Sunday, April 11, 2010

Lea anak tunggal manja




PERKATAAN Broadway seakan-akan sebati dengan jiwa Lea Michele, gadis yang mempertaruhkan bukan sahaja bakat lakonan bahkan vokalnya yang mantap. Malah perjalanan kariernya seperti sudah melekat dengan perkataan tersebut.

Membawakan watak Rachel Berry dalam siri televisyen terkenal Glee, intonasinya masih berbunga nyanyian dalam drama yang memenangi anugerah itu.

Dia masih menyanyi, menunjukkan reaksi lakonan dalam bentuk lagu-lagu dan melodi. Malah pelakon siri tersebut, Stephen Tobolowsky pernah menyamakan suara Lea seperti anugerah daripada Tuhan.

“Broadway adalah udara yang saya hirup,” jelasnya ringkas menerangkan maksud perkataan tersebut dalam hidupnya.

“Saya menyerupai Rachel sewaktu sekolah menengah. Kami adalah sama.

“Saya sukakan Rachel yang tahu apa yang dia mahu dan berpegang teguh dengan kemahuannya,” ujarnya menganalisis watak Rachel yang dapat ditonton pada setiap hari Rabu pukul 9 malam di Star World (saluran 711 Astro).

Watak itu juga membolehkan dia memegang anugerah Pelakon Terbaik untuk Siri Komedi dan Muzikal pada Anugerah Satellite 2009.

Lea Michele, anak kelahiran Amerika Syarikat, mula mencipta nama sebagai pelakon cilik melalui siri Les Miserables.

Kemudian siri Spring Awakening membuatkan namanya semakin besar.

Dia hidup dalam dunia Broadway untuk seketika dan kini semakin selesa bergelar pelakon siri televisyen popular.

“Menjadi bintang TV, saya mendapati diri saya adalah morning person. Saya harus bangun seawal 6 pagi.

“Saya merindui kehidupan berada di depan audiens. Tetapi buat masa ini saya sangat seronok bekerja di kaca TV. Setiap hari saya menyiapkan satu episod dan kami bekerja keras.

“Manakala dalam teater muzikal, kami memberikan cerita yang sama setiap malam,” katanya.

Terlihat naif dan baik di kaca TV, pelakon berusia 24 tahun ini sebenarnya mempunyai obsesi nakalnya. Dia ialah penggemar tatu dengan beberapa tatu melekat di badannya.

“Saya ada tatu berbentuk rama-rama di kaki. Juga tulisan I Believe di pergelangan tangan. Di bahu pula, saya ada dua tatu berbentuk not muzik.

“Malah obsesi terhadap siri Glee membuatkan saya mencacah tatu berbentuk bintang emas di pergelangan tangan kanan dan tulisan Imagine di kaki.

“Yang lain berada di bahagian yang tidak anda ketahui,” Lea memberitahu rahsia tubuhnya.

Menjalani zaman muda dengan bersinarkan kegemilangan, Lea menganggap dirinya seorang yang sangat bertuah.

“Saya ialah anak tunggal dan bertuah atas fakta itu. Jika saya mempunyai adik-beradik, pasti ibu saya tidak akan menghantar saya ke sesi uji bakat dan menyokong karier saya seperti sekarang,” jelas anak manja ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: