Tuesday, April 20, 2010

'Terbang' pada hujung minggu


HAFIZZHAL menyifatkan aktiviti permotoran lasak memerlukan ketahanan mental dan fizikal yang tinggi.


HUJUNG minggu adalah momen yang dinantikan oleh penggemar sukan lasak ini. Destinasi yang akan ditujunya adalah sama ada lapangan di Banting, Ulu Yam mahupun Kemensah di Selangor. Tempat-tempat itu telah lama menjadi medan baginya mempamerkan aksi bergaya 'terbang' dengan menggunakan motosikal lasaknya.

Begitulah obsesnya penunggang motocross dari Kuala Lumpur, Hafizzhal Bukhary, 27. Minatnya terhadap sukan penuh adrenalin itu sungguh mendalam sejak dia di bangku sekolah.

Sukan ekstrem dengan berlitarkan jalan tanah dan debu sudah menjadi permainannya sejak lima tahun lalu. Baginya, trek tersebut sentiasa menjadi teman dan saksinya memacu jentera dua roda kesayangannya.

"Masa sekolah dulu,saya pasti teruja menonton siaran liputan kejohanan motocross. Hendak juga beli motor tetapi wang tidak mencukupi lantaran ketika itu masih bersekolah. Manalah ayah hendak benarkan.

"Namun, saya tanam azam untuk memiliki sebuah motosikal sehinggalah lima tahun lepas. Hajat untuk memilikinya tercapai hasil daripada titik peluh saya sendiri," katanya bangga.

Bekas penuntut diploma Pentadbiran Awam, Universiti Teknologi Mara ini memiliki motor pertamanya, Kawasaki KX250, pada harga RM6,500 hasil simpanan gaji bekerja di salah sebuah syarikat perbankan di ibu kota. Kejayaan itu mengakhiri penantiannya sekian lama.

Fizikal dan mental

Bagi Hafizzhal, aktiviti permotoran lasak ini mampu memberikan banyak faedah kepada penggemarnya selain menguji ketahanan fizikal dan mental seseorang.

"Aktiviti ini mempunyai manfaatnya yang tersendiri. Komuniti peminat sukan ini saling bersatu-padu, tolong-menolong dan berdisiplin. Semua itu mendidik kita agar menjadi insan yang berguna dan teguh pendirian.

"Dalam masa yang sama kita dapat berjumpa dengan rakan-rakan baru tidak kira bangsa mahupun usia. Perkenalan ini semestinya dipenuhi dengan pertukaran idea dan pendapat mengenai dunia pemotoran," tambahnya.

Hafizzhal menjelaskan, sukan lasak sebegini bukan sahaja memerlukan keberanian malah melibatkan kemahiran kawalan. Kemahiran itu amat diperlukan dalam mengendalikan motosikal sewaktu melalui laluan-laluan sukar seperti mendaki, tidak rata dan berselut.

Kepuasan akan lebih dirasai apabila mendengar deruman bunyi enjin motosikal yang nyaring. Bunyi tersebut mengiringi aksi penunggang-penunggangnya yang melambung tinggi ke udara. Sorakan rakan-rakan yang menyokong dianggap sebagai pembakar semangata.

Sehubungan itu, pemilihan motor amat dititikberatkan oleh setiap penunggang. Ia merangkumi kuasa enjin dan cengkaman brek, tayar serta ketahanan badan motosikal itu.

"Kita lihat pada motor KLX 150 S keluaran Kawasaki. Kemampuan motor tersebut boleh mencapai kelajuan maksimum lebih kurang 120 kilometer sejam. Kelajuan ini amat memadai bagi sebuah motorsikal dua fungsi yang lebih bercirikan motocross.

"Manakala mengikut spesifikasinya, enjin 144cc mampu menjana kuasa sehingga 8.6kW pada putaran enjin 8,000 rpm dengan kuasa tork maksimum mencapai 12 Nm pada kelajuan 6,500 rpm.

"Tambahan pula, kawalan hendalnya ringan dan berkesan dibantu dengan cengkaman sistem brek yang kemas," terang Hafizzhal panjang lebar.


AKTIVITI permotoran lasak memerlukan keberanian dan kemahiran kawalan.


Perbelanjaan

Bagi pengemar sukan lasak ini, Hafizzhal tidak pernah lokek dalam mengeluarkan perbelanjaan untuk memiliki atau menambah koleksi motocrossnya. Sehingga sekarang Hafizzhal telah memiliki tiga jenis model iaitu Kawasaki DTRACKER 250 dan BKZ TT160 serta motosikal pertamanya Kawasaki KX250.

"Dalam apa jua minat, sememangnya seseorang tidak boleh lepas daripada berbelanja. Begitu juga dengan sukan lasak ini.

"Sehingga sekarang saya telah menghabiskan sejumlah ribuan ringgit untuk mendapatkan motosikal yang berkualiti dan sesuai dengan arena sukan ini. Itu belum termasuk bajet penjagaannya," jelas Hafizzhal.

Selain itu, aspek kualiti juga penting terutamanya dalam pembelian topi keledar keselamatan. Semua barangan ini hendaklah diakui terlebih dahulu oleh agensi-agensi kerajaan seperti SIRIM agar ia berfungsi mengikut yang sepatutnya.

Baginya, tidak salah melabur lebih daripada menyesal di kemudian hari. Terdapat beberapa jenis topi yang menjadi kegilaan penunggang antaranya adalah jenama Airforce 2, Batten, Sixsixone dan Viper 77.

Hafizzhal menerangkan terdapat beberapa panduan bagi mereka yang ingin menyertai aktiviti ini. Antara pesannya itu termasuklah jangan mencuba menunjuk lagak kehebatan untuk sesuatu pergerakan yang tidak mampu dilakukan.

"Tidak kira apa jua aktiviti yang dilakukan, keselamatan adalah perkara utama! Begitu jua dalam sukan lasak ini yang berhadapan dengan banyak risiko terutamanya apabila menunggang di kawasan berpermukaan tidak menentu.

"Selain itu, untuk cepat belajar, sikap pendiam harus disingkirkan. Kita hendaklah banyak bertanya terutama kepada penunggang-penunggang berpengalaman dalam mencungkil rahsia dan teknik tunggangan yang selamat. Semua ini untuk kebaikan kita," katanya yang pernah suatu masa dahulu mengalami kecederaan patah rahang dan kaki.

Berkat bersungguh-sungguh dalam bidang tersebut, Hafizzhal kini menjadi seorang pengusaha dan peniaga barangan motocross yang beroperasi di Gombak, Selangor.

Dengan nama bisnes, Hakinamoto Parts and Accessories, anak muda ini gembira apabila sambutan yang diterimanya amat menggalakkan, terutamanya di kalangan penggemar motocross di sekitar Lembah Klang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: