Wednesday, April 21, 2010

Timor Leste hadapi masalah remaja hamil


Ramai remaja perempuan Timor Leste terpaksa meninggalkan bangku sekolah kerana hamil akibat hubungan di luar perkahwinan.


KETIKA Graziela Sarmento berusia 16 tahun dia mengandung hasil hubungan terlarang dengan rakan sekelasnya di sekolah menengah.

Dia kemudian mengambil keputusan berhenti sekolah dan meninggalkan ibu bapanya di kampung untuk tinggal bersama keluarga ibu saudaranya di Dili, ibu negara Timor Leste.

Kini selepas tiga tahun berlalu Sarmento sibuk pula menguruskan bayi lelakinya, Bruno, menyebabkan impian untuk menghabiskan persekolahannya berkubur begitu saja dan harapan untuk mendapat pekerjaan yang baik hampir tiada langsung.

Kisah Sarmento merupakan sebahagian berpuluh-puluh kes remaja hamil - masalah yang kian membelenggu Timor Leste, salah satu negara miskin yang kini sedang bergelut menangani kadar kesuburan paling tinggi di dunia.

"Apabila disahkan hamil saya mengambil keputusan untuk berhenti sekolah sebab saya malu. Saya perlu menjaga maruah saya," kata Sarmento sambil menambah bapa Bruno langsung tidak mahu mengambil tahu mengenai anak itu.

Kata ibu muda itu, dia tidak dapat menghabiskan sekolah kerana terpaksa menjaga bayinya di rumah.

"Saya menyesal," katanya.

Dalam pada itu kajian oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapati bahawa seorang wanita Timor Leste secara purata mempunyai enam atau tujuh orang anak .

Kajian itu turut melaporkan lebih daripada separuh wanita dalam kumpulan usia antara 20 hingga 24 tahun mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak dan 60 peratus daripada mereka melahirkan anak pertama sebelum usia mencecah 19 tahun.

Masalah di kalangan ibu-ibu remaja ini bertambah buruk apabila perangkaan menunjukkan negara itu mempunyai populasi yang puratanya masih muda. Ini kerana kira-kira 60 peratus daripada keseluruhan penduduk yang cuma berjumlah 1.1 juta itu berada di bawah umur 24 tahun.

Sesetengah penganalisa berpendapat usia wanita yang hamil kali pertama kemungkinan akan terus menurun berikutan kajian menunjukkan bahawa aktiviti seksual di kalangan golongan remaja semakin meningkat.

"Penduduk di kawasan luar bandar apabila ditanya berapa ramai anak ketika mereka berusia 20 tahun, purata mereka menyatakan mempunyai sekurang-kurangnya dua anak," kata Veronica Correia, pakar kehamilan dan kesihatan kanak-kanak dari Yayasan Alola.

Senario hamil dan menjadi ibu ketika usia remaja lalu berhenti sekolah sememangnya berlaku di mana-mana negara di dunia.

Namun di Timor Laste keadaannya lebih buruk kerana golongan ini hampir tidak mempunyai peluang langsung untuk menyambung persekolahan walaupun selepas melahirkan anak.

Budaya masyarakat negara itu menjadi penghalang untuk ibu-ibu remaja ini kembali ke sekolah kerana ramai wanita muda Timor Leste percaya mereka hilang hak untuk mendapat pendidikan apabila menjadi ibu.

"Ia perlu diperbetulkan dalam masyarakat kerana kebanyakan mereka tidak tahu bahawa pendidikan adalah hak mereka," kata Correia.

Jadi kerajaan harus membentuk satu dasar baru yang memfokus kepada langkah-langkah bagi membawa pulang ibu-ibu muda ini kembali ke sekolah.

Dalam pada itu pegawai di Kementerian Pendidikan Timor Leste, Afonso Soares berkata, kerajaan akan membentuk satu unit baru yang akan bertanggungjawab terutama dalam hal kemasukan ke sekolah.

"Selepas itu baru kami akan mula membentuk dasar yang perlu," katanya.

Dan dengan bantuan Universiti Minho di Portugal, negara yang pernah menjajah Timor Leste, kerajaan sedang merangka draf kurikulum bagi sekolah menengah yang buat pertama kali memasukkan tentang mata pelajaran pendidikan seks.

Bagaimanapun cabarannya cukup besar. Menurut Bank Dunia, kanak-kanak yang masuk sekolah rendah di negara itu tidak sampai separuh yang sampai ke gred enam dan tahap celik huruf di kalangan orang dewasa pula hanya kira-kira 50 peratus.

Sementara itu wakil Setiausaha Agung PBB yang baru ke Timor Leste, Ameerah Haq, menggesa kerajaan agar memperuntukkan bajet yang lebih besar untuk pendidikan wanita-wanita yang mempunyai anak ini.

Kajian oleh PBB menunjukkan bahawa kanak-kanak di negara itu kemungkinan mati atau mengalami kurang zat makanan jika ibu mereka tidak mendapat pendidikan formal.

Oleh itu katanya, adalah penting untuk memberi pendidikan kepada wanita bagi menghapuskan semua halangan bagi remaja yang mengandung dan ibu-ibu muda.

Ia mungkin terlalu lewat bagi Sarmento, yang hilang harapan untuk menghabiskan sekolah dan tidak mengharap sebarang perubahan.

"Saya mahu kerajaan berbuat sesuatu buat masa terdekat ini. Saya mahu mereka buktikannya," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: