Saturday, April 10, 2010

Pameran Motor Antarabangsa Bangkok


PAMERAN automotif terbesar di Asia Tenggara yang menerima 1.8 juta pengunjung pada tahun ini.


MESKIPUN keadaan politik yang bergolak ekoran rusuhan penyokong anti kerajaan, pintu masuk Thailand melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi di Bangkok baru-baru ini sesak seperti biasa.

Malah lebih sesak berbanding hari biasa. Sebahagian daripada pelancong itu ialah pengunjung yang datang untuk menyaksikan Pameran Motor Antarabangsa Bangkok 2010 (BIMS), temasya automotif terbesar di Asia Tenggara.

BIMS yang berlangsung dari 26 Mac hingga 6 April lalu di ruang pameran gergasi Bitec, menghimpunkan hampir kesemua jenama berpengaruh dalam industri. Tidak ketinggalan penyertaan jenama kebanggaan negara, Proton.

Penganjuran yang masuk kali ke-31 kali ini dilihat begitu berjaya dengan jumlah pengunjung yang bertambah. Maklumat daripada penganjur menyatakan jumlah pelawat pada setiap tahun mencecah 1.5 juta orang.

Angka ini menggambarkan kekukuhan industri pemotoran di negara jiran itu yang sudah lama menjadi hab pengeluaran pelbagai jenama kenderaan dan komponen automotif.

Malah BIMS itu sendiri adalah satu perniagaan. Perniagaan yang cukup menguntungkan pada tahun ini dengan jualan sebanyak 12,400 unit kenderaan sepanjang acara sembilan hari itu, menurut Timbalan Pengerusi Penganjuran, Jaturon Komolmit.

"Jumlah itu adalah peningkatan sebanyak 62 peratus daripada jualan 7,687 unit kenderaan pada tahun lalu.

"Lima penjual terlaris adalah Toyota, Nissan, Mazda, Honda dan Isuzu," jelasnya.

Begitulah kuatnya industri automotif Thailand hinggakan kekecohan yang ditimbulkan penyokong berbaju merah di tengah-tengah kota tidak sedikitpun 'memalapkan' kilauan jentera di ruang pameran seluas 30,000 meter persegi itu.

Kemeriahan di bilik pameran

Bagi peminat automotif, pantulan merah hati dari Mercedes Benz SLS 63 AMG dengan dua pintu mengerbang seperti sayap jauh lebih menarik untuk diamati.

Dengan bayaran masuk 100 baht atau kira-kira RM10, pelawat berpeluang mendekati ratusan kenderaan termasuk dari kategori kereta super, hibrid dan konsep, model terbaru, motosikal, unit ubah suai dan pelbagai produk berkaitan industri.

Dalam kategori kereta super, Lexus menampilkan jentera menawan iaitu Lexus LF-Ch, Bentley, Audi R8, Ferrari dan Roll Royce Phantom.

Selain model-model mewah, perhatian semestinya tertumpu kepada model mampu milik terbaru seperti jentera buatan tempatan (Thailand) iaitu Nissan March/ Mirca. Mazda 2, Toyota RIN, konsep Honda dan Isuzu antara jentera yang menjadi tumpuan.

Mazda 2, model terbaru empat pintu keluaran Mazda mencetuskan topik perbualan yang hangat. Kereta salon kecil yang akan menyaingi Ford Fiesta, Toyota Vios dan Honda City.

Di dalam segmen kompak premium, BMW memperkenalkan kenderaan aktiviti sukan (SAV) iaitu BMW X1. Jentera pacuan belakang dengan enjin petrol 1.8 liter itu dilengkapi ciri mesra alam. BMW X1 adalah kenderaan pertama yang membebaskan gas karbon dioksida (CO2) di bawah purata 170 gram setiap kilometer.

Di pentas Jepun pula, Toyota mengetengahkan model konsep 'hijau' iaitu Toyota RIN yang mencerminkan rekaan kereta masa depan. Rekaan cermin hijau telus cahaya yang memukau mata pengunjung.

Sementara itu, Honda menampilkan model konsep kecil yang akan dikeluarkan di India. Model itu bagaimanapun tidak akan dapat dimiliki sehinggalah penghujung 2011.

Di pentas Korea, Tucson keluaran Hyundai membuktikan rekaan yang nyata berbeza dengan sentuhan kenderaan Jepun dan Barat. Tucson membuktikan kesempurnaan kejuruteraan dan seni reka yang kini setanding dengan kenderaan global.

Secara kesimpulannya, penulis merasakan kejayaan BIMS banyak bergantung kepada kekukuhan industri selain populasi penduduk yang tinggi. Namun, tiada alasan jika kerajaan ingin wujudkan satu lagi hab pesaing di negara ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: