Friday, April 9, 2010

Tidak salah bawa suami - Zizie




SEJAK bernikah sekitar Disember tahun lalu, pelakon jelita Zizie Ezette tidak pernah muncul dalam mana-mana majlis hiburan, malahan, dia seolah-olah mahu mengelak untuk hadir ke majlis yang menjadi tumpuan media.

Bagaimanapun, kemunculan Zizie bersama suaminya yang merupakan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin pada majlis Anugerah Bintang Popular 2009 di Arena of Stars, Genting Highlands, Ahad lalu benar-benar mengejutkan banyak pihak.

Pertama, terkejut kerana penampilan seksi Zizie dan kedua, tertanya-tanya dalam pada Zizie yang selama ini cuba bersembunyi, kini dia secara terang-terangan pula menayangkan suaminya kepada khalayak.

Katanya yang dihubungi sehari selepas majlis berlangsung, dia tidak pernah berasa takut untuk membawa suaminya ke mana-mana termasuklah ke majlis bertaraf nasional.

"Alhamdulillah, setakat ini saya tidak nampak kenapa saya perlu bimbang untuk membawa suami saya ke mana sahaja, kami sudah sah sebagai suami isteri.

"Walaupun itu kali pertama saya berjumpa peminat selepas berkahwin, saya amat terharu kerana mereka masih memberi sokongan. Nampaknya, seperti tiada yang berubah, malah, mereka siap jerit tahniah dan selamat pengantin baru kepada saya, begitu juga dengan teman-teman artis," ujarnya.

Ditebak pertanyaan, dengan statusnya sebagai isteri kedua tidakkah dia bimbang kehadiran mereka pada majlis tersebut akan mengguris perasaan isteri pertama Bung. Zizie bagaimanapun tidak melihat perkara tersebut sebagai satu masalah.


SAYANG. Inilah antara gambar pertama Zizie dan Bung yang tersebar di Internet selepas mereka sah bernikah.


"Kami tidak berbincang dan saya juga tidak memaksanya supaya ikut saya, semuanya berlaku secara semulajadi. Kalau dia rasa sesuatu majlis itu tidak patut dihadiri, dia tidak akan datang, Maknanya, dia okey dan tidak ada masalah di pihaknya.

"Sebagai ketua keluarga, suami saya tahu mana yang baik dan buruk. Dia juga datang dengan rela hati. Jadi sebab itu, kami muncul pada majlis tersebut," katanya.

Tambah pelakon gebu berusia 32 tahun itu lagi, meskipun suaminya seorang ahli politik tetapi dia tidak pernah menghalang Zizie untuk meneruskan kerjaya dalam bidang seni. Malah, suaminya memberi sokongan yang penuh dan akan hadir pada majlis-majlis hiburan yang akan datang.

"Suami saya menyokong kerjaya saya sebagai pelakon. Jika dia ada masa lapang, saya akan membawanya ke mana-mana majlis hiburan selepas ini. Saya tidak melihat bawa suami ke mana sahaja saya pergi sebagai satu kesalahan," ulasnya lagi.

Ditanya pula, apa pendapat Bung apabila menghadiri majlis hiburan berskala besar buat kali pertama, Zizie dalam nada serius menjawab: "Suami saya berminat dalam industri seni dan sebagai seorang ahli parlimen dia mengambil berat akan industri seni dan industri yang lain juga. Dia mengatakan ingin memartabatkan dunia seni tempatan ke tempat yang lebih tinggi."

Imej seksi

Mengalih bicara tentang penampilan seksi Zizie yang mengenakan gaun pendek pada majlis anugerah tersebut, Zizie yang sememangnya cukup sinonim dengan imej seksi sebelum ini mengakui dia telah melakukan satu kesilapan.


ZIZIE sudah bersedia menimang cahaya mata jika diberi rezeki oleh Tuhan.


Sedar statusnya sebagai isteri, Zizie tahu banyak mata yang memandang dan banyak mulut yang akan mengata dek penampilan sulungnya selepas bergelar isteri.

"Saya tahu semua itu dan saya sendiri telah ditegur suami supaya tidak memakai pakaian seperti itu lagi. Itu baju yang ditaja dan saya sesekali tidak menyalahkan pereka fesyen itu.

"Semua salah saya kerana asyik sibuk sehingga terlewat menghadiri sesi ukur baju. Akibatnya gaun yang sepatutnya berada di paras lutut sudah berubah ke paras paha pula," ungkapnya.

Luah Zizie lagi, meskipun dia selesa dengan imej seksi semasa zaman anak dara kini, dia mahu melakukan perubahan terhadap imejnya secara perlahan-lahan.

"Niat di hati, saya sudah tidak mahu berpakaian seksi. Saya tidak cakap akan berubah sekelip mata atau secara drastik. Saya mahu perubahan itu berlaku perlahan-lahan.

"Saya tetap menjadi diri saya. Saya tidak berani cakap yang saya akan berubah secara drastik, cuma tidak seksi seperti dulu. Itulah, kadangkala kalau saya pakai baju kurung pun orang kata seksi. Seksi itu subjektif. Insya-Allah saya akan berubah langkah demi langkah ke arah itu," tuturnya.

Jual kain

Selepas bergelar isteri kepada Bung, Zizie berehat sementara daripada dunia lakonan. Tawaran yang datang kepadanya juga semakin berkurangan.

Bukan sudah tidak laku atau mahu bersara. Menurut Zizie, dia mahu memberi tumpuan sepenuhnya terhadap keluarga dan tugas sebagai seorang isteri sebelum kembali berlakon seperti biasa.

"Buat masa ini memang kurang orang panggil saya berlakon, mungkin mereka faham saya baru lepas berkahwin dan ingin beri tumpuan pada keluarga.

"Secara jujur saya memang tidak mahu berhenti berlakon kerana itu kerjaya saya. Tetapi saya baru sahaja berkahwin jadi banyak perkara yang harus saya pelajari soal mengurus rumah tangga.

"Saya tidak boleh fikir diri saya sahaja sekarang ini, saya bimbang jika sibuk berlakon, tidak secara langsung akan mengabaikan rumah tangga. Apabila saya sudah pandai mengurus rumah tangga kelak, baru saya akan berlakon balik," tuturnya yang kini menjadi suri rumah sepenuh masa.


PERTAMA kali. Kemunculan Zizie bersama suaminya, Bung untuk majlis hiburan meraih perhatian ramai.


Akuinya yang semakin bahagia dengan kehidupan baru, masa lapang yang ada sekarang diisi dengan agenda mengembangkan perniagaannya.

"Saya suka menjual kain tetapi bila ada teman yang mengajak saya untuk New York, Amerika Syarikat pada 21 April depan untuk meninjau pasaran saya ikutlah.

"Mana tahu rezeki saya untuk berniaga. Kalau jadi saya akan jual baju jenama di Internet, sesuailah dengan saya yang suka melaram," katanya sambil tertawa.

Sebelum mengakhiri perbualan, Zizie menjelaskan meskipun dia bergelar isteri kepada seorang ahli politik, status tersebut tidak pernah membebankannya.

"Saya sangat bersyukur kerana dipertemukan dengan suami yang mendorong dan membimbing saya untuk menjadi orang yang lebih baik. Dia banyak memberi nasihat. Saya bahagia dengan perkahwinan saya," ucap Zizie yang telah bersedia untuk bergelar ibu.

1 comment:

  1. you are the best zizie!!!!!!!!!!!!!! sy skong anda 100%

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: