Saturday, April 10, 2010

Neo R3 Lotus Racing rebutan 25 unit


Mahathir Mohamad bersama Syed Zainal Abidin (kanan sekali) dan tiga pelumba F1 Lotus Racing menyerahkan kunci Satria Neo R3 kepada Rosyam Nor.


PROTON Holdings Bhd baru-baru ini melancarkan edisi khas Proton Satria Neo R3 Lotus Racing sempena berlangsungnya perlumbaan Formula Satu di Litar Antarabangsa Sepang. Model naik taraf yang hanya dikeluarkan sebanyak 25 unit itu ditawarkan pada harga RM115,000 sebagai tanda simbolik kelahiran pasukan F1 negara, 1Malaysia Lotus F1.

Model dengan skema warna hijau kuning Lotus itu dipertingkatkan kuasa melalui talaan dan rekaan khas.

Pengarah Urusannya, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, pihaknya sudah menerima 11 tempahan pada hari pertama model itu dilancarkan.

"Model edisi terhad ini dilahirkan sebagai memperingati pasukan F1 negara dan bersempena kepulangan jentera itu untuk beraksi ke tanah air,'' katanya selepas majlis pelancaran model berkenaan, baru-baru ini.

Perasmian edisi yang memiliki spesifikasi lumba itu disempurnakan oleh Penasihat Proton, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Turut hadir pada majlis itu ialah tiga pelumba pasukan 1Malaysia Lotus F1, Jarno Trulli, Heikki Kovalainen dan Fairuz Fauzy.

Peningkatan kuasa

Proton Satria Neo R3 Lotus Racing yang menggunakan transmisi manual lima kelajuan dijana enjin CamPro CPS berkuasa 1,597 cc.

Pada harga itu, Proton Satria Neo R3 Lotus Racing bukan sekadar keluaran istimewa kerana sebagai jentera yang dipertingkatkan ia dibangunkan dengan teknologi perlumbaan sebenar.

Dengan 16 injap Transverse FF, ia mampu menjana kuasa maksimum sehingga 145 kuasa kuda pada kelajuan 7,000 rpm dengan peningkatan sebanyak 20 kuasa kuda.

Penalaan semula model itu juga berjaya meningkatkan terjahan tork sebanyak 18 Nm menjadikan maksimum 168 Nm pada kelajuan 5,000 rpm.

Pada kuasa itu, Proton Satria Neo R3 Lotus Racing mampu mencapai kelajuan 100 kilometer sejam dalam masa 9.2 saat sebelum kelajuan maksimum 200 km/j. Sedangkan catatan kuasa Satria Neo biasa pula adalah 10.5 saat dengan kelajuan maksimum 190km/j.

Penalaan juga menggantikan sokongan kestabilan dengan spring Ohlin DFV, damper talaan R3 dan sistem suspensi bergeometri tepat yang menghasilkan kawalan seperti sebuah kereta lumba.

Pusingan roda 16 incinya menggunakan tayar Bridgestone Adrenalin yang menghasilkan cengkaman dan kestabilan lebih baik. Di tempat duduk, keselesaan pemandu disaluti kulit Nappa dengan kemasan sekeliling daripada gentian karbon.

Selain menggunakan warna rasmi Lotus, penampilan luar diperkemas dan digayakan dengan bonet gentian karbon berserta bampar dan spoiler R3. Penukaran bahan besi yang menyumbang kepada pengurangan 62 kilogram berat berbanding versi asal.

Pada majlis di Pavilion Kuala Lumpur, Proton turut mengumumkan pelakon terkenal, Rosyam Nor sebagai salah seorang pemilik terawal jentera berkuasa itu.

Maklumat lanjut mengenai unit terhad itu kini boleh diperolehi dengan melayari laman web www.proton.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: