KUALA LUMPUR: “Selepas merenung anak matanya buat pertama kali, saya seolah-olah lupa diri dan sanggup melakukan apa saja untuk dia,” kata seorang wanita yang mendakwa menjadi mangsa pukau seorang guru sekolah rendah sehingga menyebabkan dia hampir muflis dan kerugian RM200,000 dalam tempoh kurang setahun.
Wanita berusia 31 tahun itu ‘pulih’ daripada kesan pukau selepas mendapatkan rawatan beberapa kali daripada seorang ustaz di Gombak yang mendakwa dia bukan mangsa pertama lelaki itu.
“Ustaz itu kata saya bukan orang pertama yang datang berubat dengannya, malah ada tiga wanita pernah datang membawa gambar lelaki sama,” katanya kepada Harian Metro.
Menceritakan detik perkenalan dengan suspek, mangsa memberitahu dia bertemu dengan lelaki berkenaan yang mendakwa guru berusia 30-an itu di sebuah stesen minyak di Setiawangsa, Mei tahun lalu.
“Dia datang dan menegur saya secara tiba-tiba dan meminta kad perniagaan, katanya nak berkenalan, lepas kejadian itu dia sering menghubungi saya menerusi SMS dan kami berjanji keluar makan selepas dua minggu berkenalan,” katanya.
Menurut mangsa, suspek membawanya ke sebuah restoran di Bangsar dan menghadiahkan minyak wangi dan aromaterapi kononnya sebagai hadiah perkenalan.
“Suspek yang lemah-lembut dan sopan-santun meminta saya memandang tepat ke anak matanya setiap kali berbicara,” katanya.
Sebulan selepas pertemuan itu, suspek menghubungi mangsa dan mendakwa wang Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) RM30,000 yang dipegangnya dirompak.
Mangsa yang bersimpati dengan kejadian itu meminjamkan RM2,500. Wanita yang bekerja sebagai penolong pegawai teknologi maklumat itu turut diperdaya sehingga bersetuju untuk membuat pinjaman bank bagi membeli sebuah Proton Perdana bernilai RM55,000 untuk suspek .
Mangsa turut diminta membuat pinjaman RM60,000 kononnya untuk membiayai kos guaman suspek yang berdepan tuduhan rasuah.
Tanpa diketahui mangsa, suspek sebenarnya menggunakan duit itu untuk membiayai kehidupannya yang mewah termasuk memiliki beberapa kereta.
Selepas lebih 10 bulan menjadi mangsa, dia akhirnya menceritakan segala-galanya kepada seorang rakan yang segera membawanya berubat dengan seorang ustaz di Gombak.
Sebaik ‘pulih’, mangsa membuat tiga laporan di Balai Polis Dang Wangi, Setiawangsa dan Batu Caves.
“Saya harap polis dapat mengambil tindakan segera terhadap suspek kerana saya khuatir orang lain menjadi mangsa,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: