Tuesday, April 20, 2010

Raikan setiausaha cara Wanita


PESERTA seminar bergambar bersama sebagai tanda kenangan.


JIKA sebelum ini para setiausaha hanya diraikan dengan majlis makan sambil dihiburkan dengan persembahan nyanyian daripada artis jemputan, majalah Wanita tampil dengan idea berbeza apabila menganjurkan seminar Wanita Bersama Setiausaha.

Seminar yang diadakan di Hotel Prince Kuala Lumpur baru-baru ini dirasmikan oleh Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan), Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Rothiah Omar.

Dengan membawa tema Menjana Kerjaya Berhemah, Berjiwa Cemerlang, sambutan kali ini bertujuan menanam integriti dan budaya kerja yang lebih berhemah di kalangan para setiausaha. Pengisian itu untuk melahirkan golongan setiausaha yang dikagumi berlandaskan kerja dan komitmen, selain disanjung kerana penampilan serta ketertiban menjalankan tugas.

Program Wanita Bersama Setiausaha bukan sahaja menghargai setiausaha yang menjadi tulang belakang kejayaan bos mereka, malah memberi ruang kepada para setiausaha berkongsi ilmu dan pengalaman dengan panel-panel terkenal.


DEMONSTRASI solekan salah satu aktiviti yang berlangsung dalam majlis Wanita Bersama Setiausaha.


Antara yang hadir memberi ceramah ialah Datuk Dr. Mashitah Ibrahim; Datuk Paduka Toh Puan Seri Diraja Noor Aini Abdullah; Datuk Dr. Norashikin Mokhtar dan Datuk Dr. Fadzilah Mohd. Ali.

Pelbagai topik menarik disajikan kepada para peserta bengkel antaranya Integriti dan Budaya Kerja; Jadilah Wanita Yang Dikagumi; Sayangi Diri Anda dan Gaya Hidup Sihat.

Tidak ketinggalan para peserta berpeluang mempelajari ilmu pertahanan diri dan keselamatan di tempat kerja melalui demonstrasi oleh Pengarah Program Keganasan Terhadap Wanita daripada BG Capital Holdings, Sharifah Raudhah Al-Qudsy selain tip gaya hidup sihat daripada Pakar Nutrisi, Unit Perhubungan Korporat dan Kesihatan Kumpulan Produk Nestle Sdn. Bhd., Nurul Ilani Ahmad.

Peserta yang hadir juga teruja dengan pertunjukan fesyen oleh Butik Jarumas, demonstrasi solekan serta dandanan oleh pakar kosmetik terkenal yang juga pengasas Nouvelles Visages, Datuk Paduka Sosilawati Lawiya dan penampilan istimewa Rosyam Noor.


PARA peserta tidak ketinggalan menyaksikan pertunjukan fesyen koleksi Jarumas.


Acara eksklusif tahunan itu tidak akan bererti tanpa tajaan daripada pelbagai pihak iaitu Nouvelles Visage selaku penaja utama dan sokongan daripada rakan strategik Alfio Raldo, Nestle Nesvita dan Berani Guard Sdn. Bhd. Sebagai tanda penghargaan, para peserta diberikan cenderamata istimewa untuk dibawa pulang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: