|
|
TIDAK semua peminat bertuah untuk menghadiri majlis perkahwinan artis atau selebriti kesayangan mereka dan jauh sekali untuk dapat menyentuh atau membelek gaun pengantin mahupun aksesori yang dikenakan pada pada hari bersejarah tersebut.
Apa yang mampu hanya melihat dan membaca melalui media tentang gilang-gemilangnya majlis perkahwinan mereka dengan busana serta hiasan bertatah mutiara dan intan permata ratusan ribu ringgit yang ditaja pihak-pihak tertentu.
Kini peminat penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza, mahupun Ning Baizura dan model terkenal, Amber Chia, berpeluang melepaskan 'kempunan' untuk melihat dengan lebih dekat gaun pengantin yang pernah dipakai selebriti kesayangan mereka ini melalui pameran yang julung kali diadakan.
Gaun-gaun pengantin yang nilainya mencecah ratusan ribu ringgit itu boleh disaksikan oleh orang ramai di Muzium Negara sempena Pameran Pesona Mutiara Rafflesia anjuran Jewellery Circles dengan kerjasama Jabatan Muzium Negara.
Pengarah Urusan Jewellery Circles, Sin Cheang Loong berkata, ilham untuk mengadakan pameran gaun dan aksesori itu timbul ketika isterinya, Winnie Sin mereka hiasan mutiara untuk gaun Siti Nurhaliza sempena majlis persandingan penyanyi itu.
"Impian untuk mengadakan pameran di muzium ini memang sudah lama tetapi baru sekarang dapat dilaksanakan.
"Tujuan kami hanya untuk memberi peluang kepada orang ramai menyaksikan lebih dekat keindahan hiasan-hiasan mutiara Rafflesia yang telah kami hasilkan untuk selebriti kesayangan mereka," katanya.
Beliau mengakui antara tarikan utama pameran ialah gaun-gaun pengantin berhias mutiara dan permata yang pernah dipakai oleh Siti Nurhaliza, Ning Baizura dan Amber Chia serta gaun Abuta Sarawak persembahan Konsert 4 Diva.
Selain itu turut dipamerkan dan bakal menjadi tarikan orang ramai ialah gaun bertatah berlian berharga RM400,000 milik Winnie.
Menurut Winnie, yang juga pengasas jenama Rafflesia, gaun hasil rekaan pereka terkenal Khoon Hooi yang dipakai ketika menghadiri malam Gala Konsert 4 Diva itu, dihiasi lebih seribu butir mutiara.
"Sejak diperagakan ini kali pertama dipamerkan kepada orang awam," katanya.
Turut menjadi tarikan pameran pelbagai aksesori mutiara seperti cincin perkahwinan pelakon Erra Fazira, cincin perkahwinan Siti Nurhaliza, kerongsang loket perkahwinan Ning Baizura dan kerongsang mutiara pereka kasut antarabangsa Prof Datuk Jimmy Choo.
Tidak ketinggalan koleksi kasut bersulam mutiara Amber Chia dan kasut bersulam mutiara Winnie.
Dalam pada itu majlis perasmian Pameran Pesona Mutiara Rafflesia yang berlangsung baru-baru ini dimeriahkan dengan kehadiran Ning Baizura, Nasha Aziz, Pushpa Narayan, Amber Chia dan Suki.
Nyata kelibat lima selebriti ini menarik perhatian ramai pengunjung yang tidak melepaskan peluang bersalam dan bergambar.
Muzium jadi tempat rujukan lengkap
Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Wira Kamaruddin Siaraf berkata, penganjuran pelbagai pameran di Muzium Negara mampu meningkatkan kedatangan pengunjung ke muzium itu.
"Kita menyaksikan peningkatan pengunjung daripada 2.85 juta pada tahun lepas kepada 3.5 tahun ini. Kalau diperhatikan tahun lalu memang tidak banyak pameran yang diadakan", katanya.
Kamaruddin berkata, peranan muzium amat penting sebagai penjaga (custodian) khazanah budaya dan sebagai institusi yang bertanggungjawab menyebarkan pengetahuan kepada orang ramai mengenai warisan sejarah, budaya dan alam semula jadi negara.
"Muzium juga semestinya menjadi destinasi pelancong. Oleh itu sokongan padu terhadap peranan penting yang dilaksanakan oleh muzium ini mesti disokong oleh semua pihak.
"Justeru saya amat mengalu-alukan kerjasama pintar di antara Jabatan Muzium Malaysia dengan badan-badan korporat atau individu-individu sebagaimana pameran mutiara Rafflesia ini," ujarnya.
Kamaruddin menambah, dengan adanya kerjasama seperti ini banyak kegiatan-kegiatan di muzium dapat dijalankan untuk kebaikan dan manfaat orang ramai.
Tambahnya, pameran seperti itu juga merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat dan ia sewajarnya dicontohi oleh pihak lain.
Beliau berkata lagi, Pameran Pesona Mutiara Rafflesia ini bertujuan untuk memberikan peluang kepada orang ramai melihat dengan lebih dekat dan seterusnya menghargai keindahan mutiara yang dimanifestasikan melalui rekaan barang kemas dan aksesori milik Rafflesia.
"Di samping itu apresiasi keindahan mutiara juga dapat dilihat menerusi rekaan para pereka berbakat yang menggunakan mutiara sebagai perincian pada busana ciptaan mereka.
"Bahan pameran ini saya kira adalah eksklusif dan saya yakin bakal menarik minat ramai untuk datang ke Muzium," katanya yang berharap supaya ramai pengunjung ke pameran tersebut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: