Thursday, April 1, 2010

Nasib Ako ditentukan 11 Mei

SHAH ALAM - Nasib pelakon Ako Mustapha (gambar) sama ada dia akan dipenjara selama tiga bulan atau terlepas daripada hukuman itu yang dijatuhi atas kesalahan khalwat akan diketahui pada 11 Mei ini.

Tarikh untuk membuat keputusan berhubung rayuan Ako untuk mengetepikan hukuman penjara tersebut diputuskan Hakim Syarie, Abu Zaky Mohamad di Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam.

Ako atau nama sebenarnya Muhaizad Ahmad Mustapha, 39, sebelum ini telah dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda maksimum RM3,000 oleh Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini pada 21 April tahun lalu.

Hukuman dijatuhkan selepas Ako mengaku bersalah berkhalwat dengan jurusolek artis, Anang Sagunting, 25, di Blok B-2-9 Oakleaf Park Kondominium, Persiaran Bukit Antarabangsa dekat sini.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut pukul 1.20 pagi pada 27 Jun 2007.

Peguam syarie, Akbardin Abdul Kader yang mewakili Ako selaku perayu memberitahu, beliau telah memasukkan jawapan kepada hujahan bertulis pihak pendakwaan pagi semalam dan kini hanya menunggu keputusan dibuat mahkamah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: