Sunday, April 11, 2010

Kuisin Jepun aliran Melayu


HATI angsa bersama sos teriyaki.


RESTORAN Sakata Japanese Cuisine dikenali kerana kepakaran dalam menyediakan masakan Jepun berorientasikan selera tempatan. Rasa masin, manis, pedas dan berempah yang selama ini kurang didapati pada fusion masakan itu, kini boleh dinikmati di premis yang terletak di Pusat Membeli-belah Maju Junction, Kuala Lumpur.

Itulah keistimewaan yang boleh didapati sekiranya anda kunjungi restoran berkenaan. Menjadi keutamaan buat pemiliknya, Amy T Sakata bagi memastikan setiap masakan menepati piawaian yang ditetapkan - sedap, segar dan sentiasa diingati pelanggan.

''Kami mahu penggemar masakan Jepun benar-benar menikmati hidangan di restoran ini. Bukan sahaja untuk hidangan sushi, teppanyaki malah menu hidangan ala carte. Sasaran kami adalah keunikan sajian yang tidak terdapat pada premis masakan Jepun lain,'' katanya dalam pertemuan baru-baru ini.

Restoran Sakata hanya menyediakan bahan mentah yang segar dan terbaik buat setiap pengunjung dalam hidangan berpatutan. Pihaknya sentiasa memastikan kualiti bahan yang disediakan berada di paras yang memuaskan sebelum disajikan.

Kesemua bahan berkenaan kemudiannya dimasak oleh pakar tukang masak, Chef Machi yang berpengalaman selama 18 tahun.

Antaranya keistimewaan ala carte di Restoran Sakata adalah Oh Ebi Teppayanki Style yang menggunakan udang harimau dengan harga RM49.80, bergedel Jepun bersama makanan laut (RM22), ayam panggang bersama sos teriyaki (RM28) dan hati angsa bersama sos teriyaki (RM48).

Formula yang digunakan Chef Machi sememangnya memberi suntikan baru kepada masakan Jepun yang selama ini kurang mendapat tempat terutama di kalangan pengunjung yang berselera Melayu.

Penggemar masakan Jepun boleh mengunjungi Restoran Sakata yang beroperasi setiap Isnin hingga Sabtu bermula pukul 11.30 pagi hingga 10 malam. Tiada apa yang boleh diragukan berkaitan sumber dan cara masakan di sini kerana ia telah mendapat sijil halal daripada Islamic Association of Australia.

Untuk sebarang maklumat boleh layari sakatajanase.blog126.fc2.com atau emel sakatajc@streamyx.com untuk sebarang pertanyaan atau penjelasan lanjut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: