Wednesday, April 7, 2010

Sorok syabu dalam besi pemegang beg

SHAH ALAM: Cukup licik apabila sindiket pengedaran dadah antarabangsa menjadikan besi pemegang beg untuk menyembunyikan sejumlah dadah sebelum dibawa masuk oleh ‘keldai dadah’ melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dekat sini.

.TAKTIK BARU...Nordin (dua dari kanan) menunjukkan syabu yang  diisi dalam besi pemegang beg.
.TAKTIK BARU...Nordin (dua dari kanan) menunjukkan syabu yang diisi dalam besi pemegang beg.
Sebelum ini, sindiket itu dikesan menggunakan taktik menyorok dadah dalam beg atau dadah ditelan keldai dadah, namun ia dipatahkan pihak berkuasa.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir berkata, dalam tiga kes terbaru sindiket dadah yang berpangkalan di Iran menggunakan lima lelaki warga negara itu untuk menyeludup masuk syabu ke Malaysia.


Menurutnya, ketiga-tiga kes itu menggunakan taktik sama iaitu memasukkan syabu ke dalam batang besi pemegang beg sebelum dibawa keldai dadah.


Katanya, tangkapan dibuat pada 29 Mac, 3 April dan 4 April lalu membabitkan rampasan syabu 2.55 kilogram bernilai RM625,000.


“Taktik ini dibongkar Bahagian Narkotik KLIA, Sepang selepas kita membuat pemerhatian ke atas penumpang yang baru tiba melalui penerbangan antarabangsa terutama dari Iran.

“Kita dapat kesan taktik ini selepas anggota polis yang membuat pemantauan curiga dengan cara suspek menarik beg sebelum mereka ditahan untuk pemeriksaan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.


Nordin berkata, pemeriksaan dalam beg besar yang dibawa pula hanya terdapat beberapa helai pakaian untuk beberapa hari saja.


Katanya, dua lelaki Iran berusia 24 dan 26 tahun yang ditahan kira-kira jam 10.50 malam pada 29 Mac lalu itu membawa dadah seberat 1.5 kilogram dan kes kedua pada Sabtu lalu, suspek berusia 32 tahun dan kali pertama datang ke negara ini membawa dadah seberat 450 gram.


“Manakala kes ketiga pada Ahad lalu, dua suspek berusia 24 tahun ditahan kira-kira jam 7.30 malam dan hasil pemeriksaan ke atas bagasinya membawa kepada penemuan sejumlah dadah yang disorok dalam batang besi beg dan dibalut dengan kemas.


“Anggaran dadah yang dibawa kedua-dua suspek yang sudah memasuki negara ini, dua dan tiga kali itu ialah 600 gram,” katanya menambah turut ditemui pada semua suspek sejumlah wang tunai dalam pelbagai matawang termasuk Dollar Amerika, Riyal dan Ringgit Malaysia.

Difahamkan, setiap keldai dadah itu menerima upah antara AS$400 (RM1,300) hingga AS$500 (RM1,650) bergantung kepada jenis dan kuantiti dadah dibawa.


Nordin berkata, semua suspek yang bekerja sebagai mekanik dan pendawaian itu direman seminggu bermula tarikh tangkapan.


“Semua kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: