Saturday, April 10, 2010

Isuzu ikon pikap Thailand


Panatda Chennavasin (lima dari kanan) bergambar dengan sebahagian anugerah yang drangkul Isuzu D-max.


PIKAP Isuzu D-Max 'made in Thailand' amat istimewa. Ia menjadi fenomena di dalam industri kenderaan komersial Thailand apabila lebih 10,000 unit terjual dalam tempoh 10 hari selepas dilancarkan pada 2002.

Lebih menakjubkan, selepas kira-kira tujuh tahun 'diperanakkan' iaitu pada Oktober 2009, 'adik-beradiknya' telah bertambah sebanyak 1 juta buah, menjadikannya jualan kenderaan terbaik dalam sejarah automatif negara itu.

Isuzu D-Max bukannya jaguh kampung. Selain menerima 24 anugerah dalam pelbagai kategori di Thailand, ia turut menerima anugerah sama di luar negara seperti United Kingdom, Israel, Jepun, Jordan, Filipina, Belgium, Australia dan negara ini.

Kisah epik Isuzu D-Max bermula pada Mac 2002 apabila Isuzu memindahkan operasi pengeluaran pikapnya ke Thailand dan secara rasmi Isuzu Of Thailand (IOT) ditubuhkan bagi mengeksport pikap itu ke seluruh pelusuk dunia.

Falsafah IOT amat mudah, iaitu Transfer Happiness, Satisfaction, Prosperity to Every Part Of The World (Sebarkan kebahagiaan, kepuasan dan kemakmuran ke seluruh dunia).

Ironinya ia sesuatu yang senang dilafaz tetapi pelaksanaannya tidak semudah itu tanpa kepercayaan dan iltizam bahawa tiada matlamat di dunia ini yang mustahil untuk dicapai.

Keyakinan ini telah membawa IOT dengan logo jenamanya melambangkan dua menara tinggi, teguh berdiri antara satu sama lain yang juga menjadi trade mark reka bentuk bahagian hadapan kenderaan mereka terutama lampunya, telah membawanya merentasi pelosok dunia.

Berkongsi resipi yang menyumbang kepada 'demam' Isuzu D-Max itu, Naib Presiden Kanan IOT, Panatda Chennavasin berkata, D-Max memiliki keseimbangan pakej terbaik yang terletak pada reka bentuk, ketahanan dan teknologi enjin dieselnya.

Gagah lagi mantap dan paling penting penggunaan bahan apinya amat efisien.

"Kita mempunyai semua pangkalan data daripada lebih dua juta pengguna Isuzu yang mana separuh daripada adalah pengguna D-Max.

"Setiap aduan melalui online dan talian bebas tol daripada pelanggan bukan sahaja dikendalikan oleh pegawai perkhidmatan pelanggan tetapi terus dipantau oleh pimpinan tertinggi IOT.

"Pelanggan ini adalah segala-galanya bagi kami kerana tanpa mereka IOT tidak mampu berdiri, kesinambungan hubungan dan sokongan ini amat penting untuk membolehkan kita mengeluarkan produk berkualiti," katanya.

Beliau berkata demikian dalam taklimat kepada kumpulan media Malaysia yang melawat IOT bersempena dengan pelancaran model baru siri D-Max, X-Series di Bangkok International Auto Show 2010, Thailand, baru-baru ini.

Hadir sama Presiden IOT, Ken Takashima dan Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Takashi Hata.

Selain model X-Series yang mensasarkan golongan muda yang sukakan aktiviti luar dan ekstrem, IOT juga memperkenalkan beberapa siri D-Max yang lain seperti Super Platinum dan Mu-7 Groove edisi khas (tujuh tempat duduk) serta Mu-7 Super Platinum Activo yang memaparkan ciri-ciri eksklusif dan mewah.

Malangnya, keinginan peminat di negara ini untuk mendapatkan model Mu-7 yang pasti membuatkan peminat 'kecur liur' itu tidak akan kesampaian kerana ia tidak dieksport ke Malaysia.

Alasannya mudah sahaja, kualiti minyak diesel kita terlalu ketinggalan berbanding negara lain seperti Thailand dan Eropah yang menggunakan standard Euro 3, melainkan secara drastik kerajaan menukar secara total standard minyak diesel yang dinikmati sekarang.

Ini kerana enjin jentera macho yang serba moden itu tidak akan sesekali menelan 'minuman' selain daripada apa yang ditetapkan oleh pengeluarnya, bukannya tidak sudi tetapi memang tidak boleh sama sekali.

Sementara itu, Panatda ketika diminta mengulas mengenai kejayaan D-Max menjadi antara pikap yang terlaris jualannya, beliau berkongsi sesuatu yang amat mengejutkan.

Percaya atau tidak, resipi kejayaannya amat mudah iaitu tidak akan sesekali menurunkan harga pikap mereka dalam mana-mana promosi walaupun pesaing syarikat lain giat melakukannya.

Alasan mereka ialah untuk mengekalkan kepercayaan dan kesetiaan pelanggan terhadap jenama Isuzu, pelik bukan tetapi percayalah ia amat berkesan.

Meskipun harga pikap Isuzu lebih mahal kira-kira RM3,000 daripada saingan utamanya, Toyota, tetapi mereka masih mampu mengekalkan penguasaannya dalam jualan pikap di negara itu.

"Apabila harga kenderaan diturunkan bermakna ia akan menjejaskan pasaran kereta terpakai dan baru Isuzu, ia akan menghilangkan kepercayaan pelanggan, sebab itulah harga pikap terpakai kita lebih stabil, inilah yang dimahukan oleh pelanggan kita, sesuatu yang eksklusif.

"Contohnya pada beberapa minggu lalu (20 Mac) semasa demonstrasi geng baju merah di Bangkok, kebetulan kita tengah buat jualan di pusat membeli-belah dan penduduk setempat tidak keluar, tetapi apa yang mengejutkan pada hari itu kita masih mampu menjual 450 buah D-Max, kebanyakannya daripada pelanggan walk-in.

"Malah untuk pasaran domestik juga kita mengalami masalah tidak mampu memenuhi tempahan pelanggan sehingga memakan masa lebih dua bulan terutama bagi model x-Series," kata Panatda.

Secara jujur, penulis mengaku sebelum ini tidak begitu mengambil tahu mengenai pikap, semuanya nampak sama sahaja yang lebih sesuai bagi kegunaan memunggah barang semata-mata.

Tetapi apabila berpeluang mendekati secara lebih intim dengan kenderaan maskulin itu, penulis terkesima dengan penampilannya dan tidak menolak kemungkinan untuk menambahkan lagi jumlah Isuzu D-Max di negara ini daripada 4,710 kepada 4,711 buah!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: