Sudah jatuh ditimpa tangga. Krisdayanti (KD) redha dengan episod hitam yang tertulis dalam perjalanan hidupnya. Melalui fasa perceraian selepas 13 tahun berkongsi hidup dengan Anang Hermansyah, diikuti perpisahan dengan teman lelakinya, Rahul Lemos, KD mengakui kecewa atas apa yang berlaku, namun percaya segalanya terkandung hikmah. "Daripada wajah saya, mungkin nampak seperti saya sudah pulih. Saya mampu tersenyum berkat daripada sokongan teman-teman rapat. Memang sedih namun saya tak mahu berlarutan sangat sehingga mengganggu kehidupan.
"Saya hanya mampu memohon restu untuk peroleh kejayaan. Sudah tertulis saya akan melewati cabaran sebegini dan harus belajar daripada itu.
"Tak ada penyesalan kerana setiap jodoh sudah ditetapkan. Percintaan saya gagal sekarang, tapi siapa tahu mungkin ada 'hadiah' yang lebih besar dari Allah," uajrnya ketika ditemui sewaktu Showcase Datuk Siti Nuhaliza dan Krisdayanti di Shah Alam Convention Centre (SACC). Terkilan Wartawan Indonesia
Wanita, makhluk tuhan yang cukup kaya dengan perasaan, walau seteguh mana benteng dibina, namun bisa runtuh dengan kata-kata nista. Mungkin itu yang dialami KD ketika ini. Perlukan ketenangan setelah penat berperang dengan hati dan perasaannya sendiri.
"Saat ini hanya Siti yang mengerti kepedihan saya. Dia banyak membantu menaikkan semula semangat yang telah hilang. Jujur saya sangat tertekan dengan publisiti sensasi yang sengaja digembar gemburkan media Indonesia. Bayangkan saya dikejar dan lebih 100 orang berkerumun di sekeliling kereta semata-mata untuk mendapatkan cerita perceraian dan perpisahan.
"Bagaimana saya harus menjawab soalan dari media jika terus ditekan sebegitu rupa. Oleh itu lebih elok saya berdiam diri," luah KD.
Masih mengikuti perkembangan bekas suaminya yang kini dikatakan sedang hangat bercinta, KD menjelaskan bukan haknya untuk masuk campur kehidupan Anang. Namun sering menasihati anak-anak agar menghormati pilihan Anang sekiranya ditakdirkan bertemu pengganti dirinya.
"Saya dapat tahu dari anak-anak apa yang berlaku dan mereka beri saya kekuatan untuk tidak menangis lagi. Saya sendiri tidak terdesak mencari cinta selepas bercerai. Jodohkan tak bisa dipaksa. Saya tak mahu terburu-buru mencari kebahagiaan kerana ia akan datang sendiri.
"Biarlah kehidupan berjalan seperti biasa dan saya tak mahu terlibat dengan masalah lagi," katanya optimis.
|
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: