Tuesday, April 20, 2010

Tumpuan sekolah luar bandar




PROGRAM Pintar (Promoting Intelligence, Nurturing Talent and Advocating Responsibility) di bawah Tenaga Nasional Bhd. (TNB) merupakan antara usaha berterusan syarikat tersebut menjalankan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada masyarakat khususnya pembangunan modal insan di kalangan pelajar sekolah luar bandar.

Kewujudan program itu bertujuan untuk meningkatkan dan menyelaras tanggungjawab sosial korporat dalam mendukung hasrat kerajaan untuk memajukan sektor pendidikan di negara ini.

"Program ini merupakan antara usaha berterusan TNB yang amat menitikberatkan pembangunan modal insan di kalangan para pelajar sekolah ke arah melahirkan generasi yang cemerlang dan mempunyai kekuatan fizikal serta mental yang seimbang di dalam mengharungi dunia yang semakin mencabar.

"Selain memberi galakan akademik seperti tuisyen kelas bimbingan dan projek sekolah angkat bagi meningkatkan prestasi akademik sekolah yang terlibat, kita juga memperkenalkan Klinik Hoki Program Pintar TNB.

TNB memperuntukkan lebih kurang RM150,000 untuk program itu. Program yang dilancarkan pada tahun lalu melibatkan seramai 765 pelajar dari 17 buah sekolah rendah di seluruh negara.


KLINIK hoki yang diketuai oleh Nor Saiful Zaini membantu mengembangkan bakat dan minat pelajar dalam sukan tersebut.


Berikutan sambutan yang menggalakkan, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Che Khalib Mohd. Noh memberitahu, untuk tahun ini sebanyak 24 buah sekolah yang melibatkan seramai 720 pelajar dipilih. Setiap sekolah menerima peruntukan sebanyak RM5,300.

Antara sekolah yang terlibat dalam Program Pintar pada tahun ini ialah Sekolah Kebangsaan Kuala Nerang; Kedah, Sekolah Kebangsaan Sungai Ara, Bayan Lepas; Pulau Pinang, Sekolah Kebangsaan Ringlet; Pahang, Sekolah Kebangsaan Tumpat; Kelantan, Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang 1; Johor dan Sekolah Kebangsaan Kg. Gelam; Port Dickson di Negeri Sembilan.

"Klinik hoki ini merupakan salah satu aktiviti yang diadakan di bawah Program Pintar untuk sekolah-sekolah angkat TNB yang mempunyai kelab dan pasukan hoki," kata Che Khalib ketika ditemui pada Program Pintar TNB 2010 di Sekolah Kebangsaan Kg. Gelam, di Port Dickson, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Jelasnya, TNB kini lebih memberi tumpuan dan fokus terhadap pembangunan sukan hoki memandangkan hoki merupakan sukan teras bagi syarikat korporat ini.


PROGRAM Pintar TNB menitikberatkan pembangunan modal insan selain prestasi akademik para pelajar.


"Selari dengan usaha ini sebanyak 24 buah sekolah menjadi program perintis pembangunan hoki. Menerusi program ini murid berkenaan berpeluang mendapat bimbingan dan tunjuk ajar daripada bekas kapten hoki negara yang juga jurulatih TNB, Nor Saiful Zaini Nasiruddin.

"Ia sedikit sebanyak mampu menarik minat para pelajar untuk mendapat pendedahan asas hoki sekali gus bukan sahaja dari segi akademik malah meliputi aspek pembangunan fizikal mereka," ujar Che Khalib.

Tambahnya, melalui Program Pintar juga, kerajaan menggalakkan Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) untuk mengambil sekolah-sekolah angkat bernaung di bawah program tanggungjawab sosial korporat mereka.

Pada masa yang sama, TNB juga tidak ketinggalan menyediakan segala peralatan dan kelengkapan untuk murid terbabit bermain hoki, termasuk menaja kayu hoki, bola dan set penjaga gol.

Sementara itu, Nor Saiful Zaini memberitahu, langkah yang diambil TNB merupakan tindakan yang tepat bagi mencari dan melahirkan bakat muda untuk pelapis hoki kebangsaan.




"Kita seharusnya mempunyai satu program khas dalam membangunkan pemain berumur di antara 13 hingga 18 tahun khusus untuk diserapkan ke pasukan kebangsaan," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: