Sunday, April 11, 2010

Sertailah Kacak Bergaya 2011




Sebelum ini tiada siapa mengenali Ahmad Bakri Marfi, Hafizul Ahmad Kamal, Fadlan Hazim Anuar dan Ahmad Mathni Abdul Razak. Namun pembabitan mereka dalam Pencarian Kacak Bergaya 2010 yang dibawakan oleh Pancaindera telah mengubah nasib mereka.

Kini nama mereka mula mendapat perhatian pihak tertentu untuk bergiat dalam dunia seni yang diminati baik lakonan atau peragaan.

Pihak penganjur juga menerima panggilan daripada banyak pihak termasuk syarikat produksi dan agensi yang berminat untuk menawarkan peluang kepada mereka.

Malah ada beberapa pihak yang sudah melamar pihak Pancaindera untuk turut bersama-sama menjayakan pencarian edisi 2011 pada tahun hadapan. Ia satu perkembangan positif.

Juaranya, Bakri yang masih merupakan penuntut ijazah sarjana muda pendidikan jasmani di Universiti Putra Malaysia tidak mahu tergesa-gesa menerima apa-apa tawaran kerana mahu memberi komitmen terhadap pelajaran terlebih dahulu.

"Setelah menimba pengalaman sepanjang latihan Pencarian Kacak Bergaya Vigor Pancaindera 2010, saya bertambah yakin dan ingin menyertai dunia peragaan," kata Bakri.

Hafizul yang menjadi pilihan juri sebagai naib juara ingin mencuba bidang lakonan dan pengacaraan selepas ini.

"Masih terlalu baru untuk saya terus terjun ke dunia seni, biarlah saya bermula dari bawah dulu.

"Pencarian Kacak Bergaya banyak mengajar saya selok belok dunia hiburan dan saya harap menjadi sebahagian daripada mereka suatu hari nanti," jelas Hafizul.

Walaupun Fadlan hanya menenangi tempat saguhati, dia turut mendapat perhatian pihak luar yang tertarik dengan penampilannya.

Fadlan sekarang sudah mula aktif berlakon dan membintangi drama antaranya drama muzikal Hotel Mania yang sedang ditayangkan di TV3.

Dia juga turut dipilih oleh pengeluar kasut jenama Alfio Raldo yang berminat mengambilnya sebagai penghias kempen baru dan katalog produk kasut jenama itu.

"Saya akan menjalani penggambaran untuk menghiasi katalog Alfio Raldo Isnin ini (esok)," kata Fadlan kepada Pancaindera.

Fadlan berterima kasih kepada Pancaindera yang turut memberi peluang kepadanya mencipta nama melalui program kelolaan mereka.

Alfio Raldo ialah salah satu penaja yang turut menjayakan kemuncak Pencarian Kacak Bergaya Vigor Pancaindera 2010 baru-baru ini.

Mathni juga seorang lagi nama baru yang semakin tinggi minat dalam bidang seni selepas selesai final Kacak Bergaya 2010 baru-baru ini.

"Ada juga yang tanya-tanya saya secara lisan untuk menawarkan saya dalam bidang seni tapi masih belum ada pengesahan rasmi lagi. Tapi saya akan berusaha kerana tidak mahu mensia-siakan peluang yang ada.

"Sekarang sudah ada yang mengenali saya, saya ingin jadikan landasan ini sebagai permulaan saya dan saya kenalah bekerja keras," kata Mathni.

Peluang sertai Pencarian Kacak Bergaya 2011 Anda mahu mengecap kejayaan sebagaimana finalis Pencarian Kacak Bergaya Vigor Pancaindera 2010 perolehi?

Pencarian Kacak Bergaya Pancaindera 2011 kini bermula dan mengalu-alukan penyertaan remaja yang ingin mengintai dunia seni sama ada lakonan atau peragaan.

Kalau anda berminat, hantarkan penyertaan kepada kami. Caranya mudah sahaja. Hantarkan biodata serta gambar terbaru yang lengkap ke emel kacakbergaya2011@gmail.com.

Anda haruslah berusia 17 hingga 28 tahun. Selain menghantarnya melalui emel anda boleh juga menghantar ke alamat Rosli Manah, Kacak Bergaya 2011, Utusan Karya Sdn. Bhd., Kompleks Sri Utusan, Kawasan Perindustrian Bangi, Lot 6, Jalan P/10, Seksyen 10, Bandar Baru Bangi, 43650 Bangi, Selangor.

Setiap minggu seorang calon akan ditampilkan sebagai penghias kolum Kacak Bergaya yang kini sudah 15 tahun bertahan dan diminati ramai.

Penyertaan dibuka sepanjang tahun ini dan pemilihan calon yang layak akan diumumkan selepas itu.

Sememangnya Pancaindera mendokong dan menggalakkan kemunculan bakat baru yang tidak mempunyai tapak bagi memulakan langkah. Selamat mengintai dunia seni.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: