|
|
ASAL waktu pertemuan pukul 3 petang tetapi kerana kesesatan mencari kediaman personaliti ini di samping meredah kesesakan jalan raya, pertemuan bermula lewat sejam.
Mujur personaliti yang mahu ditemu bual ini memahami keadaan. Menyedari hakikat itu, Rachel Guerzo hanya tersenyum seraya meredakan penulis tiada apa yang perlu dirisaukan.
"Tidak mengapa. Lewat sedikit itu perkara normal. Saya faham bukan ramai yang tahu kawasan perumahan di sini, ditambah pula kesesakan jalan raya," katanya mesra menyambut kedatangan penulis dan jurugambar.
Ralit menyaksikan hiasan dalaman kondominium mewah itu, telinga ini cepat menangkap irama jazz yang sedang rancak dimainkan di corong radio.
Ketika itu jugalah, dia muncul dengan bingkai gambar mendiang datuknya, Alfonso Soliano dan meletakkannya di atas piano yang terletak di ruang tamu.
"Hidup dan mati saya hanyalah untuk jazz. Saya bangga kerana dibesarkan dengan irama itu yang lahir daripada kuasa magis datuk saya.
"Saya rasa bertuah dengan darah Soliano yang mengalir dalam diri saya. Apa yang pasti, legasi seni Soliano akan terus hidup dalam keluarga kami," ujar Rachel yang fasih berbahasa Melayu sambil merenung potret datuknya itu.
Kalau sesiapa sahaja yang berada di tempat Rachel, pastinya berasa bangga dengan kedudukan yang dimilikinya.
Pada generasi muda hari ini, nama Alfonso Soliano sudah pasti begitu asing pada pendengaran mereka.
Tetapi, bagi generasi yang hidup sezaman dengan figura muzik unggul itu, sudah tentu menyedari pengaruh Alfonso dalam mengetengahkan muzik jazz Melayu ketika itu.
Antara lagu-lagu ciptaan pengasas dan penggubah untuk Orkes Radio Malaya itu ialah Gadis Idamanku dan Air Mata Berderai yang terus menjadi siulan dan mekar sehingga hari ini.
Mendengar butir kata yang terpacul dari bibir wanita berusia 35 tahun ini, pasti ramai yang akan ralit mendengar kisah keluarga dan dunia muzik mereka.
Tidak mustahil apabila lima daripada lapan adik-beradik Rachel semuanya melibatkan diri secara serius dalam dunia muzik.
Selain darah Alfonso yang mengalir dalam darah mereka, pengaruh muzik kepada mereka juga ialah ibu dan bapa mereka, Salvador Guerzo dan Francisca Soliano. Hidup mereka diabadikan hanya untuk muzik.
Salvador merupakan pemain saksofon terkenal manakala Francisca pula seorang penyanyi yang memiliki kehebatan vokal tersendiri dalam dunia muzik tempatan.
Permulaan penglibatan Rachel dalam bidang seni terjadi dengan sendiri. Sejak kecil, dia didedahkan dengan muzik.
Mula bermain piano sejak berusia lima tahun dan diajar oleh Alfonso, Rachel sering mengikut ibu dan bapanya ke tempat kerja dan melihat sendiri mereka bermain muzik serta menyanyi.
"Ibu dan bapa saya sangat sibuk. Masa kualiti bersama anak-anak sangat jarang. Hanya dengan mengikut mereka ke tempat kerja, saya belajar ilmu muzik.
"Yang pasti, hanya saya seorang terjerumus ke dunia muzik jazz sedangkan adik-beradik yang lain memilih muzik pop dan rock," jelasnya yang memulakan karier seninya secara profesional pada usia 16 tahun sebagai penyanyi latar Salamiah Hassan.
Selepas datuknya meninggal dunia pada tahun 1990, dia dibimbing pula oleh sahabat Alfonso, Gus Steyn yang ketika itu berkhidmat dengan Orkestra RTM.
Hanya selepas beberapa tahun selepas itu, dia berpeluang mendalami ilmu jazz di Western Australian Academy of Performing Arts, Edith Cowan University, Perth, Australia.
Dalam pada itu, melihat koleksi cakera padatnya cukup membuktikan betapa besarnya pengaruh dan muzik jazz dalam kehidupannya.
Lagu-lagu dendangan figura jazz dunia seperti Diana Krall, Eliane Elias, Diane Schuur, Bill Evans, Oscar Peterson dan Shirley Horn menjadi santapan jiwa Rachel selain karya mendiang datuknya sendiri.
Sebagai pejuang jazz, Rachel menyedari ada pandangan kurang manis dan skeptikal masyarakat kononnya genre muzik itu hanya untuk golongan elit dan intelektual.
"Jazz bukan seperti genre muzik yang lain yang membolehkan kita ikut menyanyi sekali. Sebaliknya, ia muzik yang perlu dinikmati sebaik-baiknya untuk mencapai maksud yang tersirat serta tersurat.
"Di sebalik itu, muzik jazz juga pelbagai dan terpulang kepada individu itu sendiri bagaimana mereka mahu menghargai serta menikmati jazz.
"Menghasilkan muzik jazz bukan satu kerja mudah kerana ia mempunyai banyak lapisan untuk menjadikannya satu komposisi yang lengkap.
"Mungkin kerana itu, saya tidak diberi kelebihan untuk mencipta lagu. Baik saya hanya bermain piano dan menyanyi sahaja," kata Rachel yang mula aktif secara serius dalam dunia seni pada tahun 2006.
Wanita yang sangat merendah diri ini juga memberitahu, biarpun mewarisi bakat seni daripada ibu, bapa dan datuknya, ia bukanlah jalan pintas baginya untuk membina nama.
Secara relatif kata Rachel, lebih sukar untuk dia memperkenalkan nama dan muziknya kepada khalayak daripada menjunjung legasi seni Soliano itu sendiri.
"Bukan satu bebanan kerana saya tidak membawa nama Soliano. Namun ia cabaran buat saya untuk tampil dengan muzik dengan menggunakan nama saya sendiri.
"Saya mahu memulakannya secara perlahan-lahan. Saya tidak melihat usia saya ketika ini sebagai satu halangan," ujar anak jati Kuala Lumpur ini penuh optimis.
Mungkin ramai yang tidak tahu, Rachel pernah menghasilkan album sulung, Just Friends yang memuatkan enam buah lagu termasuk tiga lagu Melayu pada Disember tahun lalu.
Dua buah lagu yang dirakamkan Rachel ialah ciptaan Alfonso iaitu Gadis Idamanku dan Air Mata Berderai selain lagu Jauh Jauh ciptaan Jimmy Boyle.
Tiga buah lagu lain ialah lagu jazz yang sering dilagukan iaitu They Say It's Wonderful, Just Friends dan A Beautiful Friendship.
Pada masa yang sama, Rachel berhasrat menghasilkan album pada masa depan dan berusaha mencari penaja yang ingin membantu merealisasikan impiannya itu.
Dia mahu meneruskan legasi jazz Melayu tinggalan mendiang datuknya selain memartabatkan kembali irama tersebut.
Leka berbual dengannya, Rachel turut meluahkan penghargaan dan apresiasi terhadap datuknya yang disifatkan masih belum cukup.
"Kalau diamati muzik yang diilhamkannya ketika itu, semuanya melangkaui zaman. Kini baru saya sedar betapa besarnya impak muziknya.
"Bagi mengenang dan meraikan ulang tahun ke-20 pemergiannya, kami sekeluarga merancang untuk tampil dengan sebuah album yang memuatkan lagu-lagu ciptaannya.
"Bukan itu sahaja, kami juga mahu memberi peluang kepada sesiapa sahaja yang berani untuk mencuba menulis lirik kepada koleksi lagu-lagu ciptaannya yang ada dalam simpanan kami," jelasnya yang mengakui lagu-lagu Alfonso dalam arkib keluarganya menjangkau ribuan lagu yang masih belum mempunyai lirik.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: