptikal.

Jujurnya, penulis juga tidak dapat lari daripada untuk berfikir sedemikian sehingga diri ini tertanya masih ada lagikah peminat Clarkson di negara ini selepas apa yang telah dilaluinya sebelum ini.

Ternyata, semuanya tidak benar kerana pengaruh dan kuasa Clarkson masih lagu kuat di kalangan peminatnya di negara ini.

Semuanya itu dapat dibuktikan daripada kehadiran lebih 5,000 orang yang membanjiri Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam Ahad lalu untuk menyaksikan konsert jelajah Asia, All I Ever Wanted.

Memulakan persembahannya tepat pukul 8.40 malam dengan lagu All I Ever Wanted, penonton yang hadir seawal 6 petang lagi sudah tidak mampu menunggu lagi untuk terus bersorak dan menyanyi bersamanya.

Tenaga yang dimiliki oleh anak kelahiran Fort Worth, Texas, Amerika Syarikat ini memang luar biasa sekali.

Di sebalik tubuh yang sedikit berisi itu, ia langsung tidak menghalang Clarkson untuk beraksi lincah dan menggunakan pentas dengan sepenuhnya.

Diiringi oleh pemuzik iringannya seramai tujuh orang, Clarkson seterusnya menyampaikan lagu Miss Independent dengan susunan muzik yang lebih segar dan rancak sesuai dengan penampilan muziknya kini.

Melihat kepada respons positif dan sambutan yang diberikan seraya penghibur ini berkata: "Nampaknya saya memang sepatutnya hadir ke negara ini untuk konsert sulung saya sejak dulu lagi.

"Anda semua memang hebat dan saya cukup teruja untuk menyanyi di depan anda. Saya pasti akan datang ke sini lagi."

Menyampaikan lagu-lagu seperti I Do Not Hook Up, Impossible, That I Would Be Good, If I Can't Have You, Never Again, Lies dan Tonight I Want To Cry membuktikan Clarkson memang cukup hebat dari segi penyampaian vokalnya.

Hampir keseluruhan lagu yang disampaikannya adalah berentak rancak dan apa yang cukup mengagumkan apabila Clarkson mampu menari dan menyanyi dengan mengekalkan tenaga vokalnya.

Suaranya yang ampuh dan langsung tidak sumbang itu sekali gus membuktikan Clarkson merupakan juara American Idol yang terbaik setakat ini.

Momentum terus meningkat naik sewaktu Clarkson menyampaikan lagu popularnya, Breakaway yang telah memberi pelbagai pengiktirafan kepadanya termasuk dua anugerah Grammy.

Clarkson yang baru sahaja menginjak usia 28 tahun pada 24 April lalu terus memperlihatkan kehebatan vokalnya sewaktu mendendangkan lagu-lagu seperti Low dan Just Missed The Train dalam versi akustik.

Selesa dengan penampilan ringkas seperti personalitinya juga, Clarkson tidak perlu menukar pelbagai busana kerana dia cukup sedar kredibiliti vokalnya sudah cukup untuk membuat penonton terasa kesan persembahannya.

"Lagu seterusnya ini saya tujukan kepada anda semua kerana anda telah menyebabkan lagu ini menjadi popular dan menduduki tangga pertama dalam carta.

"Lagu ini juga saya tulis berdasarkan pengalaman saya sewaktu kecil dan emosi yang tercurah itu saya mahu kongsi bersama peminat," katanya sebelum menyampaikan lagu Because Of You.

Sebaik sahaja permulaan lagu itu dimainkan, penonton kembali bersorak dan menyanyi bersama Clarkson tanpa disuruh serta membuai emosi peminat yang hadir pada malam itu.

Kemuncak persembahan Clarkson apabila lagu-lagu seperti Walk Away, Since U Been Gone, Already Gone dan My Life Would Suck Without You disampaikan penuh bertenaga.

Terasa cepat benar masa berlalu tanpa disedari hampir dua jam konsert All I Ever Wanted berlangsung dan ia telah memberi kepuasan yang maksimum kepada mereka yang hadir.

Cuma sedikit ralat apabila Clarkson tidak menyampaikan lagu A Moment Like This yang telah menjulang namanya sebagai pemenang American Idol pertama.

Sebelum persembahan Clarkson, penonton terlebih dahulu dihiburkan dengan persembahan oleh juara Malaysian Idol musim pertama, Jaclyn Victor yang menyampaikan lagu Koleksi Gemilang.

Kemudian, juara One In A Million musim pertama, Suki tampil dengan gaun merah kembang rekaan Dominique Chan yang menyampaikan lagu Kerlipan Cinta.

Bagi penulis sendiri, menyaksikan konsert Kelly Clarkson meninggalkan momen tersendiri dan puas apabila melihat persembahannya yang cukup bertenaga itu.

Dia sudah membuktikan bahawa di sebalik laluan seni yang berliku itu, dia sebenarnya memiliki peminat yang selama ini menjadi tunjang kekuatannya untuk terus kekal di gelanggang seni.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: