Friday, April 30, 2010

Mampukah Siti Nurhaliza pertahan gelaran?


UNTUK kali ke-13, Siti Nurhaliza menerima pencalonan untuk Vokal Wanita Terbaik menerusi lagu Ku Percaya Ada Cinta.


DEBARAN Anugerah Industri Muzik Ke-17 (AIM17) semakin menghampiri kemuncaknya apabila tinggal dua hari sahaja lagi anugerah berprestij itu berlangsung.

Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) akan menjadi saksi anak-anak seni bakal diberi pengiktirafan berdasarkan kecemerlangan dalam bidang muzik sepanjang tahun lalu.

Kalah atau menang bukanlah agenda utama kerana apa yang penting adalah kesatuan karyawan muzik tempatan untuk sama-sama menyokong industri seni yang semakin merudum.

Biarpun apa yang diperkatakan ramai tentang AIM yang dikatakan sudah semakin hilang serinya, hakikatnya penganjuran anugerah yang menjadi tumpuan setiap tahun itu tetap ada signifikannya.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, harus diakui kategori yang satu ini memang antara yang mendapat perhatian meluas dan sering menjadi perdebatan antara peminat mahupun pengamal media sendiri.

Tidak lain adalah kategori Persembahan Vokal Wanita Terbaik Di Dalam Lagu yang saban tahun memperlihatkan saingan sengit yang sukar sekali diramalkan.

Seperti mana kategori Persembahan Vokal Lelaki Terbaik, kategori ini juga dahulunya dinilai berdasarkan keseluruhan album dalam menentukan pemenangnya.

Hanya bermula tahun lalu, pemenangnya dipilih berdasarkan penyampaian penyanyi dalam sesebuah lagu.

Kiranya ketika ini, pasti ramai yang sudah mula membuat teka-teki tentang penyanyi wanita manakah yang bakal menjulang trofi idaman ramai ini.

Melihat kepada lima calon yang bertanding, memang sukar sekali untuk meramalkan siapakah yang akan memenangi kategori ini.

Manakan tidak, kesemuanya memiliki keistimewaan vokal yang tersendiri baik dari kalangan penyanyi senior mahupun yang muda.

Mereka yang tercalon kali ini ialah Dayang Nurfaizah menerusi lagu Hilang, Jaclyn Victor (Bertamu Di Kalbu), Juwita Suwito (Sejak Hadirmu), Datuk Siti Nurhaliza (Ku Percaya Ada Cinta) dan Yuna (Dan Sebenarnya).

Untuk kali ke-13, penyanyi nombor satu negara, Siti Nurhaliza dicalonkan untuk kategori ini dan setiap tahun juga, namanya pasti diletakkan di tangga teratas sebagai calon kegemaran.

Daripada jumlah itu, sebanyak 11 buah trofi Vokal Wanita Terbaik sudah menjadi milik Siti sejak dia memenanginya pada tahun 1999.

Mempertaruhkan lagu ciptaan Audi Mok, Ku Percaya Ada Cinta, sekali lagi nama Siti Nurhaliza menjadi sebutan untuk mengungguli kategori ini.

Bukan bersikap bias tetapi jika diukur kepada penyampaian Siti dalam lagu ini, memang sukar sekali untuk menidakkan kehebatan dan kemantapan vokalnya.

Ku Percaya Ada Cinta memperlihatkan kemampuan Siti Nurhalizamengalunkan suara emasnya dalam pelbagai range menerusi lagu yang cukup kompleks ini.

Mungkin akan ada yang bertanya mampukah Siti Nurhaliza pertahan gelaran Vokal Wanita Terbaik yang sudah sinonim dengan dirinya, jawapannya hanya pada juri.

Kalau juri merasakan Siti Nurhaliza masih layak untuk menggenggam trofi buat kali ke-12, maka ia akan menjadi mutlaknya.

Seandainya tewas tahun ini, itu bukan satu masalah besar kerana rekod 11 kali yang dipegang penyanyi itu, hakikatnya merupakan kejayaan yang cukup luar biasa.

Sebelum ini pun dia pernah ditewaskan sebanyak dua kali oleh Camelia (1998) dan Jac (2007) yang sempat merasa kemanisan menggenggam trofi ini sebelum didominasi Siti Nurhaliza.

Siapa tahu, trofi Vokal Wanita Terbaik akan menjadi milik Dayang tahun ini apabila mempertaruhkan nyanyiannya secara live menerusi lagu Hilang.

Tiada siapa yang mampu menafikan kredibiliti Dayang sebagai penyanyi yang memiliki kehebatan setiap kali membuat persembahan.

Lalu, apabila lagu Hilang yang disampaikannya sewaktu persembahan di Planet Hollywood, Kuala Lumpur, tahun lalu dan dicalonkan tahun ini, tidak mustahil gelaran Vokal Wanita Terbaik mampu menjadi milik Dayang.

Sebelum ini pun, tiga penyanyi sudah diiktiraf dengan Vokal Terbaik (lelaki dan wanita) berdasarkan persembahan mereka secara langsung iaitu Awie, Zamani dan Siti Nurhaliza.

Menyebut tentang Jac pula, seorang lagi penyanyi yang memiliki kehebatan vokal yang hanya satu dalam sejuta.

Kelantangan dan kemampuannya menyanyikan lagu dalam nada tinggi memang tidak dapat dipertikaikan lagi dan mungkin juga gelaran Vokal Wanita Terbaik boleh menjadi milik Jac untuk kali kedua.

Dicalonkan berdasarkan lagu Bertamu Di Kalbu, lagu tersebut memang benar-benar mencabar vokalnya selain muzik serta melodinya yang menyerlahkan sisi lain Jac dalam menyampaikan lagu berentak pop Melayu.

Dilihat sebagai calon bukan kegemaran (underdog) setiap kali dicalonkan, memang tuah belum lagi berpihak kepada Juwita untuk membawa pulang trofi ini.

Pernah dicalonkan beberapa kali sebelum ini, hakikatnya Juwita memiliki kualiti vokal tersendiri dan jika dia tidak bagus, masakan dengan mudah dia tersenarai sebagai salah seorang calon.

Seandainya Juwita menang, diharapkan ia dapat membuka mata masyarakat sekali gus mempopularkan lagi namanya sebagai seorang penyanyi.

Bagaimana pula dengan Yuna? Anak gadis ini juga berpotensi besar untuk menang Vokal Wanita Terbaik.

Pasti akan ada yang berkata, apa hebatnya vokal Yuna sekadar menyanyikan lagu seperti Dan Sebenarnya.

Sayugia diingatkan, penilaian vokal begitu subjektif dan ia sebenarnya diukur daripada aspek teknikal serta penyampaian setiap penyanyi untuk setiap lagu.

Bukan sahaja di negara ini, tetapi ia juga berlaku di negara Barat seperti Amerika Syarikat setiap tahun dalam acara anugerah muzik seperti Grammy.

Kerana itu, kalau Yuna menang, ia bukan satu masalah kerana setidak-tidaknya dia membawa satu perubahan dan kelainan dalam mewarnakan industri muzik tempatan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: