|
|
PADA mulanya, apabila ditawarkan untuk membintangi pementasan Cuci the Musical (CTM) tahun lalu, penyanyi rock unggul negara ini enggan menerimanya.
Secara jujurnya, Awie mengakui, dia tidak yakin dengan bakatnya di pentas teater walau sudah dua dekad bergelar anak seni.
Baginya, sebagai pelakon filem dan penyanyi, kedua-duanya bidang itu mempunyai pendekatan yang berbeza jika dibandingkan dengan teater.
Awie sedar untuk menjadi seorang pelakon teater khususnya teater muzikal, ia bukan tugas mudah.
Namun, selepas dipujuk dan diyakinkan oleh penerbit CTM, Hans Isaac serta dua rakannya, Afdlin Shauki dan AC Mizal, pintu hati Awie terbuka menerima tawaran itu.
Daripada takut, ia bertukar menjadi seronok. Awie menimba pengalaman yang berbeza daripada apa yang pernah dilakukannya sebelum ini.
Malah, sepanjang pementasan CTM tahun lalu juga, Awie antara yang meraih perhatian yang cukup meluas menerusi watak Jojo.
Ramai tidak menyangka seorang penyanyi rock seperti Awie mampu memberikan lakonan yang cukup menyakinkan biarpun pertama kali beraksi di pentas teater.
Dan, siapa sangka watak Jojo yang juga pernah dibawakan Awie dalam filem Cuci itu telah membawa tuah kepadanya apabila dinobatkan sebagai Pelakon Utama Terbaik dalam Anugerah Seni BOH Cameronian 2009 (BCAA 2009) yang berlangsung malam Ahad lalu.
Untuk meraih gelaran itu, Awie menewaskan seorang lagi pelakon CTM iaitu AC Mizal dan Yang Wei Han yang dicalonkan untuk hasil kerjayanya dalam Prince Siddhartha the Musical.
Menurut Awie, dia tidak dapat menyembunyikan perasaan gemuruh dan gementarnya apabila namanya diumumkan sebagai pemenang.
Awie dengan penuh jujur memberitahu, dia langsung tidak mengharap sebarang kemenangan pada malam bersejarah itu lebih-lebih lagi selepas melihat Prince Siddhartha the Musical mendominasi kategori teater muzikal.
"Saya tidak sangka percubaan pertama saya dalam bidang teater membuahkan hasil. Sampai sekarang pun, saya tidak percaya saya menerima anugerah ini yang mengiktiraf bakat lakonan saya di dalam bidang teater.
"Sebelum ini, saya sudah menerima pelbagai jenis anugerah baik dari segi populariti mahupun terbaik tetapi gelaran ini merupakan sesuatu yang cukup istimewa," kata Awie dalam ketawa yang berderai.
Selain Awie, seorang lagi pelakon CTM iaitu Adibah Noor juga menjulang kejayaan pada malam itu apabila diiktiraf sebagai Pelakon Pembantu Terbaik berdasarkan wataknya sebagai Farah.
Pastinya Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman kini mampu tersenyum bangga apabila namanya sudah diletakkan sebaris dengan penerima-penerima lain sebelum.
Betapa tidak, pemenang bagi kategori yang sama sebelum ini semuanya merupakan jaguh dalam bidang teater seperti Jo Kukathas, Datuk Zahim Albakri, Jit Murad dan Joe Hafsham.
Dan, hanya Awie seorang sahaja yang bukan dari kalangan penggiat teater yang dianugerahkan dengan gelaran tersebut.
Katanya lagi, untuk melakonkan watak Jojo bukanlah semudah yang disangka kerana watak itu berbeza dengan personalitinya.
"Teater muzikal memang menuntut kesabaran yang tinggi dan bagi saya sendiri sebagai seorang anak wayang, ia benar-benar menguji kredibiliti saya.
"Apatah lagi saya perlu menari, menyanyi dan berdialog sepanjang pementasan. Ada ketika ia mampu mengganggu pandangan dan fokus saya.
"Tetapi saya percaya, dengan berkat usaha keras saya dalam menjayakan pementasan ini, akhirnya semua berbalas dengan kemenangan saya ini," ujar Awie.
Dengan kemenangan ini juga, Awie merasakan bebanannya semakin berat untuk beraksi sekali lagi sebagai Jojo dalam CTM musim kedua yang bermula pada 27 Julai ini.
Jelasnya, apa sahaja tindak-tanduknya tidak lagi boleh dipandang remeh dan dia harus mengambil serius segala aspek.
"Trofi ini hasil kepercayaan mereka terhadap bakat saya di pentas teater.
"Sudah pasti saya harus meningkatkan lagi mutu lakonan saya untuk memberikan hasil yang lebih baik daripada sebelum ini," kata anak seni berusia 41 tahun ini bersungguh.
Pada masa yang sama, Awie berterima kasih kepada kumpulan Wings yang bertolak-ansur dan menyokong hasratnya untuk membintangi CTM.
"Saya juga berharap kemenangan ini dapat melenyapkan segala pandangan sinis dan skeptikal masyarakat terhadap lakonan saya sebelum ini," pinta Awie yang tidak keberatan untuk mencuba watak lain dalam mana-mana teater selepas ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: