KUALA LUMPUR - Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra memfailkan saman bagi memohon perintah mahkamah bahawa pelantikan Pengerusi Majlis Perajaan Negeri, Tengku Abdul Aziz Tengku Mohd Hamzah 25 Mac lalu sebagai Pemangku Raja Kelantan adalah tidak sah dan terbatal.
Tengku Muhammad Faris memfailkan saman pemula itu pada 11 pagi semalam di pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas di sini, melalui peguam yang mewakili baginda, Zainur Zakaria.
Dalam saman itu, baginda menamakan diri baginda sebagai plaintif pertama, Kerajaan Negeri Kelantan dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, sebagai plaintif kedua dan ketiga manakala adinda baginda, Tengku Muhammad Fakhry, Datuk Wan Hashim Wan Daud, yang mendakwa dirinya sebagai setiausaha sulit Sultan Kelantan, dan Tengku Abdul Aziz sebagai defendan.
Turut disertakan dengan saman itu ialah afidavit sokongan yang diikrarkan Tengku Muhammad Faris pada 27 Mac lalu dan juga perakuan segera oleh Zainur.
Zainur dalam perakuan itu memohon mahkamah supaya menyegerakan perbicaraan kes itu atas alasan pergolakan yang berlaku di Kelantan akibat tindak tanduk oleh Wan Hashim yang menamatkan Tengku Muhammad Faris sebagai Pemangku Raja telah menimbulkan kekeliruan, ketidaktentuan dan kegelisahan kepada negeri dan rakyat Kelantan.
Katanya, sekiranya kes itu tidak disegerakan pendengarannya, pihak plaintif khuatir bahawa kemudaratan yang lebih serius akan dilakukan oleh Wan Hashim.
Mahkamah menetapkan 5 April ini untuk sebutan kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas, Datuk Aziah Ali.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: