Monday, April 12, 2010

Kelubung inspirasi Mesir




ISTILAH abaya atau jilbab memberi erti yang sama iaitu jubah. Bagi sesetengah wanita, mungkin fesyen itu agak asing kerana tidak pernah mencuba menggayakannya.

Sungguhpun begitu, tidak dinafikan masih ada segelintir antara kita yang sudah terbiasa dengan fesyen tersebut. Ia dipakai bukan sempena hari tertentu sahaja seperti menghadiri majlis meraikan mempelai ataupun acara gala berprestij.

Kini, jubah disarungkan pemakainya sebagai salah satu busana pilihan ke pejabat.

Jelas sekali, kerana arus globalisasi dan inspirasi tanpa sempadan, busana yang mula dipopularkan oleh golongan wanita Asia Barat itu mula meluas penerimaannya di negara ini.

Apatah lagi ia didorong sifat universal pemakaian dan etika fesyen muslimah moden.

Kini, wanita bertudung dilihat begitu bijak mencuba apa jua gaya yang sesuai dengan imej mereka, asalkan ia menutup aurat.

Begitu juga dengan golongan pereka yang merupakan tenaga terpenting dalam mengetengahkan idea menarik kepada peminat fesyen.

Pereka fesyen tempatan, Fairuz Ramdan memberitahu, minatnya dalam menghasilkan potongan fesyen amat berlainan dengan pereka yang sedia ada. Ini kerana dia lebih berminat memilih gaya berinspirasikan Mesir.

Permintaan tinggi

"Bagi saya fesyen masyarakat di negara Asia Barat lebih menarik perhatian kerana mempunyai keunikannya tersendiri. Tambahan pula, gaya jubah telah menunjukkan permintaan tinggi di kalangan masyarakat negara ini.


SULAMAN yang sarat namun halus menyerlahkan penampilan si pemakainya. SULAMAN yang sarat namun halus menyerlahkan penampilan si pemakainya.


"Wanita yang bertudung tidak lagi terhad dengan seleksi baju kurung, sebaliknya jubah atau abaya merupakan fesyen terbaru untuk menyerlahkan penampilan," kata pereka fesyen Butik ZalJannah di Kota Damansara, Petaling Jaya itu.

Menceritakan tentang rekaan fesyen terbarunya, Fairuz baru sahaja selesai menyiapkan beberapa helai jubah yang cukup menawan hati golongan wanita apabila melihatnya.

Jubah yang diberikan nama Cairo Express mempunyai kelebihan tersendiri. Tidak seperti jubah-jubah biasa yang terdapat di pasaran, Fairuz lebih memperbanyakkan faktor yang diminati oleh kaum wanita iaitu sulaman tebal dan gemerlapan manik.

Kedua-dua eleman itu dikatakan mampu membuatkan fesyen tersebut tampak lain daripada yang lain. Menariknya, proses pembuatan jubah Cairo Express menggunakan fabrik sifon 100 peratus.

Namun begitu, jenis fabrik yang agak licin dan lembut itu memberi cabaran kepada Fairuz untuk menyiapkannya.

Dari segi kelebihannya pula, kain sifon memang sesuai dijadikan jubah kerana apabila dipakai ia akan kelihatan 'terletak' di badan pemakainya.

Penambahan untuk menjadikan gaya berkelubung itu lebih elegan dan eksklusif adalah dengan sentuhan pakar sulaman dari Pakistan. Sebelum sulaman dilakukan, potongan jubah tersebut dilakukan terlebih dahulu.

Selesai sahaja potongan dibuat mengikut fesyen terkini, jubah tersebut akan dihantar ke Pakistan dalam tempoh tiga minggu untuk proses sulaman. Alasan Fairuz memilih jahitan sulaman di negara itu kerana kualitinya lebih halus dan kemas.

"Pakistan dan India merupakan tempat sulaman yang paling bagus. Ini kerana mesin yang digunakan di sana lebih canggih dari tempat kita.


FAIRUZ (kanan) bersama model yang menggayakan rekaannya.


"Jadi, sebab itulah saya memilih negara tersebut, walaupun terpaksa menunggu, hasil yang diperolehi cukup memuaskan hati pelanggan," terangnya.

Faktor pemilihan warna pula, tidak lagi terhad kepada hitam semata-mata seperti lima tahun yang lalu. Baginya, warna hitam bukannya tidak menarik untuk dijadikan fesyen tetapi ia perlu dipadankan dengan sesuatu yang boleh menaikkan seri jubah itu.

Mungkin dengan pemakaian aksesori yang lebih besar dan menonjol, ia menjadikan gaya anda lebih bertenaga. Tambahan pula, penggunaan jenis dan warna benang sulaman perlu diberi perhatian agar jubah tersebut tidak nampak pelik.

"Kalau jubah hitam, saya akan gunakan warna benang sulaman keemasan atau perak. Gabungan kedua-dua benang tersebut akan membuatkan jubah itu ada kelas tersendiri," jelasnya.

Dalam pada itu, Fairuz juga tidak takut untuk memilih fabrik yang berwarna garang seperti merah dan sebagainya. Namun, kekurangan yang ada pada warna terang adalah tidak kesemua wanita sesuai dan bersedia memakainya.

"Menjahit pakaian yang berwarna biasa atau tidak terlalu terang sebenarnya lebih selamat kerana ia mudah disesuaikan dengan kasut atau tudung. Lazimnya, ia menjadi rebutan pelanggan.

"Bagaimanapun, kaum wanita jangan menjadikan hal itu sebagai alasan kerana kalau gemar berfesyen, apa jua warna perlu dicuba," tambah Fairuz.


PEMILIHAN aksesori yang bersesuaian amat penting agar penampilan tidak kelihatan janggal.


Hiasan kepala

Sementara itu, kelainan yang ditonjolkan juga dapat dilihat berdasarkan pemakaian penghias kepala atau headgear.

Menurut Fairuz, aksesori kepala sebenarnya adalah kesinambungan hiasan tudung. Biasanya, pelanggan akan meminta agar disiapkan headgear mereka supaya dapat disesuaikan dengan tema majlis makan malam atau keraian tertentu.

"Headgear akan menampakkan penampilan si pemakai lebih meriah. JIka tidak, gandingkan saja jubah ini dengan selendang atau tudung yang dipenuhi manik," ulasnya ringkas.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: