SEBELUM berkahwin dahulu khususnya kepada kaum wanita, pernah tak anda terfikir atau bercadang untuk berkahwin dengan suami orang, rela bermadu dan berkongsi kasih. Tentu tidak pernah kan? Sekali pun tidak terlintas di fikiran anda.
''Begitu juga saya! Tak pernah terfikir apa lagi bercita-cita untuk berpoligami. Malah saya memang tak suka rebut suami. Saya fikir saya masih muda dan boleh cari lelaki yang bujang sebagai suami, lagi pun saya bekerja tentu peluang saya lebih cerah,'' Demikian cerita Shazlina ketika kami berbual di telefon beberapa kali, setelah menerima emel dan nombor telefon yang disertakannya.
''Tetapi jodoh, rezeki dan mati ini semua kuasa Allah walaupun saya elakkan kalau nak terjadi dan sudah jodoh kita takkan ke mana. Saya bukan baru kenal dengan abang Jo... Saya tahu dia dah berumah tangga dan anak-anak dah besar yang sulung sudah pun berkahwin. Tetapi dia tetap melamar saya jadi isterinya. Namun saya tolak.
''Tetapi dia tidak pernah putus asa, tidak lama kemudian dia ke Mekah mengerjakan haji bersama isterinya. Saya fikir lepas ini tentulah dia lupakan saya. Kerana katanya dia nak buat keputusan muktamad tentang hasratnya untuk berpoligami.
''Malangnya walaupun selepas beberapa tahun balik dari Mekah, dia tetap telefon ajak saya kahwin.
''Faktor utama membuat saya menolaknya, kerana beza usia kami lebih 20 tahun. Akhirnya saya setuju.
''Sebelum kahwin Jo memang bebas ke mana sahaja, katanya isterinya tak pernah larang. Hinggakan kalau nak minum air di rumah pun dia kena buat sendiri, gosok baju sendiri, tak makan kat rumah pun tak jadi masalah. Isterinya sibuk dengan tugasnya, sementara anak-anak yang semakin dewasa sibuk dengan urusan sendiri. Dia bebas.
''Sebelum buat keputusan saya tanya ibu dan ayah, mereka tak halang berpoligami, kerana poligami halal di sisi Islam. Majlis pertunangan dan majlis meraikan perkahwinan hanya buat di rumah kami. Cuma kami nikah di Siam, sebab di sini banyak masalahnya.
''Nak jadikan cerita ketika itu saya bekerja di selatan dia di KL, lepas kahwin saya memohon bertukar ke KL dan diluluskan.
''Lepas berkahwin adalah dua bulan hidup kami aman damai. Tetapi masuk bulan ketiga hidup saya mula kucar kacir, rahsia perkahwinan kami sudah terbongkar, isteri Jo dapat tahu dia berkahwin lagi, apalagi berlakulah perang besar. Sejak itu jadual hidup Jo tidak bebas lagi seperti sebelumnya, semuanya dikawal rapi.
''Walaupun kami berkahwin secara halal sejak 10 tahun lalu, tetapi Jo tidak pernah bermalam di rumah saya. Kalaupun ada dua kali, itu pun untuk selama dua hingga tiga jam sahaja. Jo pulang ke rumah saya waktu siang secara curi-curi. Namun kerana kami sama-sama subur masuk bulan keempat saya hamil.
''Sejak hamil semua urusan sakit pening, jumpa doktor dan sebagainya, saya urus sendiri, saya tak boleh harapkan Jo kerana dia tak berani pulang ke rumah saya. Keadaan ini berterusan hinggalah saya melahirkan anak sulung perempuan kini berusia lebih 8 tahun.
Bercerai
''Kini pada usia 43 tahun ibu kepada anak perempuan berusia 5 dan 8 tahun saya mula memikirkan apakah nasib mereka bila dewasa nanti. Ditakdirkan dia kahwin satu hari nanti siapa akan walikan? Lebih sedih anak saya yang sulung mendakwa kami sudah bercerai. Kerana sejak setahun kebelakangan ini Jo langsung tidak pernah menelefon mereka apa lagi untuk datang jengok mereka seperti dulu.
''Saya tak sangka sebagai ayah Jo langsung tidak ada perasaan terhadap anak-anaknya yang masih kecil. Sedangkan dalam waktu yang sama dia boleh pergi mengerjakan umrah bersama isterinya. Dan mereka pergi melangcong ke luar negara bersama anak cucunya, sedangkan kami langsung dia tidak bertanya khabar.
''Si kakak tanya saya benarkah kami dah bercerai? Terkedu saya, namun saya nafikan.Pernah saya cuba menghubunginya tetapi biasanya jawapannya sibuk, meeting dan dia cepat-cepat tutup telefon.
''Kadang-kadang saya sedih dengan nasib anak-anak saya, mereka tidak pernah duduk semeja dengan ayah mereka untuk bertanya dan menunjuk ajar mereka tentang pelajaran sekolah macam orang lain. Mereka juga tak pernah berhari raya bersama dengan ayahnya walaupun setahun sekali, apa lagi pergi bercuti dengan ayah.
''Biasanya sayalah yang bawa mereka berkelah ke sungai ataupun di pantai, pergi bercuti ataupun balik ke kampung bila cuti sekolah ataupun hari raya.
''Namun saya tak salahkan isterinya sahaja, Jo lebih bersalah, kerana kalau dia suami yang bertanggungjawab dan tegas dia pasti boleh mengurus dua keluarga dengan baik. Kalau tidak masakan dia takut bermalam di rumah saya walaupun untuk semalam sahaja sepanjang 10 tahun kami berkahwin? Bayangkan!
''Kata orang bomoh isterinya kuat, tetapi kalau Jo seriang duduk di tikar sembahyang, mengaji dan selalu ke masjid, pasti semuanya boleh dihapuskan. Dan Jo sendiri mesti ada kekuatan diri, barulah dia boleh mengurus keluarganya dengan baik dan adil.
''Lebih menyakitkan hati Jo pernah berpesan kepada kawannya untuk sampaikan kepada saya supaya bersabar sementara dia menyelesaikan masalah keluarganya. Ini yang tak betul, kenapa dia tak boleh telefon saya sendiri suruh bersabar? Demikian cerita Shazlin panjang lebar tentang masalah hidup bermadu.
Kata Shazlin, sebelum kahwin lelaki boleh buat 1001 macam janji, lepas kahwin dia jadi penakutkan isteri. Itu tandanya ilmu berkahwin dan ilmu berpoligami tak cukuk di dada. Bukan mudah berpoligami, silap langkah boleh memakan diri.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: