Monday, April 12, 2010

DARC kelab kuda termurah




EMPAT puluh tahun lalu, Terry Teo hanyalah seorang kanak-kanak miskin yang mempunyai impian yang besar. Dia terlalu teringin untuk menunggang kuda selepas melihat Sultan Terengganu, Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah menunggang kuda di Pantai Batu Buruk, Terengganu.

Ketika itu, kecintaannya kepada aktiviti berkuda membuak-buak. Mendengar orang bercerita mengenai kuda atau melihat papan tanda 'awas kuda melintas' sahaja sudah menarik perhatiannya.

Malangnya, Terry tidak dilahirkan dalam keluarga kaya. Bapanya ketika itu hanyalah seorang kakitangan bawahan di Jabatan Kerja Raya (JKR). Kehidupannya sekeluarga serba sederhana sekali gus menghalang impiannya untuk menunggang kuda terlaksana.

"Dulu, saya bukan sahaja tidak mampu menunggang kuda, tetapi hendak melihat orang menunggangnya juga susah. Saya dapat melihat Almarhum Sultan Mahmud menunggang kuda pun dari jauh.

"Hanya selepas umur saya mencecah 40 tahun, saya dapat memenuhi impian menunggang kuda, malah lebih manis dapat menubuhkan Denai Alam Recreation and Riding Club (DARC)," katanya mengenai kelab itu yang terletak di Shah Alam, Selangor.

Menurut Terry, 46, dia mahu memenuhi impian semua orang yang teringin menunggang kuda kerana kelab berkuda yang ditubuhkannya itu bukanlah untuk mencari keuntungan, sebaliknya untuk kebajikan golongan kurang berkemampuan.


ATAS: Terry (enam dari kanan) bergambar dengan kakitangan dan penghuni dari Rumah Amal Kasih Bestari.


"Di sini, anda akan dapat melihat anak-anak yatim berlari riang dan bermain dengan kuda secara percuma. Anda juga dapat melihat pasangan suami isteri yang bekerja sebagai kerani sekolah dan tukang sapu menghantar anak mereka menaiki motosikal untuk belajar menunggang kuda.

"Suasana ini tidak dapat dilihat di mana-mana kelab berkuda lain. DARC adalah kelab berkuda termurah di dunia yang akan anda temui, tetapi sumbangannya kepada masyarakat tidak dapat dinilai," katanya.

Buat masa ini ujar Terry, Rumah Amal Kasih Bestari, Subang Bestari, Selangor menjadi anak angkat kepada DARC yang membolehkan penghuninya mengunjungi DARC dan belajar menunggang kuda secara percuma.

"Penghuninya bukan sahaja di kalangan anak-anak yatim tetapi juga anak-anak daripada keluarga yang berpecah dan pelajar bermasalah.

"Kehadiran mereka di sini amat bermakna kerana kami bukan sahaja dapat memperkenalkan mereka dengan sukan berkuda, tetapi mengelakkan mereka daripada terjebak dengan aktiviti luar yang tidak berfaedah," katanya.

Jebat kuda pertama

Terry memberitahu, DARC yang ditubuhkan empat tahun lalu dibuka kepada orang awam sejak Januari lalu dengan yuran kelab hanya RM180 setahun untuk seisi keluarga dan RM120 untuk kelas menunggang kuda.

"Terdapat 20 ekor kuda di sini iaitu 10 ekor bekas kuda lumba dan 10 ekor kuda poni untuk kanak-kanak. Kami mempunyai enam jurulatih kuda dan 40 kakitangan secara keseluruhan yang bekerja seperti sebuah keluarga.

"Kuda pertama di sini adalah bekas kuda tarik yang diberi nama Jebat. Jebat bukanlah kuda tunggangan tetapi selepas tiga tahun ia menjadi kuda kesayangan ramai dan menjadi pilihan utama kanak-kanak," katanya.

Menceritakan kembali saat pembukaan DARC, Terry memberitahu ia adalah hasil tajaan pelbagai pihak selain sumbangan syarikat pembinaannya sendiri iaitu Tetap Teguh Sdn. Bhd.

"Pada mulanya saya hanya ada Jebat tetapi lama-kelamaan jumlah kuda ini bertambah hasil tajaan beberapa pihak yang prihatin antaranya Pengerusi Mainstay Properties Sdn. Bhd., Raja Azmi Raja Razali dan Pengarah Urusan SP & G Insurance Brokers, Datuk Zakaria Meranun.

"Tapak DARC seluas 6.4 hektar ini adalah tajaan Sime Darby Berhad tetapi DARC akan dipindahkan ke satu tapak baru yang berhampiran selepas beberapa tahun apabila kelab ini berkembang," katanya.

Dulu mandi sungai

Bagi salah seorang penguni Rumah Amal Kasih Bestari, Mohd. Atif Ariffin, 17, tiada perkataan yang dapat menggambarkan kegembiraannya selepas kali pertama dibawa ke DARC. Ini kerana dia amat sukakan kuda dan teringin untuk belajar menunggang kuda.


SEBUAH restoran nasi Padang dibuka di DARC menghidangkan pelbagai sajian pada hujung minggu dengan harga bayaran terserah mengikut budi bicara pengunjung.


"Dulu, masa lapang saya tidak diisi dengan aktiviti berfaedah kerana saya hanya melepak bersama kawan-kawan lain. Kini, saya dapat memenuhi masa lapang dengan belajar mengenai kuda dan menunggang kuda secara percuma," katanya.

Rakannya, Sayuti Zainuddin, 17, pula memberitahu sebelum ini dia bukan sahaja tidak pernah memasang impian untuk menunggang kuda bahkan tidak berpeluang untuk melihat aksi menunggang kuda secara langsung.

"Selepas datang ke sini, saya ingin mencuba menunggang kuda bersama kawan-kawan lain. Dulu saya hanya penuhi masa lapang dengan mandi sungai, katanya yang turut hadir bersama dua lagi rakan, Mohd. Suhaimi Wan Ariffin, 15, dan Mohd. Adib Hamzah, 15.

Hamzah Busu, 50, pegawai dari Rumah Amal Kasih Bestari berkata, dia amat menghargai usaha DARC kerana kelab berkuda itu meraikan anak-anak yatim yang hakikatnya memang tidak akan berkemampuan untuk mencuba hobi itu.

"Saya suka melihat anak-anak dari Rumah Amal Kasih Bestari belajar menunggang kuda. Sebelum ini saya ada berhasrat membeli dua ekor kuda untuk mereka tetapi selepas DARC ditubuhkan, syukur mereka dapat belajar di sini.

"Saya harap dengan membawa mereka ke sini, banyak masa dapat diisi dengan aktiviti berfaedah," tambahnya.

Sementara itu, pegawai pentadbiran dan program di DARC, Mohd. Zarif Affandi, 29 gembira dapat berkhidmat di DARC walaupun baru sebulan setengah menjadi salah seorang kakitangan di situ.

"DARC membawa idea dan visi yang bagus selain memberi kelebihan kepada golongan yang memerlukan," katanya yang sudah 10 tahun berpengalaman menunggang kuda.

Bayar suka hati




Turut memiliki sebuah restoran nasi padang di dalam kawasannya, setiap hujung minggu DARC akan menyediakan hidangan masakan khas oleh chef-chef yang dibawa dari restoran nasi Padang di Indonesia. Menariknya, restoran itu tidak meletakkan sebarang harga untuk setiap makanan yang dihidangkan.

"Terpulanglah kepada pelanggan untuk membayar hidangan yang diambil. Segala kutipan daripada sumbangan akan digunakan sebagai kos penyelenggaraan kelab, gaji pekerja, penjagaan kuda, makanan dan kos pengendalian program anak-anak yatim.

"Saya mahu semua orang merasa keaslian nasi Padang di sini dan tidak perlu bimbang dengan kos makanan. Yang kaya boleh menaja dan yang miskin dapat merasa," katanya mengenai restoran yang diterajui empat chef yang dikenali sebagai Kamal, 22, Anggie, 23, Daddy, 32, dan Alex, 28.

Katanya lagi, dia mempunyai pelan jangka panjang untuk membesarkan kelab itu daripada 6.4 hektar sekarang kepada 40 hektar, merangkumi pembangunan pondok-pondok, kolam renang dan kolej persediaan untuk anak-anak yatim selepas mereka keluar dari pusat pelindungan.

"Buat masa terdekat ini, 10 pondok akan disiapkan pada bulan Mei dan kegunaannya adalah bagi aktiviti keluarga termasuk membawa kembali permainan tradisional yang semakin dilupakan seperti tarik upih dan teng teng.

"Saya juga mahu mendekatkan seisi keluarga dengan permainan yang mendasari kehidupan orang susah seperti petani, penjual ikan dan pekerja ladang supaya kita semua bersyukur dengan rezeki yang ada.

"Ia juga bertujuan memberi pengajaran bermakna kepada anak-anak supaya mereka tahu kesusahan ibu bapa membesarkan mereka dan supaya mereka berasa terhutang budi," katanya.

Katanya lagi, dia berharap lebih banyak pihak mahupun individu akan menyokong pembangunan DARC dan mengambil bahagian dalam aktiviti yang dijalankan.

Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh berkunjung di DARC di alamat No. 1, Jalan Elektron U16/100, Seksyen 16 Denai Alam, Shah Alam, Selangor atau melayari laman web www.darc.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: