Sunday, April 11, 2010

Adila masih aktif


MUNCUL dengan lagu-lagu genre rock keroncong, Adila mengharapkan dirinya diterima peminat dengan baik.


WANITA ini punya suara tersendiri. Lapan tahun dahulu, dia mencipta nama menerusi lagu Bukan Aku Tak Cinta, nyanyian asal kumpulan Iklim. Berjaya membawakan dengan cara Adila, lagu itu menyemarakkan namanya dalam dunia seni suara.

Namun, setelah meletakkan namanya untuk diingati sebagai penyanyi, dia menyepikan diri. Langkahnya bagai tidak diteruskan hinggalah pada tahun ini, Adila Idris kembali.

"Lapan tahun saya menyepi. Lebih banyak fokus kepada hal rumah tangga dan anak-anak.

"Tapi dalam masa yang sama sebenarnya saya masih menyanyi, cuma tiada publisiti kerana hanya menyanyi pada majlis makan malam," ujarnya yang kekal cantik menawan pada usia 37 tahun.

Tahun ini dia nekad mahu mengembalikan ingatan khalayak kepada dirinya. Dengan biaya serta kepercayaan yang kuat daripada sang suami, Tengku Ngah Putera Tengku Ahmad Tajudin, 42, dia bergerak pantas menghasilkan sebuah album mini yang cocok dengan dirinya.

"Album yang diterbitkan abang saya, Jari (Jaafar Abdul Rahman Idris) ini mempunyai lima buah lagu rock yang dibikin keroncong.

"Setiap lagu yang dipilih mempunyai melodi yang cukup indah dan liriknya juga puitis," terang Adila mengenai pemilihan lagu Fantasia Bulan Madu, Permaidani, Srikandi Cintaku, Bukan Aku Tak Cinta dan Sepi Sekuntum Mawar Merah.

Malah, katanya, dengan menjadikan lagu-lagu terkenal ini terarah berbunyi keroncong akan dapat menggalakkan anak-anak muda mengubah stigma terhadap genre muzik tersebut.

"Lagu-lagu seperti ini diminati oleh pendengar pada penghujung tahun 1980-an.

"Sasaran saya sekarang bukan sahaja kepada anak-anak muda tetapi mereka yang pernah hidup dengan lagu-lagu tersebut," ujarnya yang menganggap lagu-lagu dapat menghilangkan stres dan membuatkan pendengar berasa relaks.

Turut dimasukkan ialah dua lagu baru, Permata Hati dan Adila Samba, yang lagunya digubah oleh Jari dan liriknya oleh Adila sendiri.

Menariknya lagi, seiring zaman teknologi dia menggunakan cara yang efektif untuk menjual album mininya.

Album rock keroncong Adila dapat diperoleh menerusi laman sosial Facebook Adila Idris serta laman Facebook Cherry Talent Fan Club dan menerusi http://cherrytalent.com.my.

Dalam enak melayari kembali kehidupannya bergelar penyanyi serius, Adila sibuk merencanakan pusat senamrobik miliknya di TTDI Jaya, Shah Alam.

Adilla Fitness Studio dilestarikan setelah Adila memperoleh Sijil Jurulatih Senaman Bertauliah daripada Kementerian Belia dan Sukan.

"Pusat kesihatan itu dibina khas untuk golongan wanita yang pentingkan kesihatan dan kecantikan.

"Saya memang minat senamrobik sejak bergelar anak dara lagi dan selepas beranak satu saya semakin ambil berat tentang kesihatan dan bentuk badan," ujar Adila yang pernah mengajar senaman pada setiap pagi sebelum siaran Selamat Pagi Malaysia di TV1.

Tambahnya lagi, mengingatkan status sebagai penyanyi yang memerlukan stamina yang baik, dia mempraktikkan senamrobik yang dapat menjamin dirinya kekal cantik dan berenergi tinggi.

"Maklumlah sudah beranak empat, jadi perlulah senaman yang baik untuk mengekalkan stamina," ujarnya yang melahirkan puteri keempat, Tengku Putri Rania dua tahun lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: