Monday, April 19, 2010

Program SAMA bantu pesakit kanser


Mansoor Wan Abdullah menyampaikan replika cek berjumlah RM50,000 kepada Profesor Dr. Rosmawati Mohammad di Wisma Avon di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.


KERANAMU, wanita, Avon sentiasa bersedia membantu. Selain memberi peluang pendapatan kepada kaum wanita, syarikat itu sentiasa prihatin dan sensitif tentang kesejahteraan wanita Malaysia.

Sejak 16 tahun lalu, Avon telah menganjurkan pelbagai aktiviti dalam usaha membanteras kanser payu dara, penyakit yang digelar sebagai pembunuh nombor satu wanita.

Di bawah program Ciuman Selamat Tinggal kepada Kanser Payu Dara, sebanyak RM2 juta telah dikutip melalui aktiviti seperti jualan amal, larian amal, ceramah dan sebagainya.

Pada tahun ini, lima rekaan coli yang menarik berharga di antara RM19.90 hingga RM21.90 jenama Avon Intimates akan dijual daripada 16 April hingga 15 Mei bagi menambah hasil kutipan derma.

Presiden Avon Malaysia, Thailand dan Vietnam, Mansoor Wan Abdullah berkata, kutipan derma tahunan untuk tahun 2010 itu akan dihulurkan kepada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi memulakan program baru yang dikenali sebagai Terus Bersama, Maju ke Depan (Staying Abreast, Moving Ahead) atau SAMA.

Bercakap pada majlis pelancaran program pendidikan-psiko bagi pesakit-pesakit kanser, di ibu pejabat Avon baru-baru ini, Mansoor menambah, Avon positif dan yakin program tersebut akan memberi manfaat kepada ramai pesakit kanser dalam membantu mereka meneruskan kehidupan dengan lebih bermakna dan berjaya.

''Objektif penubuhan SAMA ini memang seiring dengan misi Avon untuk memperkasakan wanita. SAMA akan membantu pesakit-pesakit kanser yang terselamat ini daripada segi sokongan, berkongsi pengalaman dan menjalani kehidupan dengan lebih sihat," katanya.

Beliau menjelaskan, kerjasama di antara Avon dan PPUM telah bermula pada tahun 2004 apabila Avon menubuhkan Pusat Sumber Kanser Payu Dara di PPUM yang menjadi pusat rujukan untuk kajian mengenai kanser payu dara.

Avon turut telah melancarkan satu lagi pusat yang sama di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kelantan.

Sementara itu pada pelancaran program Ciuman Selamat Tinggal kepada Kanser Payu Dara, Mansoor menyerahkan cek sumbangan Avon sebanyak RM50,000 kepada Timbalan Dekan Fakulti Perubatan PPUM, Profesor Dr. Rosmawati Mohammad.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: