Wednesday, April 28, 2010

Hanya 2,500 saksi konsert ST12


PERSEMBAHAN band Indonesia, ST12 mendapat sorakan gemuruh daripada penonton pada Konsert Emerald yang berlangsung di Stadium Tertutup Johor Bahru baru-baru ini.


WALAUPUN hanya ditonton 2,500 orang, kumpulan popular dari Indonesia, ST12 berpuas hati dengan sokongan yang diberikan oleh peminat-peminat tempatan terhadap persembahan sulung mereka di Malaysia.

Bagi ST12, kehadiran mereka di Stadium Tertutup Bandaraya, Johor Bahru Sabtu lalu menerusi Emerald Live In Concert Johor Bahru amat mengujakan.

Selain pertama kali mengadakan persembahan di negara ini, kumpulan yang mula dikenali di sini menerusi lagu P.U.S.P.A itu turut berkongsi pentas bersama artis tempatan seperti Bandi Amuk, Azlan & The Typewriter, Saleem, Bunkface.

Menurut vokalis utamanya, Muhammad Charly van Houten atau lebih dikenali sebagai Charly, ini adalah satu permulaan yang baik untuk mereka terus mendekati peminat-pemint di Malaysia dan sekali gus menjalinkan kerjasama erat dengan artis lain.

"ST12 senang sekali kerana peminat-peminat di Malaysia dapat menerima muzik kami dan mungkin kerana kita serumpun.

"Justeru itu, kalau ada kesempatan lain, kami ingin berkolaborasi dengan artis di sini," kata Charly yang ditemui selepas persembahan.

Kumpulan yang mendapat nama daripada Jalan Stesen Timur No. 12, Bandung, Jawa Barat, seminggu sebelum itu telah mengadakan konsert di Singapura.

Jelas Charly, tiada bezanya antara peminat Singapura atau Malaysia kerana bagi ST12 di mana sahaja peminat berada, mereka tetap memberi persembahan yang terbaik.

Katanya, tanpa sokongan peminat sejak kumpulan tersebut mula aktif pada 2006, tidak mungkin ST12 mampu mengadakan persembahan di seluruh daerah Indonesia dan luar negara.

Kumpulan yang turut dianggotai oleh Ilham Febry atau Pepep sebagai pemain drum dan Dedy Sudrajat yang dikenali sebagai Pepeng bermain gitar, hingga kini telah menghasilkan tiga buah album iaitu Jalan Terbaik (2007), P.U.S.P.A (2008) dan album repakej P.U.S.P.A (2009).

Pada konsert yang berlangsung selama satu jam lebih dengan harga tiket RM38, ST12 membuka tirai persembahan mereka dengan lagu Rasa Yang Tertinggal pada pukul 10.30 malam.

Ternyata kehadiran kumpulan tersebut amat dinanti-nantikan oleh peminat tempatan yang selama ini hanya berpeluang mendengar lagu-lagu mereka sehaja.

Justeru itu, Charly yang ada ketikanya menyanyi sambil bermain gitar tidak perlu bersusah payah mengajak penonton menyanyi bersamanya.

Rata-rata penonton yang datang adalah peminat ST12 kerana setiap lagu yang diperdengarkan oleh Charly akan turut didendangkan seiring dengan penyanyi tersebut.

Antara lagu yang diperdengarkan sepanjang konsert berlangsung ialah, Cari Pacar Lagi, Jangan Pernah Berubah, KebesaranMu , Cinta Tak Direstu, Putri Iklan, Saat Terakhir, Aku Masih Sayang, Biarkan Jatuh Cinta dan Isabella.

Malah kumpulan yang terpilih sebagai Band Terdahsyat pada majlis Dahsyatnya Awards 2010 yang berlangsung di Jakarta pada Februari lalu, juga berharap konsert ulung tersebut sebagai platform untuk mereka mengembangkan sayap di negara ini.

"Kalau ada kesempatan, kami juga ingin mengadakan persembahan di beberapa tempat di Malaysia dan sekali gus berkolaborasi dengan artis di sini," katanya.

Malah sewaktu di pentas, Charly sempat mendendangkan sebaris lagu Sheila dendangan Saleem ketika bersama kumpulan Iklim dulu bagi membuktikan yang dia juga mengenali artis Malaysia.

Katanya, selain Saleem, jika diberi kesempatan ST12 ingin berkerjasama dengan dengan Amy Search atau Exists kerana pada tahun 1990an, nama-nama itu termasuk kumpulan Slam amat dikenali di Indonesia.

"Kalau ada kesempatan bekerjasama dengan artis Malaysia, kami tidak mungkin menolak kerana menerusi muzik kita dapat menjalin hubungan yang lebih erat," katanya.

Bagi memulakan misi tersebut, ST12 bakal menemui peminat pada pentas yang sama dengan Rossa di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 29 Mei ini.

Dalam melayari karier, ST12 juga akan mengadakan persembahan di Eropah dan Amerika Syarikat mulai Julai ini.

Sementara itu, pengarah Emerald Pictures Sdn. Bhd., Mohd. Arif Aslam yang pertama kali menganjurkan konsert di Johor berkata, kehadiran penonton yang kurang daripada sasaran tidak mematahkan semangatnya untuk terus menganjurkan konsert di negeri ini.

Meskipun kehadiran penonton kurang, Mohd. Arif tetap berpuas hati kerana sedar promosi yang dilakukan untuk konsert tersebut agak lewat dan kebetulan pada waktu yang sama ada konsert percuma di Teluk Danga dan Plaza Angsana serta konsert Ungu di Singapura.

"Saya yakin, jika tidak ada acara lain, penonton mesti tertumpu di sini dan begitu juga dengan para peminat dari Singapura.

"Meskipun banyak saingan, jualan tiket agak memberangsangkan juga.

"Apa pun saya puas hati kerana dalam jangka promosi yang singkat itu, orang ramai tetap datang memberi sokongan. Kata orang itulah risiko menjadi penganjur konsert," katanya ketika ditemui selepas persembahan berkenaan.

Beliau yang sering menganjur konsert di ibu kota dan pertama kali di sini berkata, pada Jun nanti, satu lagi konsert yang menggabungkan artis dari Malaysia, Singapura dan Indonesia akan diadakan.

Katanya, barisan artis yang akan terlibat dan lokasi persembahan bakal diumumkan pada pertengahan Mei ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: