|
|
RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa di kalangan kamu melihat perkara mungkar maka hendaklah dia mengubah dengan tangannya, sekiranya tidak mampu maka dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu lagi maka dengan hatinya dan dengan yang demikian itu (dengan hati itu) adalah selemah-lemah iman. (riwayat Muslim)
Hadis di atas membuktikan bahawa setiap kita mempunyai tanggungjawab mencegah kemungkaran yang berlaku. Lebih-lebih lagi, jika ia berlaku di hadapan kita dan kita mempunyai kuasa mencegahnya.
Bagaimanapun, dalam dunia yang semakin canggih, penguat kuasa agama juga perlu melengkapkan diri dengan tatacara perundangan syariah.
Ini supaya usaha membanteras jenayah syariah itu benar-benar berkesan dan pelaku jenayah terlibat disabitkan kesalahan.
Menyedari hal ini, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) mengadakan Kursus Pengukuhan Penguatkuasaan Kesalahan Jenayah Syariah Untuk Pegawai-Pegawai Masjid di Keningau, Sabah, baru-baru ini.
Kursus dua hari anjuran JHEAINS itu disertai imam daerah dan imam kariah seluruh daerah Keningau.
Ia dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Ketua Menteri yang juga bertanggungjawab terhadap Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, Datuk Nasir Sakaran.
Ia dianjurkan bagi memberi kefahaman kepada para imam daerah dan imam kariah yang dilantik oleh JHEAINS menguatkuasa undang-undang kesalahan jenayah syariah negeri Sabah.
Kursus ini juga bersesuaian dengan peruntukan seksyen 20, Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2004 yang memperuntukkan kuasa Pegawai Masjid dalam membuat tangkapan kesalahan Jenayah Syariah.
Antara objektif kursus adalah mengukuhkan cara penguatkuasaan undang-undang kesalahan Jenayah Syariah di kalangan para imam sebagai Pegawai Masjid, memberi langkah pencegahan mengikut Enakmen serta membudayakan ilmu di kalangan peserta.
Dalam ucapan perasmiannya, Nasir berkata, penganjuran kursus ini amat relevan dengan senario masa kini.
Ia berikutan aduan serta rungutan yang semakin meningkat mengenai salah laku umat Islam di Sabah.
Katanya, meskipun ada di antara aduan atau rungutan itu kurang berasas namun, setiap aduan harus ditanggapi sebagai momentum bagi memperkasakan lagi jentera penguatkuasaan.
Ia bertujuan menangani segala bentuk kesalahan jenayah syariah di Sabah.
Sehubungan itu, beliau berharap semua imam di negeri ini diberi kursus sedemikian bagi mendedahkan mereka kepada cara serta mekanisme yang betul dan berhikmah dalam mencegah dan menguatkuasakan kesalahan jenayah syariah.
"Ia perlu disusuli dengan bengkel-bengkel pemantapan bagi meningkatkan pengetahuan dan kredibiliti para imam selaku penguatkuasa agama yang cekap, dedikasi serta bijaksana," jelas beliau.
Menurut Nasir, yang menyedihkan masyarakat Islam sendiri mencari ruang mempertikaikan tindakan pihak berkuasa agama kerana bagi mereka isu kesopanan begitu subjektif dan berpakaian seksi, berpegangan tangan serta berpeluk-pelukan adalah hak peribadi.
"Justeru, usaha mencegah atau mengubah kemungkaran bukan terletak di bahu pihak penguatkuasa syariah sahaja malah wajib dipikul umat Islam untuk bersama-sama menggunakan pendekatan mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran," tegasnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: