|
|
KALAU kata pepatah hidup umpama roda itu boleh diberikan satu contoh nyata, pasti Sam Worthington merasakan dia antara individu yang menepati kata-kata itu.
Apa tidaknya, daripada hanya hidup biasa-biasa dan pernah dilihat sebagai pelakon yang tercari-cari watak dalam filem berbajet rendah, dia kini melintasi satu garisan sirna yang menjadikan dia salah seorang hero yang semakin galak menunjukkan kemilau bintangnya.
"Saya pernah tinggal di dalam kereta sebelum menandatangani kontrak filem Avatar.
"Jim (James Cameron) telah mengubah hidup saya dan saya sangat bangga kerana menjadi sebahagian daripada filem tersebut.
"Saya bersyukur dan berterima kasih dengan peluang yang ada," ujarnya yang sedang mempromosikan filem Clash of the Titans lakonan Liam Neeson dan Ralph Fiennes.
Muncul dalam kostum skirt bangsawan dan pahlawan dahulukala, Sam tidak malu berpakaian sedemikian.
Malah dia berasa tersanjung dan merasakan faktor skirt itu akan memberinya satu suntikan untuk menaikkan kariernya.
"Russel Crowe pernah memakai (skirt) dalam filem Gladiator. Eric Bana juga melalui Troy dan pastinya Mel Gibson dalam Braveheart.
"Saya rasa ini langkah logik seterusnya dalam karier saya. Malah saya rasakan ini adalah perkara yang pelakon muda Australia patut lakukan," jujurnya memberi komentar tentang skirt dan kemajuan kerjaya pelakon-pelakon yang berasal dari Australia.
Berawal dengan hanya menemani teman wanita, Natalie Mark yang bersungguh-sungguh menimba ilmu di National Institute of Dramatic Art (NIDA) di Sydney akhirnya dia cuba menggali pengetahuan dalam bidang lakonan.
Menjadi graduan institut tersebut, rezekinya muncul awal apabila dia mendapat watak dalam filem Bootmen, Dirty Deeds dan Getting Square.
Kala itu, manikam ini belum dikenali oleh mana-mana jauhari. Sam hanya bergelar pelakon biasa tanpa nama besar.
Memberi jelingan mesra dan perkenalan debut kepada peminat siri televisyen Amerika melalui drama JAG, sebelum itu Sam telah membina tapak kukuh di negara kelahirannya, Australia, apabila menjadi hero drama Love My Way.
Dengan keyakinan yang dibina satu demi satu, dia mencuba nasib untuk bergelar James Bond dengan mengikuti siri audisi namun kalah di tangan Daniel Craig.
Untuk tahun 2009, hidup lelaki berusia 33 tahun itu ditiupkan semangat apabila mendapat karakter Marcus Wirght dalam filem Terminator Salvation.
Namun, akhirnya Avatar sebenarnya adalah rezeki terpijak dan memutar nasibnya yang selama ini bergerak perlahan.
Tidak habis populariti filem arahan James Cameron itu membalut dirinya, dia cergas bergerak menyambar karakter Persues melalui filem bikin semula, Clash of the Titans.
Awal tahun 2010, dia menerima satu lagi tawaran untuk bermain dengan watak fantasi dalam Dracula in Year Zero.
Malah jejaka yang mengikat cinta bersama seorang jurugaya ini mengaku lebih terujakan adegan lawan daripada harus bercium dengan aktres jelita.
Jujur dia menyatakan, adrenalinnya lebih terpacu apabila memegang pedang mahupun senapang daripada merangkul wanita untuk diciumi.
Namun, di sebalik kata-kata itu dia punya keinginan dikelilingi wanita-wanita cantik
"Saya sebenarnya teringinkan watak dalam filem Sex and the City.
"Bagi saya semua pelakon wanita dalam filem itu menawan," ujarnya yang mahu melihat filem lakonan Sarah Jessica Parker itu dalam bentuk 3D.
Dalam membina reputasi lakonan yang memberangsangkan bersandarkan bakat dan imej santainya, Sam masih menganggap kehidupannya berjalan normal.
"Saya masih lagi lelaki yang membawa bagasi ke mana-mana dan melancong ke lokasi penggambaran.
"Saya masih bayi dan perlu banyak belajar," tutur lelaki itu yang memenangi anugerah Man of the Year majalah GQ Australia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: