Wednesday, April 21, 2010

Aplikasi gadaian Islam


Sistem gadaian Islam adalah lebih adil dan seharusnya menjadi pilihan masyarakat di negara kita.


Secara ringkasnya sejarah sistem gadaian Islam di Malaysia bermula dengan penubuhan Muassasah Gadaian Islam Terengganu pada 23 Januari 1992.

Gadaian atau Ar-Rahnu telah diaplikasikan sejak zaman Rasulullah SAW lagi. Ar-Rahnu bermaksud meletakkan sesuatu barang yang berharga sebagai jaminan atau cagaran oleh pemiliknya untuk mendapatkan pinjaman.

Sekiranya pemilik tersebut tidak dapat menyelesaikan hutangnya, si pemberi hutang berhak untuk mendapatkan kembali wang dipinjamkannya daripada barang gadaian tersebut.

Prof. Dr. Yusof Al-Qaradawi dalam bukunya Al-Halal wa Al-Haram fil Islam menghuraikan maksud gadaian sebagai sesuatu barang yang dijadikan peneguhan atau kepercayaan dalam urusan hutang-piutang.

Barang yang dijadikan jaminan itu boleh dijual, jika hutang tidak dapat dibayar. Tetapi penjualan itu mesti sama nilainya dengan nilai wang dipinjam.

Hukum Gadaian adalah harus. Ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud: Jika kamu dalam perjalanan (dan bermuamalah tidak secara tunai) sedangkan kamu tidak memperoleh seorang penulis, maka hendaklah ada barang jaminan yang dipegang (oleh yang berpiutang). (al-Baqarah: 283)

Ia juga selari dengan hadis daripada Aisyah r.a yang bermaksud: Rasulullah SAW pernah membeli makanan dari orang Yahudi dan beliau menggadai kepadanya baju besi beliau. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Konsep Ar-Rahnu atau gadaian secara Islam ini menggalakkan pinjaman tanpa faedah bagi mereka yang memerlukan dan membantu masyarakat yang didalam kesusahan tanpa mengira keturunan mahu pun agama.

Dalam memastikan gadaian yang dilakukan adalah menurut kehendak dan prinsip Syariah, terdapat 5 rukun yang perlu dipatuhi iaitu Pemberi gadai (Ar-Raahin), penerima barang gadaian (Al-Murtahin), Barang Gadaian (Al-Marhuun), Hutang (Al-Marhuun Bih), Sighah (Ijab dan Qabul) iaitu majlis penyerahan dan penerimaan gadaian.

Selain itu, syarat sah gadaian ialah akad gadaian mestilah dilakukan melalui ijab dan qabul (tawaran dan penerimaan), pemberi gadai (Ar-Raahin) dan penerima barang gadaian (Al-Murtahin) hendaklah terdiri daripada orang yang mempunyai kelayakan yang sewajarnya untuk mentadbir harta (Mutlaq Al-Tasarruf) iaitu mestilah orang yang telah baligh dan berakal.

Barang yang digadaikan (Al-Marhun) mestilah milik orang yang menggadai dan sah untuk dijual beli. Selain itu, gadaian tersebut dibuat atas kerelaan Ar-Raahin tanpa paksaan.

Kontrak gadaian tersebut dikira terbatal apabila barang yang digadai itu diserahkan semula kepada pemberi gadai dan beliau menjelaskan keseluruhan hutangnya kepada penerima gadai.

Aktiviti gadaian yang dilakukan secara Islam dapat menggalakkan sikap tolong-menolong di antara satu sama lain sebagaimana dijelaskan dalam al-Quran: Dan tolong-menolonglah kamu dalam perkara kebaikan dan taqwa dan jangan tolong-menolong dalam perkara permusuhan dan dosa. (al-Maaidah: 2)

Ia juga dapat membantu mereka yang dalam kesempitan wang mendapatkannya dengan cara yang bersih dan dibenarkan syarak. Selain itu, memberi kemudahan kepada orang yang memerlukan dan memberi jaminan kepada orang yang memberi hutang.

Ia juga mengelakkan sebarang perbalahan antara pemberi hutang dengan orang yang berhutang sekiranya hutang tidak dapat dilangsaikan serta memberi dorongan kepada orang yang berhutang agar membayar hutangnya bagi mendapatkan kembali barang yang menjadi barang gadaian.

Biar pun telah wujud institusi-institusi gadaian secara Islam, namun masih ada masyarakat hari ini terutamanya umat Islam yang berurusan dengan institusi gadaian bukan Islam.

Perbezaan utama institusi gadaian secara Islam dan bukan Islam adalah bagi gadaian yang dilakukan secara Islam, barang gadaian tetap hak pemilik asal walau pun ia telah digadaikan.

Selain itu, cara pembayaran bagi barang gadaian tersebut adalah berdasarkan kepada nilai barang dan upah yang sewajarnya. Sistem gadaian Islam ini adalah untuk membantu individu yang memerlukan bagi meringankan bebanan mereka.

Bagi gadaian yang dilakukan bukan secara Islam, barang yang digadaikan akan lupus sekiranya tidak ditebus dalam tempoh gadaian. Cara pembayarannya pula adalah berdasarkan kepada nilai barang dan ditambah dengan faedah atau riba.

Praktis sebegini akan membebankan individu yang memerlukan kerana mereka perlu membayar faedah yang dikenakan dan ia jelas melibatkan unsur-unsur riba dan gharar (ketidakpastian).

Banyak kelebihan Ar-Rahnu berbanding dengan sistem gadaian konvensional tetapi masih tidak disedari oleh masyarakat. Pemikiran mereka telah berjaya didoktrinkan agar sentiasa bergantung dan melakukan transaksi menggunakan sistem konvensional sedangkan sistem yang lebih telus, adil dan berasaskan prinsip-prinsip Islam diketepikan.

Antara kelebihan Ar-Rahnu berbanding sistem gadai konvensional adalah ia bebas daripada unsur-unsur riba. Maksudnya, pinjaman yang diberi tidak akan dikenakan sebarang faedah berbanding dengan sistem gadaian konvensional yang menjadikan faedah sebagai sumber hasil mereka.

Faedah atau riba adalah perkara yang diharamkan dalam Islam dan pemakan serta pemberi riba sebenarnya mereka memerangi Allah SWT dan Rasul-Nya sebagaimana yang dinyatakan dalam Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah SWT dan tinggalkanlah saki baki Riba sekiranya kamu benar-benar beriman, sekiranya kamu tidak meninggalkannya, isytiharkanlah perang dengan Allah dan Rasul-Nya. (al-Baqarah: 278)

Kelebihan-kelebihan lain sistem gadaian secara Islam adalah nilai barang gadaian tersebut tidak akan berkurangan atau merosot, akan tetapi bagi gadaian secara konvensional, kita biasa mendengar bahawa barang yang digadai tersebut.

Contohnya rantai emas, beratnya akan berkurang sedikit apabila ditebus semula. Ia memperlihatkan ketidaktelusan pihak yang memegang barang gadaian tersebut.

Selain itu, institusi gadaian secara Islam mengenakan caj perkhidmatan yang rendah berbanding caj perkhidmatan oleh institusi gadaian konvensional. Di samping itu, barang kemas yang disimpan berdasarkan skim yang ditawarkan oleh institusi gadaian Islam tersebut dijamin selamat dan tidak akan berlaku sebarang unsur penipuan.

Jadi, pemberi gadai tersebut tidak perlu merasa risau akan keselamatan barang yang digadainya.

Sekiranya pemberi gadaian tidak mampu membayar semula hutangnya apabila tamat tempoh yang diberikan, penerima gadaian akan memaklumkan kepadanya bahawa barang gadaian tersebut terpaksa dijual.

Jika harga jualan barang gadaian melebihi jumlah hutang pemberi gadaian, pihak penerima gadaian akan memulangkan semula lebihan tersebut kepada pemberi gadaian.

Sekiranya barang gadaian tersebut terpaksa dilelong, pemberi gadaian akan diberi notis mengenai upacara lelongan tersebut sebagai makluman bahawa tempoh masa pembayaran balik pinjaman yang diberikan tamat.

Tempoh pembayaran semula yang dikenakan oleh institusi gadaian Islam juga munasabah dan tidak menekan pemberi gadaian tersebut. Akan tetapi, jika pemberi gadaian berurusniaga dengan institusi gadaian konvensional, sudah pasti pihak institusi tersebut akan mengenakan bayaran tambahan bagi sebarang lanjutan tempoh pembayaran yang diminta oleh pemberi gadaian.

Ini sememangnya bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam.

Biar pun telah wujud akta berkaitan operasi gadaian ini, penyelewengan masih dilakukan oleh institusi gadaian konvensional sehingga membeban dan menindas golongan-golongan yang memerlukan.

Ini membuktikan kelemahan akta tersebut dan masih banyak ruang yang perlu diperbaiki.

Mutakhir, institusi gadaian Islam semakin berkembang. Dengan berkembangnya Institusi Gadaian secara Islam, ia membuktikan bahawa sistem secara Islam mampu untuk bersaing dengan sistem konvensional.

Jadi, tidak ada alasan lagi untuk masyarakat hari ini menggunakan sistem gadaian secara konvensional kerana sistem gadaian secara Islam telah wujud dan mampu membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Secara umumnya, praktis yang dilaksanakan oleh institusi gadaian Islam sememangnya membantu golongan-golongan yang memerlukan dan tidak menindas.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: