|
|
PERNAH menonton filem The Wedding Planner lakonan Jeniffer Lopez? Kalau pernah, tentu sekali sekarang ini anda dapat membayangkan betapa sukarnya menguruskan sesebuah majlis termasuk majlis perkahwinan.
Biar kecil atau besar mana pun majlis tersebut, tidak kira rasmi atau santai, ia tetap memerlukan persediaan rapi agar tidak timbul cacat-cela.
Bermula daripada menyelia, merancang dan mengurus perjalanan majlis, pendek kata tugas tidak akan berhenti sehinggalah segalanya selesai.
Kesuntukan masa untuk melakukan persiapan sesebuah majlis sering menyebabkan khidmat pengurusan acara diperlukan.
Apatah lagi kini sudah ada pihak yang bersedia melakukan segala tugas-tugas tersebut dari A hingga Z, malah 'tuan majlis' tidak perlu risau hal-hal yang mungkin dianggap remeh-temah.
Justeru tugas berat menguruskan sesebuah majlis diserahkan sepenuhnya kepada pengendali atau pengurus acara.
Bagi Pengurus Rumah Acara Sdn. Bhd., Hirzee Mohamad, tanggungjawab besar mengurus dan mengendali sesebuah majlis tidak pernah menggerunkannya.
Bahkan ia dianggap sebagai satu cabaran yang menguji kemampuannya menghasilkan kerja yang terbaik.
''Tugas sebagai perunding dan pengurus majlis memerlukan komitmen tinggi.
"Ini kerana kita memegang amanah orang yang sudah tentu mengharapkan sesuatu yang terbaik untuk majlis mereka," ujarnya.
Bercerita lebih lanjut mengenai Rumah Acara, Hirzee, 24, berkata, ia adalah sebuah syarikat pengurusan acara dan produksi yang bertindak sebagai pencetus, perunding, pengendali dan pengurus bagi pelbagai acara atau majlis.
Ini termasuk majlis pelancaran rasmi dan kasual, pameran, seminar dan bengkel, serta acara tahunan membabitkan pelbagai sektor.
"Penubuhan Rumah Acara sejak tiga tahun lalu adalah berdasarkan sokongan rakan-rakan yang memberi kepercayaan ke atas idea-idea kami," katanya.
Sebagai salah satu tenaga penggerak di Rumah Acara, Hirzee bertanggungjawab memastikan sesebuah majlis yang dikendalikannya berjalan seperti yang dirancang.
"Dalam hal ini kesungguhan dan kebijaksanaan berkomunikasi sangat penting. Maklumlah kerja-kerja ini melibatkan kita berurusan dengan individu yang sudah tentunya mempunyai cita rasa yang berbeza-beza.
"Oleh itu kerjasama dan persefahaman kedua-dua pihak iaitu 'tuan majlis' dan pihak pengurus majlis mesti diambil kira bagi memastikan ia berjalan lancar," ujarnya bersungguh.
Selain itu pengurus majlis yang baik juga harus sentiasa peka termasuk pada perkara-perkara yang mungkin dianggap remeh.
''Contohnya dalam mengendalikan majlis persandingan. Selain memerlukan persediaan awal supaya tidak menjadi kelam kabut pada saat-saat akhir perkara-perkara yang dianggap kecil seperti penyediaan cenderamata, fotografi, rakaman video dan sebagainya juga perlu diberi perhatian.
"Semua itu boleh menjejaskan kemeriahan perkahwinan jika diabaikan dan membuatkan tuan rumah tidak berpuas hati dengan khidmat yang diberi,'' ujarnya.
Pemegang diploma dalam bidang penyiaran ini, mengakui persaingan dalam bidang pengurusan acara ketika ini amat sengit.
Namun Hirzee percaya, kesabaran dan komitmen yang dipupuk menjadi kelebihan kepada Rumah Acara untuk membuktikan ia adalah sebuah syarikat yang cukup berwibawa apatah lagi apabila ia diterajui oleh anak-anak muda yang beriltizam tinggi dan kreatif.
Ditanya apakah impiannya, Hirzee mengakui ingin menjadikan Rumah Acara sebagai pusat sehenti kepada segala keperluan dan perkhidmatan bagi penganjuran sesuatu majlis daripada sekecil-kecil hinggalah ke sebesar-besar acara.
''Saya ingin menyediakan semua peralatan dan perkhidmatan penganjuran majlis di bawah satu bumbung tanpa melibatkan vendor dan orang luar.
''Dengan kemudahan yang ada akan memberi keselesaan kepada pengguna untuk menjadikan perkhidmatan kami sebagai pilihan mereka,"
Bagi yang ingin mendapat khidmat Rumah Acara, boleh terus menghubungi 012 3676346, 017-3660667 atau email ke rumahacara@gmail.com.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: