|
|
BUKAN mengongkong tetapi semuanya adalah demi kebaikan mereka dalam membina nama masing-masing di dalam industri."
Demikian luahan jujur komposer dan penulis lirik terkenal, Julfekar Ahmad Shah atau lebih dikenali sebagai Julfekar apabila memperkatakan tentang kontrak artis-artis baru di bawah syarikatnya, MilleniumArt Sdn. Bhd. (MASB).
Julfekar yang baru sahaja mengambil 19 orang artis terbaru termasuk tujuh peserta Bintang Idola Berita Harian 2008 (BIBH 2008) telah menetapkan kontrak dua hingga tujuh tahun bergantung kepada kredibiliti masing-masing.
Apabila Julfekar mengambil keputusan demikian untuk artis-artis barunya, ia secara tidak langsung mengiyakan dakwaan sebelum ini yang mengatakan dia seorang yang kuat mengongkong.
Tidak cukup dengan itu, apabila menjadi artis naungan syarikatnya, pergerakan juga terbatas dan semuanya perlu dilakukan menurut kehendaknya.
Menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tidak berasas itu, Julfekar menjelaskan semuanya adalah strategi terbaik demi memantapkan karier artis-artis terbarunya.
"Mungkin ramai yang tidak tahu, konsep kontrak yang lama seperti yang saya lakukan ini sebenarnya sudah lama dipraktikkan di Taiwan dan Hong Kong.
"Bahkan, syarikat rakaman di negara ini sekitar tahun 70-an dan 80-an juga pernah menggunakan konsep yang sama.
"Kalau kita perhatikan, ia telah memberikan hasil yang cukup baik dan artis itu sendiri berjaya membina identiti menerusi muzik mereka," jelasnya ketika ditemui pada majlis pelancaran album Bintang Idola di Red Box, The Gardens, MidValley, baru-baru ini.
Turut hadir enam daripada tujuh finalis BIBH 2008 iaitu Farlyana, Syazwanie, Nurlida, Syah'z, Zaki dan Irwant yang turut mendendangkan lagu masing-masing.
Menyambung bicara, anak kelahiran Kudat, Sabah ini memberitahu, bukan semua artis-artis naungannya 'diikat' dalam tempoh yang lama.
Jelasnya, semua bergantung kepada kebolehan dan kelebihan yang ada dalam diri masing-masing untuk memancing peminat menilai bakat yang ada.
Selain itu juga, kontrak hanya sebagai syarat dan sebagai pemilik syarikat, dia bebas untuk menentukan hala tuju artis termasuklah mereka yang dilihat tak mampu meneruskan lagi persaingan.
Dia turut memberitahu, bukan semua artis memiliki tuah untuk menjadi popular sekelip mata biarpun dikurniakan dengan bakat yang bagus.
Menyedari hakikat itulah, dia sudah merangka strategi dan langkah terbaik untuk menonjolkan bakat anak-anak didik terbarunya itu.
"Untuk semua artis-artis baru ini, saya melihat kepada kemampuan bakat masing-masing khususnya aspek vokal.
"Daripada situ, barulah saya menentukan hala tuju mereka dengan menghasilkan genre muzik yang sesuai dengan kebolehan mereka," katanya penuh optimis.
Dalam konteks ini, jelas Julfekar, strategi itu sudah dapat dilihat menerusi album kompilasi Bintang Idola yang kini sudah pun berada di pasaran.
Menerusi album tersebut, pendengar dapat menilai bakat tujuh finalis BIBH dalam membawakan lagu yang dicipta khusus dengan kemampuan mereka.
Biarpun hanya membawakan sebuah lagu, kata Julfekar penghasilannya dibuat dengan teliti dan sebagai penerbit album, dia langsung tidak berkompromi tentang soal kualiti.
Sebagai contoh, untuk lagu Jauh Di Mata... dendangan Nurlida atau nama sebenarnya, Nurlida Ab. Raman, Julfekar menyelitkan elemen strings bagi memantapkan lagi lagu berkenaan.
Eksperimen
Malah, bapa kepada empat orang anak ini juga tidak lokek mengeluarkan belanja sebanyak RM10,000 hanya untuk live strings bagi mengindahkan lagi lagu tersebut.
Julfekar menambah, selalunya untuk album pertama ia akan mengalami kerugian dan dianggap sebagai eksperimen untuk menguji kehebatan seseorang artis itu.
Kemudian, untuk album kedua dan seterusnya, barulah perubahan dilakukan berdasarkan kelemahan serta kekurangan daripada produk pertama.
"Jika semuanya berjalan lancar dan single mereka diterima dengan baik, barulah saya akan menerbitkan album penuh untuk mereka.
"Walaupun industri dilihat tidak memberangsangkan, ia tidak mematahkan semangat saya untuk terus merancakkan industri seni," jelasnya yang memperuntukkan RM40,000 untuk album Bintang Idola ini.
Selain tujuh orang finalis BIBH 2008 ini, MASB turut dinaungi 12 orang lagi penyanyi antaranya kumpulan Akasia, Heela, Rahayudean dan Mardiana Alwi.
Secara keseluruhannya, Julfekar memberitahu dia telah memperuntukkan bajet sebanyak RM500,000 bagi menghasilkan album hingga tahun depan.
"Selepas ini, saya akan keluarkan album Impian dan Impian 2 membabitkan finalis BIBH 2008 dan artis yang lain. Kemudian barulah akan diikuti dengan album solo setiap seorang.
"Saya juga akan membuka peluang kepada komposer baru untuk mempelbagaikan sentuhan lagu dan tidak terikat kepada karya saja semata-mata. Ada di antara artis saya sudah pun siap merakamkan lima lagu serentak antaranya seperti Farlyana, Nazatul dan Syazwani," katanya bersungguh.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: