Monday, April 12, 2010

Tuah video di tapak warisan dunia


UTUSAN MEDIA SALES (UMES), Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dan Jabatan Penerangan Malaysia antara yang menaja Adwave kali ini.


MESEJNYA ringkas, iaitu nilai pemuafakatan, perpaduan, semangat bekerjasama dan saling hormat-menghormati antara yang perlu dalam menjayakan gagasan 1Malaysia.

Menggunakan suasana majmuk di Pulau Pinang sebagai latar belakang penceritaan, klip video pendek yang dihasilkan Hoh Yie Hau dan Wong Jeh Tat muncul pemenang pada Pertandingan Video My 1Malaysia-LAH! sempena Pameran Pengiklanan Pemenang Anugerah 2010 (Adwave 2010) edisi ke-13 baru-baru ini.

Penceritaan tentang perpaduan secara ringkas menggunakan sedikit unsur abstrak nyata tidak sukar difahami juri untuk memberi kemenangan kepada dua pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) itu. Mereka menewaskan sembilan finalis klip video lain yang dipertandingkan.

Menariknya, Yie Hau dan Jeh Tat bijak memilih lokasi pengambaran klip videonya, iaitu di sekitar Jalan Harmoni di Tapak Warisan Dunia George Town kerana di situlah terletaknya tiga rumah ibadat utama kaum Melayu, Cina dan India sebagai perlambangan perpaduan.

Bergelar juara, klip video berdurasi dua minit bertajuk An Art of Living itu melayakkan mereka menggondol hadiah wang tunai RM2,000.

Tempat kedua pula menjadi milik Ong Boon Siang, Cheow Yee Min dan Wong Yoke Luen dari Kolej ATEC (Art Technology Education Centre) dengan klip video bertajuk Our Nation. Mereka membawa pulang wang tunai RM1,500. Video klip Good Old Days oleh Miko Pon Lee Min, Chong Soo Hui dan Koh Tsi En dari Kolej Segi, Subang Jaya pula mendapat tempat ketiga dengan hadiah RM1,000.

Kesemua pemenang turut menerima trofi dan sijil masing-masing yang disampaikan pada Hari Anugerah Adwave 2010 yang berlangsung di Dewan Budaya USM.

Sebanyak 70 karya kreatif diterima daripada para pelajar institusi pengajian tinggi tempatan dan swasta (IPTA/S) sepanjang kempen pengiklanan itu dibuka sejak Januari lalu.

Adwave yang dianjurkan oleh pelajar tahun akhir Komunikasi Pemujukan USM Pulau Pinang adalah satu kempen pengiklanan khas bagi pelajar IPTA/S mahupun orang awam dan kali ini mesej 1Malaysia dijadikan tema kempen.


PELAJAR Komunikasi Pemujukan USM mengambil masa lima bulan merealisasikan Adwave 2010.


Buat julung kalinya juga, kempen pengiklanan Adwave mendapat sokongan penuh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan bagi menyemarakkan konsep 1Malaysia kepada warga kampus.

Bagaimanapun, Adwave 2010 yang bermula dari 22 Mac hingga 27 Mac itu bukan kempen pengiklanan biasa. Mengambil masa lima bulan perancangan, Adwave dilangsungkan dalam beberapa segmen menarik iaitu pertandingan klip video, hari pelancaran, kempen pengiklanan, bengkel serta forum pengiklanan dan kemuncaknya ialah Hari Anugerah Adwave.

Tajaan RM50,000

Selain itu, 58 iklan yang menerima Anugerah Pengiklanan Negara 2009 dipamerkan bagi Anugerah Kancil dan Effie.

"Tanpa sebarang dana permulaan, kesungguhan 22 warga kerja Adwave akhirnya berjaya menarik tajaan tunai bernilai RM50,000," ujar Pengurus Publisiti Adwave 2010, Prithi Sharma.

Ujarnya, penganjuran tahunan Adwave serta impaknya kepada industri pengiklanan tempatan meyakinkan pengiklan untuk turut serta.

Katanya lagi, Adwave 2010 tidak akan menjadi realiti tanpa sokongan daripada penaja-penaja antaranya Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM), MYC!, Maxis, Munchy's, Roti Boy, Kotex, Xixili, Measat Publications, Blu Inc, Follow Me, Vico, Cathay Cineplex dan Danai Spa.

Tidak ketinggalan akhbar Kosmo! bertindak selaku media rasmi bersama akhbar The Star dan Sistem Televsiyen Malaysia Berhad (TV3).

Menurut Sharma, bagi menjayakan kempen pengiklanan itu beliau dan rakan-rakan turut mengadakan siri jelajah ke semua universiti tempatan dan kolej swasta yang menawarkan program komunikasi media.


PEMENANG klip video Adwave 2010, Koh Yie Hau (kiri) dan Wong Jeh Tat menerima replika cek RM2,000.


Antaranya ialah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Kolej Teknologi Pulau, Kolej Segi, Kolej IACT Kuala Lumpur dan Kolej Han Chiang, Pulau Pinang.

Jelas Sharma, kunjungan Adwave 2010 yang turut mendapat pengiktirafan daripada Persatuan Ejen Pengiklanan Bertauliah Malaysia secara tidak langsung mengukuhkan jaringan perhubungan dan komunikasi antara pelajar komunikasi seluruh negara.

"Pelajar juga bertuah apabila Ketua Pegawai Operasi Perfisio Solutions Sdn. Bhd., Fareed Abdul Ghani sudi berkongsi pengetahuannya tentang Komunikasi Pemasaran Bersepadu dan penggunaan Internet dalam pengiklanan hari ini.

"Dua lagi bengkel yang tidak kurang menarik ialah Kreativiti Media Baru oleh Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Arachnid, Chin Weng Keong dan Bengkel Pemasaran Sosial oleh Pengarang Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan Malaysia, Omi Habibah Shariff.

"Sepanjang minggu pengiklanan Adwave di Kampus USM Pulau Pinang pula, sebanyak 2,000 beg cendermata diedarkan kepada para pelajar selain hadiah-hadiah menarik cabutan bertuah seperti telefon bimbit Nokia, pencetak HP, pemain MP3 Sony dan hamper," ujar Prithi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: