|
|
PERANAN lampu bukan sekadar seperti bulan yang menerangi kegelapan, malah juga ibarat bintang-bintang yang menyerikan lagi malam gelita.
Cukup dengan kehadiran sebiji lampu yang unik, ruang kosong dan polos kelihatan lebih menyerlah serta bermaya. Selain melimpahkan cahaya, lampu menjadi transformasi suasana paling ideal dan mudah.
Tidak sukar mendapatkan lampu yang sesuai dengan kediaman anda. Pelbagai pilihan dan bentuk menepati konsep yang diingini terdapat di mana-mana sahaja. Andai lebih kreatif mencipta suasana, gabungan beberapa barang terpakai dan mentol sudah memadai untuk mencipta kelainan.
Pengurus Jualan Trust Lighting Collection, Tajudin Noor berkata, pemilihan lampu dalam mengindahkan kediaman mampu mencetus persona tersendiri.
"Pagar, laman, pintu masuk dan ruang dalaman kediaman akan bertambah seri dengan kehadiran lampu," katanya.
Menurutnya, cita rasa pengguna berbeza, kerana itu mereka perlu bijak dalam menentukan apa yang sesuai dan tidak dengan konsep yang diingini.
Kata Tajudin, pengguna mempunyai pengetahuan yang luas mengenai dekorasi rumah melalui pembacaan majalah dan Internet.
Sebab itu kini mereka tidak lagi memerlukan khidmat rundingan mengenai apa yang sesuai dengan kediaman mereka. Namun begitu, beliau menyarankan agar pengguna melakukan tinjauan terlebih dahulu sebelum membeli bagi mendapatkan hasil yang terbaik.
Pilihan dan kualiti
Menurut Tajudin, kebanyakan pengguna lebih gemar sesuatu yang ringkas, kontemporari dan tidak terlalu sarat.
Jika dahulu warna keemasan diminati ramai, kini kebanyakan lebih bertumpu kepada hitam, putih dan warna-warna bumi.
Lampu gantung dan chandelier sarat bukan lagi menjadi trend. Sedikit juraian dan sentuhan unik menjadi pilihan ramai.
Tajudin menasihatkan pengguna agar tidak mudah terpedaya dengan harga murah yang ditawarkan kerana kualitinya tidak terjamin.
"Terdapat pelbagai jenis gred yang menentukan kualiti sesebuah lampu. Ia bergantung kepada material, pastinya lampu yang berkualiti lebih mahal berbanding biasa. Namun tidak rugi memilikinya kerana ia lebih tahan lama," katanya.
Ruang luar kediaman seperti pagar, pintu masuk utama dan laman memerlukan lampu daripada material tahan lasak seperti resin kerana keadaannya yang terdedah dengan cuaca.
"Contohnya seperti rekaan klasik Itali berwarna putih yang menjadi pilihan istana dan kediaman VVIP," katanya.
Jelasnya lagi, rekaan ini dibina daripada material resin yang tahan cuaca hingga 70 C dan mempunyai jaminan seumur hidup.
Untuk ruang dalaman katanya, chandelier tetap menjadi pilihan menyinari ruang tamu. Warna kuning menjadi perhatian ramai, mungkin kerana aroma romantis yang terhasil di sebalik pancaran sinarnya.
Bagi ruang makan pula, Tajudin menyarankan lampu yang memiliki reka bentuk cahaya terus.
"Ruang makan perlu lebih terang. Lampu dengan hasil cahaya bersepah kurang sesuai kerana ia seakan tiada fokus," katanya.
Menurut Tajudin, Trust Lighting Collection menyediakan pelbagai jenis lampu merangkumi keseluruhan ruang kediaman dengan pelbagai rekaan yang berkualiti.
Selain lampu, kipas-lampu (dua dalam satu) pelbagai corak juga terdapat di sini.
"Kami memastikan setiap produk yang dijual mempunyai kualiti yang baik dan memuaskan hati pengguna. Dan kami turut menyediakan khidmat rundingan untuk memudahkan pelanggan membuat perbandingan," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: