Thursday, April 29, 2010

Menimba sampah di hutan paya bakau




TANGGAL 22 April, seluruh dunia menyambut Hari Bumi 2010 dengan cara dan interpretasi masing-masing. Kita juga menyaksikan selepas 40 tahun sambutan Hari Bumi, pelbagai cabaran dilalui bagi memulihara khazanah dunia agar tetap utuh.

Seiring cabaran dihadapi hari ini iaitu perubahan cuaca dan pemanasan global, tahun ini merupakan masa terbaik untuk menggiatkan usaha membina kehidupan yang sihat, persekitaran hijau dan aplikasi teknologi hijau untuk kebaikan masa depan.

Hari Bumi 2010 mampu menjadi titik tolak kepada usaha-usaha individu, korporat dan kerajaan untuk sama-sama berganding bahu membangunkan ekonomi hijau global dan rangkaian kepada jutaan rakyat seluruh dunia kepada komitmen melestarikan alam.

Timberland Malaysia adalah salah sebuah organisasi yang mengambil bahagian dalam sambutan Hari Bumi 2010 di sini tahun ini, manakala secara keseluruhan lebih satu bilion rakyat dari 190 negara turut mengambil bahagian.

Menurut Pengurus Jenama Timberland Asia, Chirslyn Pillai, Timberland telah mengambil bahagian dalam Hari Bumi sejak 10 tahun lalu melalui program perkhidmatan komuniti dan tahun ini tumpuan adalah bagi memulihara hutan paya bakau.


BERBEKAL sekarung guni peserta meredah lumpur dan selut untuk mengutip sampah sarap.


"Timberland mengambil inisiatif memulihara hutan paya bakau bukan sahaja sebagai satu tanggungjawab sosial tetapi kerana kami adalah sebuah organisasi yang mementingkan persekitaran dan menjadikan ia sebagai satu budaya.

"Kami juga memberi peluang kepada kakitangan Timberland untuk turut serta dalam aktiviti memulihara alam sekitar dan perkhidmatan komuniti," katanya pada program Hari Bumi 2010 di Taman Alam Kuala Selangor (KSNP) yang mempunyai keluasan 800 ekar.

Seramai 80 peserta yang merupakan kakitangan Timberland, Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) dan pelanggan Timberland mengambil bahagian dalam sambutan tahun ini. Selain menanam pokok bakau, peserta turut bergading bahu mengecat pondok-pondok KSPN dan mengutip sampah sarap.

Chirslyn memberitahu, walaupun sumbangan mereka kecil, tetapi melaluinya banyak perubahan bakal berlaku sekiranya lebih banyak pihak tampil mengambil bahagian memulihara alam sekitar.

"Apa sahaja yang mampu kita sumbangkan, kita akan lakukan demi mengekal dan menghijaukan persekitaran. Hasrat ini pasti terlaksana sekiranya lebih ramai sukarelawan mengambil bahagian," katanya.

Dalam pada itu katanya, Hari Bumi di peringkat antarabangsa anjuran Timberland mengumpulkan lebih 7,600 sukarelawan di 140 kawasan perkhidmatan di seluruh dunia dan membabitkan masa perkhidmatan menghampiri 52,000 jam.

"Sejak 10 tahun lalu kami telah berjaya menanam kira-kira 900,000 batang pokok dan hasrat kami tahun ini adalah bagi mencapai jumlah sasaran iaitu satu juta batang pokok.


CHIRSLYN tidak ketinggalan turun padang menanam pokok bakau sempena Hari Bumi.


"Di Malaysia, hutan paya bakau menjadi tumpuan utama kerana aspek perlindungan daripada hakisan dan habitat semula jadi pelbagai spesies hidupan," tambahnya.

Sementara itu, Pengurus Taman Alam Kuala Selangor, R. Nagarajan memberitahu, hutan paya bakau mempunyai sumbangan yang besar kepada pelestarian alam semula jadi dan habitat pelbagai hidupan liar.

"Pokok paya bakau adalah satu-satunya tumbuhan darat yang mampu hidup dalam air masin dan mampu mengurangkan kesan ombak tsunami di sepanjang pinggir pantai di utara Kedah, Perlis dan Perak.

"Ia melindungi pesisir daripada kuasa fizikal seperti ombak yang menghakis pinggir pantai dan angin pantai yang kencang," katanya.

Tambah beliau, hutan paya bakau menstabilkan kawasan pantai dan bertindak sebagai penampan semula jadi terhadap ribut taufan.

"Bakau juga menjadi habitat kera serta beberapa spesies ketam kecil. Selain itu, ia juga mempunyai pelbagai kegunaan seperti bekalan makanan, penggunaan langsung, simpanan pencemaran selain untuk tujuan kajian, pendidikan dan rekreasi.

"Kawasan bakau dan dataran lumpur yang berkaitan dengannya pula adalah tapak penting bagi burung-burung residen dan hijrah yang mencari makan dan bersarang," tambahnya.


LEBIH 80 orang peserta terdiri daripada kakitangan Timberland, ahli Persatuan Pencinta Alam dan pelanggan Timberland berkampung sehari di hutan paya bakau.


Dalam pada itu kata Nagarajan, hutan paya bakau menyerap jumlah karbon dioksida yang tinggi untuk memastikan kesinambungan kehidupan manusia iaitu sebanyak 1.5 tan karbon dioksida bagi setiap 1,000 hektar hutan paya bakau setahun.

"Justeru, kita mestilah memelihara dan memulihara hutan paya bakau dengan penanaman semula pokok bakau dan mengubah sikap dengan menjadi seorang yang cintakan alam sekitar," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: