![]() |
| RJROC yang kini dikenali sebagai Rentak Juara pernah menjadi tumpuan ramai pemuzik daripada pelbagai genre muzik mengetengahkan bakat mereka pada pertandingan itu. |
PERTANDINGAN Rentak Juara yang dulunya dikenali sebagai Rentak Juara Rhythmn of Champion (RJROC) kini kembali lagi. Sebanyak 30 kumpulan dari seluruh negara dengan 157 orang pemuzik akan mengambil bahagian pada pertandingan anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu.
Peringkat suku akhir pertamanya akan bermula 1 Mei ini di Angkasapuri, Kuala Lumpur. Ini adalah musim terbaru Rentak Juara selepas dua tahun ia tidak diadakan. Tahun 2008 kumpulan rock, Aisunam muncul juara RJROC.
Langkah RTM meneruskan pertandingan ini memang wajar diberi pujian. Sebabnya, Rentak Juara membuka ruang khusus buat para pemuzik tempatan. Jika sebelum ini, RTM menganjurkan pertandingan seperti Bintang RTM yang lebih fokus untuk melahirkan penyanyi solo semata-mata.
Sebaliknya, Rentak Juara dilihat mampu mencungkil bakat penyanyi dan pemuzik sekali gus. Paling menarik apabila pertandingan ini terbuka buat para pemuzik profesional dan amatur. Pendek kata, ukuran pengalaman tidak menjadi halangan dalam kriteria pertandingan tersebut.
Apa yang penting, para pesertanya berbakat dan layak untuk bertanding dalam pertandingan yang menawarkan hadiah berupa wang tunai dan trofi.
Malah, penyertaan para peserta yang terdiri daripada golongan pemuzik profesional dan amatur juga menarik. Ia sebagai suatu pertembungan dua golongan itu bagi membuktikan kehebatan masing-masing.
Mungkin kumpulan peserta yang profesional belum tentu mampu mengalahkan yang amatur. Dalam bidang seni termasuklah muzik, idea yang sentiasa berubah-ubah dan mengikut trend semasa amat diperlukan.
Dalam erti kata mudah, yang lama atau berpengalaman belum tentu bagus. Mereka juga harus selalu menyesuaikan diri dengan perkembangan muzik semasa yang terus berkembang tanpa batas sempadan kreativiti.
Cuma sebagai penganjur, RTM haruslah realistik dan membuat anjakan supaya pertandingan ini tidak terlalu 'mengikat' para pesertanya untuk mempamerkan bakat mereka ke arah sesuatu tagline yang tertentu sahaja.
Boleh dikatakan setiap musim Rentak Juara mengetengahkan konsep atau tema yang dikatakan boleh menyekat kreativiti para pesertanya. Sebagai contoh, tahun ini stesen penyiaran milik kerajaan itu mengenakan taglinenya Julang Jati Diri.
Apa juga lagu, konsep muzik dan persembahan itu kelak secara tidak langsung haruslah menjurus kepada unsur jati diri. Ia mungkin boleh mengelirukan dan menyukarkan buat para peserta untuk mempamerkan bakat mereka sewaktu bertanding kelak.
RTM seolah-olah sudah terlebih dulu membentuk, menetapkan serta mengawal pergerakan kreativiti para pesertanya sejak dari peringkat awal lagi. Ini suatu pendekatan yang kurang sihat dalam membentuk kreativiti para pesertanya untuk berkembang lebih jauh lagi pada masa depan.
Lahir pemuzik pelapis
Rentak Juara sepatutnya melahirkan para pemuzik pelapis dalam pelbagai genre muzik. Namun, pendekatan itu secara tidak langsung mungkin sukar untuk berganjak, apatah lagi dalam usaha mereka menarik lebih ramai peminat terutamanya golongan muda.
Para peserta atau pemuzik tentunya sukar untuk bergerak dalam lingkaran genre muzik yang mereka ketengahkan dengan adanya pelbagai konsep atau peraturan yang harus diterapkan dalam pertandingan seperti ini.
Ramai yang beranggapan tema Julang Jati Diri itu cukup klise dengan peranan RTM selama ini. Semua orang tahu akan tanggungjawab sosial RTM terhadap masyarakat di negara ini. Kita semua memang berterima kasih kepada RTM.
Bagaimanapun, kita tidak mahu Rentak Juara sama seperti pertandingan- pertandingan lain yang pernah dianjurkan RTM. Pertandingan seperti ini bukan menjurus kepada menyerap nilai-nilai patriotik, tetapi ia adalah aliran muzik arus perdana. Ramai yang mungkin akan keliru dengan pendekatan konsep kali ini.
Jika untuk tujuan patriotik, RTM sebelum ini telah menganjurkan banyak pertandingan seperti mencipta lagu-lagu asli dan juga tema-tema lain yang ada kaitan dengannya. Tidak perlulah semua pertandingan yang dianjurkan oleh RTM harus dikaitkan dengan unsur patriotik.
Pada musim sebelumnya, RJROC contohnya pernah mengejutkan para peserta apabila mereka disyaratkan menyanyikan lagu-lagu pop yeh-yeh sebagai salah satu lagu wajib dalam pertandingan itu.
Sepatutnya, pertandingan Rentak Juara tidak terikat dengan sesuatu konsep atau temanya yang tersendiri. Ramai yang lebih memuji RJROC musim pertama yang diadakan pada 2003. Ketika itu, tiada tema tertentu, malah ia juga terbuka kepada semua genre muzik.
Pelbagai kumpulan daripada kalangan pemuzik pop, jazz, R&B, rock, ska, heavy metal dan pop yeh-yeh mengambil bahagian dalam RJROC. Ia memperlihatkan kemeriahan dan kepelbagaiannya yang tersendiri. Sambutannya juga luar biasa.
Buktinya, hadiah untuk juara musim pertama RJROC ialah wang tunai RM100,000. Ia adalah antara hadiah paling lumayan untuk pertandingan kugiran di negara ini. RTM juga harus mengkaji semula mengapakah RJROC musim pertama paling mendapat sambutan berbanding musim-musim selepasnya? Ramai penaja yang tampil menaja hadiah-hadiah lumayan pada musim pertama RJROC adalah bukti terhadap sambutannya pada ketika itu.
Untuk Rentak Juara musim terbaru ini, kita akan lihat pula sejauh manakah kemeriahan dan sambutan para peminat terhadapnya kelak.
Mungkinkah tema atau penetapan sesuatu syarat dalam Rentak Juara 2010 menjadi penyebab kalau sambutannya nanti kurang meriah berbanding RJROC?

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: