Tuesday, April 20, 2010

Misi mustahil keluar dari Eropah


DUA penumpang yang terkandas berehat di LapanganTerbang Bilbao, utara Sepanyol kelmarin.


VIENNA - Para penumpang yang terkandas semalam bersesak-sesak menaiki bas, kereta api dan teksi dengan misi yang perlu disempurnakan iaitu keluar dari Eropah.

Kebanyakan penumpang berbaris di terminal berlepas di Lapangan Terbang Bajaras, Madrid, Sepanyol bagi membolehkan mereka keluar dari Eropah.

Sepanyol menjadi destinasi impian mereka kerana ia merupakan antara negara Eropah yang tidak menerima kesan awan abu dari kawah berapi di bawah glasier Eyjafjallajokull di Iceland sekali gus membolehkan penerbangan ke luar Eropah dilakukan.

Kawah berapi di Iceland itu mengeluarkan awan abu buat hari kelima berturut-turut semalam.

"Saya berada dalam senarai menunggu dan tidak ada tempat tinggal sekarang. Saya terpaksa beratur dan cuba untuk mendapatkan tiket," kata Roberta Marder yang berusia 73 tahun dari Tulsa, Oklahoma, Amerika Syarikat (AS).

Sementara itu, Doug Hahn, 36, dari Portland, Oregon, AS terkandas di Amsterdam, Belanda.

Dia dan tiga orang lagi penumpang menyewa sebuah kereta dan memandu selama 16 jam ke Madrid.

Harganya yang perlu dibayarnya ialah AS$808 (RM2,600) dan Hahn memberitahu syarikat menyewa kereta itu pada asalnya mahu mengenakan bayaran sebanyak AS$2,154 (RM6,931).

Hahn kemudian berjaya mendapatkan tiket ke Miami pada lewat hari yang sama.

Di Lapangan Terbang Frankfurt, hampir 500 penumpang yang kebanyakannya dari Afrika dan Asia yang tidak memiliki visa untuk memasuki Kesatuan Eropah (EU) menghabiskan hari keempat mereka di kawasan transit.

Namun, mereka disediakan dengan makanan tiga kali sehari, kemudahan untuk mandi dan pakaian.

Di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea Selatan seramai 30 penumpang yang kecewa menghalang kaunter tiket syarikat penerbangan Korean Air.


BEBERAPA penumpang yang terkandas berbaring di atas katil di sebuah lapangan terbang di Munich semalam.


Mereka menuntut untuk bertemu dengan pegawai syarikat tersebut agar mengatur penerbangan ke mana-mana lokasi di Eropah selepas mengetahui pesawat Air France telah berjaya terbang dari lapangan terbang itu ke Bordeaux, Perancis.

Mereka yang tidur di lantai turut mengadu kekurangan kemudahan.

Penumpang-penumpang itu hanya menerima satu baucer untuk makanan sehari di restoran McDonald's, selain simpanan wang mereka semakin kehabisan.

Seorang pembantu guru dari England, Chloe yang terkandas di Korea Selatan sejak Sabtu lalu selepas melancong ke Jepun memberitahu bahawa syarikat penerbangan Air France akan menghantarnya semula ke Jepun.

"Masalahnya, saya akan terkandas semula di Jepun. Gaji saya bukannya tinggi dan saya telah membelanjakan banyak wang. Jepun bukannya murah," katanya sambil ketawa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: