Thursday, April 29, 2010

KD hilang suami, tinggal kekasih

MEMPUNYAI kawan baik dan popular seperti Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, 31, dan kakak yang sentiasa mempertahankan dirinya, Yuni Shara, 37, memberi kekuatan kepada Kris Dayanti atau KD, 35, untuk tabah menghadapi dugaan hidup.

JAWAB...Siti dan KD pada sidang media selepas selesai  persembahan.
JAWAB...Siti dan KD pada sidang media selepas selesai persembahan.



KD berkata, dia sangat beruntung mempunyai kawan baik seperti Siti kerana banyak memberi semangat dan kekuatan kepadanya. Katanya, melihat wajah Siti yang lembut mampu membuat jiwanya tenang apa lagi mendengar kata-kata semangat daripadanya supaya dia terus tabah.


"Siti selalu mengingatkan saya bahawa sudah suratan takdir saya begini dan harus reda menerimanya. Dia juga memberi semangat kepada saya supaya meneruskan kehidupan dengan tabah.


"Katanya, apa yang berlaku pasti ada hikmahnya kerana Allah yang menentukan baik atau buruk kehidupan kita. Siti juga mengatakan, soal jodoh dan ajal ditentukan Allah dan meminta saya sentiasa berdoa supaya dijauhkan daripada yang buruk dan didekatkan dengan kebaikan.


"Selain kawan baik, saya juga punya kakak yang sentiasa menyokong diri saya dan menganggap Yuni Shara sebagai pahlawan dalam hidup saya. Dia sentiasa berada di hadapan mempertahankan saya," katanya ketika ditemui selepas selesai persembahannya bersama Siti di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam, kelmarin.


Penyanyi terkenal Indonesia ini tiba di Kuala Lumpur pada 26 April dan dijangka pulang pada 3 Mei ini kerana menjayakan persembahan selama dua hari di SACC dan malam kemuncak Anugerah Industri Muzik ke-17 (AIM17) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, Ahad ini.


Baru-baru ini, KD mengejutkan peminat apabila membuat pengakuan dalam satu sidang media di Indonesia mengatakan percintaannya dengan jutawan dari Timur Leste, Raul Ramos, sudah berakhir dan dirinya tiada lagi kaitan dengan lelaki berstatus suami orang itu.


Penyanyi yang popular dengan lagu Aku Wanita Biasa itu mengatakan, dia memutuskan hubungan dengan Ramos kerana tidak mahu terbabit dengan suami orang. Katanya, sebelum ini dia keliru dengan status Raul.


Perkahwinannya dengan Anang Hermansyah pada 22 Ogos 1996 berakhir dengan perceraian pada Ogos 2009 kerana dikatakan ada orang ketiga. Mereka mempunyai dua anak, Titania Aurelia Hermansyah dan Azriel Hermansyah.

Nasib juara Asia Bagus! pertama pada 1992 itu seperti pepatah 'yang dikejar tidak dapat yang dikendong berciciran'.


KD akui perasaannya sangat kecewa, tetapi orang di sekelilingnya banyak memberi sokongan dan semangat kepadanya.


"Bohong kalau saya tidak nangis sendirian tapi saya bukanlah orang yang suka melayan kesedihan berpanjangan. Saya terima hakikat sudah lumrah kehidupan, pasti ada pasang surutnya dan saya banyak belajar daripada kesilapan ini.


"Saya juga sentiasa berdoa kepada Tuhan supaya memberikan sesuatu yang lebih baik buat saya. Selepas melalui kegagalan perkahwinan dan kini percintaan, mungkin ada hadiah lain yang membahagiakan menanti saya. Mungkin kebahagiaan itu belum menjadi milik saya sekarang, tetapi saya yakin Tuhan akan memberikannya kepada saya suatu hari nanti."Saya juga sudah tiada apa-apa hubungan lagi dengan Raul, tetapi sebagai teman, saya tidak mampu menghalangnya. Bagaimanapun, saya hormati wilayah yang tidak boleh saya campuri sekarang.


"Saya juga yakin persahabatan saya dan Siti terus kekal tanpa dirosakkan dengan pergaduhan yang boleh menjejaskan hubungan baik ini. Saya cukup optimis dengan Siti kerana dia orangnya sangat baik dan saya tidak akan biarkan perkara yang mampu merosakkan hubungan ini," katanya.


Sementara itu, Siti mengakui sebagai kawan dia perlu memberi semangat dan sokongan pada KD untuk menghadapi dugaan dalam hidupnya.


"Semua orang ada masalah peribadi dan kini KD melaluinya. Saya berikan semangat kepadanya bahawa ini adalah perjalanan hidup yang perlu dilaluinya. Ternyata KD begitu profesional kerana mampu memberi persembahan hebat malam ini. Dia tidak pernah menunjukkan masalahnya ketika bekerja.


"Kami juga hanya mampu melakukan latihan ringkas untuk persiapan. KD tiba di Kuala Lumpur jam 10 malam tadi dan kami terus membuat latihan sehingga jam 12 tengah malam. Pagi tadi (Selasa) ada majlis pelancaran SACC dan kami membuat penampilan khas dengan menyampaikan dua lagu, kemudian berlatih lagi.


"Saya bangga kerana malam ini kami muncul berkongsi pentas bersama selepas menghasilkan album duet, CTKD: Cinta, Tangis, Ketawa, Duka) tahun lalu. Saya puas kerana mampu memberi kepuasan kepada penonton malam ini dengan persembahan hampir dua jam," katanya.


Dalam persembahan sempena perasmian SACC itu, Siti dan Kris menghiburkan penonton dengan lagu daripada album duet mereka, Jika Kau Tak Datang, Hanya Dia dan Sebagai Teman sebelum menyampaikan lagu solo.


Bagi memberi keistimewaan kepada persembahan malam itu, Siti menyampaikan lagu popular Kris, Cobalah Untuk Setia dan Mahadaya Cinta manakala Kris memilih lagu Siti, Aku Cinta Padamu dan Bukan Seindah Biasa.


Siti juga mengejutkan peminat apabila menyampaikan lagu popular Inul Daratista, Goyang Inul, tetapi mereka tidaklah goyang gerudi seperti Inul. Siti dan Kris juga mengundang penonton lelaki ke pentas menari bersama mereka.


Kata Siti, dia sendiri memilih lagu itu hingga Kris terkejut dengan lagu pilihannya. Malah Siti sendiri mengakui tidak tahu mengapa dia memilih lagu itu. Siti juga menyampaikan lagu lama yang dipopularkan Bob Tutupoly dan Broery Marantika, Widuri serta turun pentas bertemu penonton sambil meminta mereka menyanyikan lagu itu bersama.


Lagu lain, secara solo oleh Siti ialah Destinasi Cinta, Biarlah Rahsia, Ku Mahu dan Ku Milikmu. Kris menyanyi solo lagu Rembulan, Menghitung Hari, Penasaran dan Mencintaimu.


Kata Kris, lagu Menghitung Hari cukup bermakna kepadanya kerana diterima dengan baik masyarakat di sini melalui lagu itu pada 1998. Sejak itu saban tahun Kris berkunjung ke sini mengadakan persembahan.


Persembahan hampir dua jam itu diakhiri dengan lagu duet mereka, Tanpamu dan Amarah. Siti dan Kris juga akan membuatkan persembahan pada malam kemuncak Anugerah Industri Muzik ke-17 (AIM17) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Ahad ini dengan lagu Hanya Dia. Siti dan Kris juga dicalonkan di AIM17 untuk kategori Vokal Berkumpulan/Duo Terbaik (Dalam Lagu) melalui lagu Amarah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: