Saturday, April 10, 2010

Siapa lebih berhak?


Zaquan (KIRI) dan Aidil menjadi ayam tambatan kepada kekuatan Negeri Sembilan.


BUKU bertemu ruas dan seimbang... Itu merupakan persepsi yang boleh digambarkan bagi pertemuan Negeri Sembilan dan Kedah pada pentas akhir Piala FA yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Skuad Hoben Jang Hoben atau Hijau Kuning tidak boleh mendabik dada bahawa mereka adalah pasukan pilihan untuk muncul sebagai juara Piala FA untuk edisi ke-21 walaupun rekod Kedah pada pentas akhir cukup menyerlah, menang dalam semua perlawanan akhir pada musim 1996, 2007 dan 2008.

Sementara Negeri Sembilan pula pernah merasai sekali nikmat bergelar juara Piala FA pada tahun 2003 selepas mengalahkan Perlis 2-1.

Penyokong kedua-dua pasukan pasti tidak rela berputih mata mahu melihat skuad kesayangan mereka dikecewakan buat kali pertama pada perlawanan kemuncak Piala FA. Namun yang pasti hanya satu pemenang sahaja akan dinobatkan selaku juara.

Berbekalkan kejayaan menundukkan pasukan pilihan, Selangor di peringkat separuh akhir, Negeri Sembilan yang mendapat sentuhan Wan Jamak Wan Hassan sudah pasti mahu meneruskan coretan kecemerlangan seperti mana kejayaan menjuarai Piala Malaysia pada tahun lalu.

Perlu diakui, Negeri Sembilan mempunyai barisan pemain berpengalaman yang boleh disandarkan bermula daripada posisi serangan sehingga penjaga gol. Kredibiliti dua pemain kembar, Mohd. Zaquan Adha serta Mohd. Aidil Zafuan tidak perlu diperkatakan lagi di samping adunan beberapa pemain berpengalaman lain mencukupkan rencah kekuatan Negeri Sembilan.

Rezal Zambery Yahya selaku kapten, Mohd. Shukor Adan, Idris Abdul Karim dan Ching Hong Aik adalah empat tonggak veteran Negeri Sembilan yang kaya dengan pengalaman dan menjadi tunjang kekuatan bahagian tengah serta pertahanan.

Tanpa melupakan beberapa pemain muda seperti S. Kunanlan, Mohd. Firdaus Azizul dan K. Thanaraj, ternyata skuad negeri daripada adat perpatih itu seimbang daripada segi pengalaman dan bintang berbakat.

Kunci kekuatan mereka banyak terletak di bahagian tengah berikutan kehadiran Rezal dan Idris yang banyak merencanakan pergerakan di samping bertindak penahan serangan pasukan lawan.

Gandingan Aidil dan Shukor pula di bahagian pertahanan tengah mungkin cukup ampuh untuk dibolosi pasukan Kedah sambil dibantu Hong Aik dan seorang lagi bakat muda yang dipanggil oleh K. Rajagobal menjalani latihan bersama skuad kebangsaan, Mohd. Alif Samsudin.

Walaupun mereka bakal kehilangan penjaga gol utama, Farizal Harun yang dilaporkan terpaksa berehat lebih kurang enam bulan namun penggantinya, Sani Anuar Kamsani merupakan pemain berpengalaman dan boleh diharapkan untuk berdepan rangkaian serangan skuad Kedah.

Kelincahan S. Kunanlan di bahagian sayap sudah semestinya akan terus ditagih bagi mengkucar-kucirkan pertahanan Kedah dengan hantaran-hantaran silang berbahaya bagi memudahkan rangkaian Zaquan - Norizan Salaman melakukan tindakan penyudah.

Namun, ketiadaan Shahurain Abu Samah yang digantung mungkin akan sedikit meresahkan Wan Jamak yang mungkin akan menurunkan K. Thanaraj untuk menggantikan tempat pemain berbakat itu.

Satu lagi kelebihan ketara yang dimiliki oleh Negeri Sembilan mereka begitu bijak mendapatkan gol daripada situasi bola mati dan skuad Rusa itu juga memiliki ramai pemain yang boleh menjaringkan gol.

Sementara bagi Kedah, yang berhajat besar memburu kejuaraan keempat Piala FA selepas kali terakhir melakukannya pada tahun 2008, berharap semangat 'Pulun Kedah Pulun' di kalangan penyokong fanatiknya mampu memberikan tonik kepada kesebelasan utama skuad Kenari.

Mengulas mengenai kelebihan Kedah, jurulatihnya, Ahmad Yusoff, gemar melakukan perubahan taktikal dalam setiap perlawanan yang ada kalanya sering mengelirukan pasukan lawan.

Terbaru, pemain kesayangan penyokong Kedah, Baddrol Bakhtiar telah diletakkan di posisi serangan tengah berbanding bahagian lamanya iaitu di sayap kanan. Dengan kelibat Azlan Ismail yang merupakan penjaring gol terbanyak Kedah digantung dan kecederaan Saramsak Kram,, bisa Baddrol amat ditagih untuk menjadi perancang serangan atau mendapatkan gol.

Kepulangan semula pemain lincah, Mohd Khyril Muhymeen hadir tepat pada masanya buat pasukan Kedah bagi menambah sengat di rangkaian serangan yang ditunjangi dua pemain muda, Mohd Faizal Abu Bakar dan Muhammad Shafiq Jamal.

Namun ketika Negeri Sembilan boleh menarik nafas lega kembalinya Aidil di bahagian pertahanan, skuad Kenari terpaksa meratapi kehilangan kapten mereka, Victor Andrag yang cedera di samping ketiadaan Ahmad Fauzi Shaari dan Mohd. Farizal Rosli.

Perlu berwaspada

Mungkin kedudukan pertahanan Kedah didapati agak sedikit goyah kerana selain ketiadaan Victor, mereka juga bakal kehilangan Shafizan Hashim kerana dilayangkan kad merah semasa turun bertemu Terengganu pada peringkat separuh akhir.

Oleh itu, Ahmad Yusof dijangka akan meletakkan sandaran kepada dua pemain muda, Mohd. Fazliata Taib dan Khairul Helmi di pertahanan tengah bagi menjaga kelincahan Zaquan serta dibantu Azmi Muslim dan V. Thirumurugan pada bahagian kiri serta kanan pertahanan Kedah.

Sementara itu, seorang lagi pemain muda Kedah yang semakin menyinar, Mohd. Sabre Mat Abu diramalkan akan diturunkan di posisi tengah bertahan atau menggunakan khidmat seorang lagi pemain, Shahril Faizal bagi membantu kaptennya, Shahrulnizam Mustapa dan Mohd. Fadly Baharom mendapat ruang mengatur gerakan.

Penggunaan taktikal 4-5-1 itu dijangka boleh memberikan pelbagai pilihan buat Ahmad Yusof mengatur serangan kerana kehadiran Baddrol yang bertindak sebagai perancang sambil dibantu Shahrulnizam dan Fadly boleh mengkucar-kacirkan pertahanan Negeri Sembilan.

Namun anak-anak buah Ahmad Yusof perlu berwaspada seandainya Sabre atau Shahril gagal mengawal kedudukan Idris dan Rezal, mereka pasti akan mengundang padah kerana dikhuatiri pengalaman cetek Fazliata dan Khairul boleh menghukum Kedah.

Jika diukur daripada segi pengalaman untuk beraksi di pentas akhir, mungkin skuad Rusa itu didapati sedikit lebih berkelebihan. Tetapi semangat pemain muda Kedah tidak boleh dipandang rendah malah mereka telah membuktikan boleh menewaskan sesiapa sahaja pada hari terbaik mereka dengan Kelantan dan Terengganu telah menjadi mangsa pada saingan sebelumnya.

Mampukah Rusa menjerat sang Kenari untuk muncul juara Piala FA 2010 atau Kenari yang akan terbang megah ke udara dengan menjadikan Rusa sebagai korban? Penentuannya akan dijawab pada malam ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: