Friday, April 30, 2010

Gaun Barbie gaya Taiwan


ANAK patung Barbie yang berjaya menambat hati anak-anak gadis kelas pertengahan di Barat.


SEJAK pengeluaran patung Barbie terakhir di Taiwan lebih dua dekad lalu, bekas pekerja kilang patung itu mengambil langkah memelihara nostalgia indah menerusi penghasilan sejumlah gaun yang cantik untuk patung idola tersebut.

Bagi bekas pekerja kilang yang terdiri daripada wanita itu, penghasilan pakaian tersebut merupakan satu usaha yang dilakukan atas rasa sayang semata-mata. Malah, usaha tersebut turut mengembalikan kenangan yang mereka lalui di kilang kendalian pengeluar barangan mainan Amerika Syarikat (AS), Mattel.

Mattel merupakan pengusaha terbesar di pekan Taishan yang terletak berhampiran ibu negara Taiwan, Taipei.

Mengimbas kenangan lama tentang pekerjaan pertamanya, Chou Su-chin tersenyum lebar. Pada usia 18 tahun, dia meninggalkan kampung halamannya yang serba daif semata-mata untuk mendapatkan pekerjaan di kilang tersebut.

"Saya tidak pernah melihat apa-apa secantik Barbie. Saya sangat suka patung-patung itu. Tetapi saya benar-benar merindui pekerjaan saya," ujar wanita berusia 59 tahun itu dalam nada sedih.

Pada era kegemilangan Barbie, kilang tersebut mampu menawarkan pekerjaan bagi sebilangan besar penduduk di Taishan. Sepanjang tempoh 1960-an sehingga 1970-an, bilangan penduduk juga bertambah seiring dengan peningkatan jumlah eksport. Secara kebetulan, era tersebut jatuh dalam tempoh transformasi Taiwan dan menyaksikan perubahan sebuah komuniti luar bandar kepada satu industri besar yang kaya.

Hari ini, bengkel Meining yang ditubuhkan oleh bekas pekerja-pekerja kilang itu hampir menyerupai sebuah kilang asli dan mempamerkan sekitar 100 gaun jahitan tangan. Gaun-gaun itu diperagakan oleh patung-patung Barbie yang diilham dan diselitkan dengan budaya China serta Taiwan.


Barbie dalam persalinan lima wanita pertama Taiwan.


Dihasilkan untuk dijual, koleksi gaun itu merangkumi sehelai gaun diraja yang diilhamkan daripada seorang wanita, Wu Zetian. Wu merupakan pemimpin China sekitar tahun 700 Selepas Masihi. Selain gaun, terdapat juga satu rangkaian pakaian yang dihasilkan berdasarkan kepada penampilan lima wanita pertama di Taiwan.

"Bagi kami, menjahit gaun patung-patung ini seperti menghasilkan sebuah karya seni. Inilah caranya kami memberi penghormatan kepada sejarah Taishan iaitu pekan yang melahirkan patung Barbie," kata Ku Chai-ra, pengurus bengkel tersebut.

Memori indah

Hakikatnya, golongan pekerja termasuk dirinya telah membesar bersama Barbie dan patung idola itu sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka.

"Ia merupakan satu memori indah bagi kami semua di Taishan," jelasnya yang juga mengikut jejak ibunya bekerja di Mattel.

Kesemua pakaian bersaiz patung untuk kelima-lima wanita pertama di Taiwan itu merangkumi sehelai baju bagi Wu Shu-Chen dan beberapa barangan kemas serta kerusi roda mini. Wu yang kurang upaya merupakan isteri kepada bekas Presiden Taiwan, Chen Shui-bian. Wu dan Chen yang memimpin negara itu dari tahun 2000 sehingga 2008, berdepan dengan hukuman penjara seumur hidup berikutan tuduhan menerima rasuah.

Selain itu, pekerja-pekerja Ku turut menghasilkan pakaian tradisional masyarakat Cina, qipao mini. Qipao tersebut dihasilkan berdasarkan penampilan Soong Mei-Ling di dalam gambar. Soong merupakan isteri kepada bekas pemimpin pejuang negara, Chiang Kai-shek. Pada tahun 1949, Chiang telah meninggalkan Taiwan setelah beliau tewas dalam perang saudara yang tercetus dengan kumpulan komunis di China.

"Lima orang wanita pertama di Taiwan ini berasal daripada zaman yang berbeza. Tetapi mereka semua mewakili sejarah Taiwan dan trend fesyen yang tersendiri," jelas Ku.

Malah, kebanyakan bakal pengantin masih kembali ke bengkel tersebut untuk menempah gaun mereka dalam versi mini sebagai cenderamata. Mattel mula menghasilkan patung Barbie pada tahun 1959. Patung-patung idola itu terus menambat hati anak-anak gadis daripada keluarga kelas pertengahan di seluruh dunia Barat yang cintakan kemewahan.

Lapan tahun kemudian, Mattel menubuhkan sebuah kilang di Taishan yang menjadi salah sebuah kilang terawal di Asia. Taishan menjadi pilihan Mattel kerana kos tenaga pekerja yang murah selain bilangan pakar yang ada dalam bidang pengeluaran barangan plastik. Namun, harga patung Barbie yang terlalu tinggi itu bagaimanapun tidak mampu dimiliki oleh golongan pekerja yang menghasilkannya.

"Pada suatu masa, Barbie terlalu bernilai memandangkan ia hanya dihasilkan untuk tujuan eksport. Lagipun, kami tidak mampu untuk memiliki patung yang kosnya lebih tinggi daripada gaji kami," kata Chou.


Ku Chai-ra pengurus bengkel Meining mempamerkan persalinan Orang Asli Taiwan yang digayakan oleh Barbie.


Pada penghujung tahun 1960-an, jumlah pendapatan bagi seseorang pekerja Mattel hanyalah sekitar RM92 sebulan. Kos sesebuah patung Barbie yang dibeli di Jepun pula berharga sekitar RM122 di Taiwan.

Chou menjelaskan pada ketika itu, amaun RM92 hanya satu jumlah kecil di bawah aras purata pendapatan. Namun, bagi seseorang gadis remaja kampung, jumlah tersebut sesuatu yang tidak ternilai.

Seperti dirinya, sebilangan besar penduduk di Taishan menghabiskan tempoh terbaik dalam kehidupan mereka di kilang tersebut sehingga ia ditutup pada tahun 1987. Mattel memindahkan kedudukan lokasi pengeluarannya ke China dan beberapa destinasi lain berikutan kos bahan dan tenaga pekerja yang jauh lebih murah.

Kini, kebanyakan penduduk di Taishan berharap usaha mereka dalam mempromosikan pekan itu menerusi patung Barbie dapat mendorong syarikat tersebut untuk mendirikan sebuah muzium atau kedai utama di sana.

"Ia sangat bermakna kerana Taishan adalah kampung halaman bagi Barbie," tambah Ku.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: