LONDON - Perdana Menteri Britain, Gordon Brown mendapat malu semalam kerana memanggil seorang janda tua sebagai 'wanita yang taksub' dalam satu kempen untuk pilihan raya umum yang akan berlangsung pada 6 Mei depan.
Brown berjumpa dengan para pengundi di Rochdale barat laut England semasa beliau bertembung dengan seorang janda, Gillian Duffy dan berbincang mengenai pelbagai isu termasuk cukai.
Sejurus selepas perbualan tersebut, Brown memasuki ke dalam sebuah kereta dan masih memakai mikrofon pada bajunya.
Mikrofon yang belum ditanggalkannya itu menyebabkan wartawan penyiaran boleh mendengar perbualan Brown dengan pembantunya mengenai pertemuan itu.
"Ini satu bencana. Jangan sesekali letakkan saya bersama perempuan itu. Idea siapa itu? Dia memang seorang perempuan yang taksub," kata Brown.
Beberapa minit kemudian, Brown yang berada di sebuah studio radio Perbadanan Penyiaran British (BBC) di Manchester, meminta maaf kepada pendengar dan beliau kelihatan amat tertekan.
Kedua-dua tangan Perdana Menteri itu memegang kepalanya semasa kenyataannya yang memalukan itu diperdengarkan oleh stesen berkenaan.
"Saya meminta maaf jika saya telah menyatakan sesuatu yang amat melukakan," kata Brown.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: