Friday, April 30, 2010

Model didakwa perdaya pemimpin pembangkang


SATU klip video di Internet menunjukkan Mikhail Fishman memakai seluar di sebuah flat di Rusia.


MOSCOW – Seorang wanita jelita yang dikenali sebagai Katya memperdaya pengkritik-pengkritik Perdana Menteri Rusia, Vladimir Putin dengan merakamkan adegan seksnya bersama mereka, lapor sebuah akhbar semalam.

Mangsa terbaru model amatur itu ialah wartawan radio, Viktor Shenderovich, 52, yang telah berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan.

Shenderovich mengakui curang terhadap isterinya kerana menjalin hubungan sulit dengan Katya atau nama sebenarnya Ekaterina Gerasimova, tetapi pada masa yang sama lelaki itu mendakwa, dia diperangkap oleh agensi perisikan rahsia Rusia, terutamanya konco-konco Putin.

Shenderovich sebelum ini mengkritik hebat Putin kerana mengamalkan rasuah dan membunuh musuh-musuh politiknya.

Wartawan itu mengaku curang setelah klip video yang menyiarkan adegan seksnya bersama Katya di sebuah flat di sini, disiarkan di Internet.

Semua enam pengkritik Putin yang menyokong pihak pembangkang Rusia telah diperdayakan oleh Katya untuk melakukan hubungan seks di flat berkenaan, pusat bandar Moscow.

Selain Shenderovich, klip-klip video seks melibatkan Katya yang disunting dengan teliti, turut menampilkan dua pemimpin pembangkang, Alexander Potkin dan Eduard Limonov.

Potkin mengakui aksinya dirakam secara rahsia semasa bersama Katya.

“Kini, tiada lagi jaminan bahawa kehidupan peribadi anda dilindungi (oleh pemerintah Rusia),” katanya.

Seorang lagi mangsa Katya, Ilya Yashin iaitu ketua kumpulan pembangkang Solidarity, mengakui menjalin hubungan seks singkat dengan Katya yang didakwanya seorang ejen perisikan rahsia.

Yashin memberitahu, dia menamatkan hubungan dengan Katya sejak 2008 lalu setelah tindak tanduk wanita itu yang menawarkan hubungan seks ganjil telah menyebabkannya mengesyaki bahawa dia ialah seorang ejen perisik.

Dia bertanya kepada Katya sama ada aksi mereka sedang dirakamkan namun wanita itu menafikannya.

Namun, sejurus selepas Katya mengeluarkan sejumlah kecil dadah kokain, Yashin berkata, dia terus keluar dari flat tersebut.

Yashin bertegas bahawa dia tidak berasa bersalah kerana melakukan hubungan sulit itu.

Sebelum ini, satu lagi klip video seks membabitkan seorang pengarang majalah Newsweek edisi Rusia, Mikhail Fishman disiarkan di Internet selepas dia menyiarkan beberapa laporan mengkritik pentadbiran Putin.

Klip itu menunjukkan dia menghisap kokain manakala Kayta dilihat mundar-mandir sambil berbogel di dalam flat itu, yang dipercayai disewa oleh agensi perisikan Rusia.

Kesemua rakaman adegan seks itu dilakukan secara profesional, dipercayai oleh pihak berkuasa Rusia untuk memenuhi dua obejktif iaitu memusnahkan reputasi dan memeras ugut individu yang mengkritik pentadbiran Putin.

“Sekiranya mereka enggan tunduk kepada Putin, klip video itu akan disebar,” kata Shenderovich.

Pihak pentadbiran Putin bagaimanapun, menafikan bahawa pihak berkuasa negara itu terbabit dalam komplot tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: