KUALA LUMPUR: Seorang vokalis kumpulan rock terkemuka tanah air yang popular pada era 90-an ditahan kerana disyaki mengugut bekas isteri, selain didapati positif dadah, semalam.
TAHAN...vokalis kumpulan rock (dalam butalan) dibawa ke Balai Polis Sentul untuk siasatan, semalam.
Difahamkan, selepas menerima laporan daripada bekas isteri penyanyi itu yang juga penerbit dan pengarah drama, seminggu lalu, polis gagal menjejakinya sehingga dia berjaya dihubunginya semalam.
Sebaik dihubungi kira-kira jam 2 petang semalam, penyanyi popular terbabit diarahkan tampil ke IPD Sentul untuk memberikan keterangan sebelum ditahan.
Menurut sumber, ketika hadir di IPD Sentul, pegawai penyiasat kes berkenaan tidak berpuas hati dengan kelakuan penyanyi terbabit yang disyaki berada dalam keadaan khayal diarah melakukan ujian saringan air kencing.
“Selepas mendapati ujian dadah terhadapnya positif, penyanyi itu ditahan atas kesalahan terbabit, selain bagi membantu kes ugutan terhadap isterinya,” katanya.
“Ini menyebabkan penyanyi popular berkenaan seolah-olah berdendam dengan bekas isterinya selain ‘besar kepala’ selepas dianugerahkan darjah kebesaran, baru-baru ini,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Difahamkan, penyanyi itu dibawa ke mahkamah Jalan Duta hari ini untuk mendapatkan perintah tahanan reman bagi membantu siasatan berhubung kedua-dua kes terbabit.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan mengenai penahanan penyanyi itu, namun enggan mengulas lanjut.
Penyanyi terbabit pernah tampil dengan album solo dengan kepelbagaian irama seperti Arab, Latin dan Parsi selepas kumpulannya berpecah.
Namun, dia pernah menggegarkan industri hiburan tanah air apabila ditahan dan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Jertih, Terengganu atas tuduhan mengambil syabu di restoran miliknya pada tahun 2005.
Selepas bercerai dengan penerbit dan pengarah drama itu, dia berkahwin lain dan dikurniakan seorang anak lelaki.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: